Inisiatif SalamSG Korban telah menerima lebih 4,000 tempahan bagi program korban luar negara setakat ini, dengan sekitar 60 peratus daripada keseluruhan slot yang ditawarkan sudah ditempah.

Program korban luar negara, SalamSG itu, ditawarkan menerusi 51 masjid di seluruh Singapura, dengan tiga pilihan ternakan, iaitu lembu, kambing dan domba (kibas), yang akan disembelih di Australia.

Menurut laman web rasmi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), inisiatif tersebut mengekalkan piawaian pematuhan syariah yang ketat, di samping hasilnya dimanfaatkan bagi menyokong khidmat masyarakat yang dijalankan masjid tempatan.

Kebanyakan tempahan yang diterima adalah bagi domba, yang merangkumi sekitar 60 peratus daripada keseluruhan tempahan.

Ia diikuti tempahan kambing sebanyak 35 peratus dan lembu sekitar 5 peratus.

Tempahan bagi program korban luar negara itu masih dibuka sehingga 22 Mei ini menerusi portal https://korban.ourmasjid.sg.

Masyarakat Islam juga boleh membuat tempahan secara langsung di masjid yang mengambil bahagian.

Harga bagi setiap domba ditetapkan pada $365, manakala kambing berharga $370.

Bagi lembu pula, satu bahagian daripada tujuh bahagian ditawarkan pada harga $370.

Kaedah pembayaran yang disediakan termasuk PayNow, NETS, kad kredit atau debit serta wang tunai.

Ternakan yang ditawarkan juga tersedia bagi tujuan nazar dan akikah.

Seperti 2025, sebahagian daging domba daripada korban luar negara akan diproses dalam bentuk makanan dalam tin untuk dihantar ke Gaza bagi membantu masyarakat yang terjejas akibat konflik di sana.

Daging yang disumbangkan peserta program bagi semua jenis ternakan turut diagihkan kepada penerima bantuan di Singapura, termasuk golongan kurang bernasib baik, menerusi inisiatif seperti program tahunan SalamSG Gives.

Menurut Muis, usaha itu turut melibatkan usaha menyalur bantuan kepada penerima zakat, keluarga individu dipenjarakan serta pekerja migran.

Pada masa yang sama, sambutan terhadap ibadah korban yang diadakan secara langsung di beberapa tempat di sini memberangsangkan.

Ia meskipun keadaan sejagat yang tidak menentu pada masa kini, menurut beberapa masjid dan penyedia perkhidmatan korban yang dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini, yang turut berkongsi masyarakat Islam di sini terus menunjukkan minat berterusan terhadap pelaksanaan ibadah korban secara langsung.