Masyarakat Melayu mesti terus menggilap kekuatan sedia adanya dan memanfaatkannya di tempat di mana mereka mempunyai peluang saksama untuk berjaya.

Ini termasuk dalam seni, warisan dan budaya kerana pada bidang-bidang tersebutlah masyarakat mempunyai modal sosial yang utuh.

Demikian menurut pakar yang dihubungi Berita Harian (BH) dalam mengulas kajian yang diterbitkan sayap penyelidikan AMP Singapura, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima) baru-baru ini.

Kajian tersebut yang bertajuk Peningkatan Silang Generasi Dalam Masyarakat Melayu di Singapura mendapati terdapat kurangnya modal sosial dalam sebahagian masyarakat Melayu, dengan rangkaian profesional yang terhad didapati penghalang kepada peningkatan profesional.

Namun pada masa yang sama, para pakar berkata terdapat keperluan untuk kerjasama yang lebih erat dalam masyarakat termasuk golongan profesional yang sudah berjaya, mereka yang ingin mendapatkan bimbingan dan mereka yang membina rangkaian rakan sebaya untuk memastikan modal sosial masyarakat dapat dibangunkan terutama di mana ia masih berkurangan.

Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Dr Norshahril Saat, berkata:

“Pembinaan modal sosial mesti dilakukan secara organik. Masyarakat mesti berusaha meningkatkan kekuatannya, walaupun ia berkaitan dengan bidang yang kurang diberi perhatian seperti seni, warisan dan budaya. Bidang-bidang tersebutlah di mana kita mempunyai modal sosial yang kukuh.”

Beliau akur masalah kekurangan modal sosial ada kaitan dengan isu struktural yang sudah sekian lama wujud yang menyebabkan masyarakat Melayu terus ketinggalan.

Pemangku Pengurus Pusat Rima yang juga salah seorang penyelidik kajian tersebut, Cik Sabrina Hardy, berkata adalah penting untuk memahami perbezaan titik permulaan antara pelbagai kaum serta faktor-faktor struktur yang mempengaruhi akses kepada modal sosial.

“Disebabkan hal ini, sebahagian masyarakat Melayu mungkin mempunyai akses yang lebih terhad kepada rangkaian profesional dan bimbingan mentor dalam jangka masa panjang,” katanya.

Meskipun begitu, Cik Sabrina menyatakan bahawa modal sosial boleh dibina dan diperkukuhkan menerusi usaha bersama dalam masyarakat.

Ini termasuk antara mereka yang sedia menyumbang kepakaran dan nasihat, individu yang aktif mencari bimbingan, serta mereka yang membina rangkaian sokongan sesama rakan.

Dalam pada itu, pakar yang dihubungi BH turut mengesyorkan agar masyarakat meluaskan pandangan mereka melangkaui Singapura, dan melihat ke rantau ini di mana terdapat peluang yang lebih besar untuk digarap.

Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Zulkifli Baharudin, berkata masyarakat Melayu perlu berfikir untuk memperoleh modal sosial di mana mereka mempunyai peluang yang adil.

“Lihat diaspora Melayu, Asean, Indonesia dan rantau ini yang semakin berkembang – di mana anda boleh berinteraksi dalam bahasa yang sama... Anda berada dalam kedudukan untuk mengatasi beberapa cabaran yang anda hadapi,” katanya.

Memberi contoh, Encik Zulkifli berkata jika seseorang merasakan bahawa beliau tidak mempunyai kelebihan modal sosial di Singapura untuk memulakan perniagaan disebabkan kurangnya kenalan yang mampu memberinya permulaan yang baik, beliau boleh melihat kepada rantau ini.

“Tukarkan kekurangan anda kepada kekuatan anda. Di manakah terletaknya kekuatan anda? Itu pengajaran yang penting,” tambah beliau.

Dr Norshahril turut berkongsi pandangan serupa dengan mengatakan bahawa sebagai masyarakat minoriti di sini, masyarakat Melayu tidak boleh mengehadkan rangkaiannya dalam negara tetapi memandang ke luar.

“Sesi rangkaian adalah okay, tetapi terhad, jika mereka yang dijemput berada dalam lingkungan masyarakat sahaja. Di Singapura, sesi rangkaian mesti melangkaui sempadan etnik, dan mungkin hubungan serantau juga harus dimanfaatkan,” tambah beliau.

Cik Sabrina pula mengatakan usaha membina modal sosial juga harus memberi penekanan kepada pembentukan hubungan yang lebih kukuh dan mendalam antara individu supaya modal sosial ini dapat membawa kepada peluang dan hasil yang bermakna bagi golongan karyawan.

Beliau menambah bahawa kajian tersebut mengesyorkan penubuhan sebuah “hab navigasi” yang diiktiraf bagi menghimpunkan maklumat mengenai biasiswa, laluan latihan serta rangkaian mentor, yang sekali gus dapat membantu menangani jurang modal sosial dan akses kepada maklumat.

“Secara lebih menyeluruh, badan-badan juga boleh bekerjasama dengan pakar dalam sektor-sektor baharu untuk mewujudkan laluan yang lebih jelas ke arah industri yang mempunyai permintaan tinggi seperti teknologi. Pada masa yang sama, masyarakat perlu bersedia untuk melibatkan diri dalam usaha-usaha tersebut bagi membina modal sosial,” ujarnya.

Membina modal sosial

“Pembinaan modal sosial mesti dilakukan secara organik. Masyarakat mesti berusaha meningkatkan kekuatannya, walaupun ia berkaitan dengan bidang yang kurang diberi perhatian seperti seni, warisan dan budaya. Bidang-bidang tersebutlah di mana kita mempunyai modal sosial yang kukuh.”
Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Dr Norshahril Saat.
Peluang tersebar luas di luar sana

“Lihat diaspora Melayu, Asean, Indonesia dan rantau ini yang semakin berkembang – di mana anda boleh berinteraksi dalam bahasa yang sama... Anda berada dalam kedudukan untuk mengatasi beberapa cabaran yang anda hadapi.”
Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Zulkifli Baharudin.
Usaha seluruh masyarakat

“Secara lebih menyeluruh, badan-badan juga boleh bekerjasama dengan pakar dalam sektor-sektor baharu untuk mewujudkan laluan yang lebih jelas ke arah industri yang mempunyai permintaan tinggi seperti teknologi. Pada masa yang sama, masyarakat perlu bersedia untuk melibatkan diri dalam usaha-usaha tersebut bagi membina modal sosial.”
Pemangku Pengurus Pusat, Rima, Cik Sabrina Hardy.