SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Harga ibadah korban di Timur Tengah kekal stabil meski cabaran logistik meningkat

Harga ibadah korban di Timur Tengah kekal stabil meski cabaran logistik meningkat

Penyedia khidmat kongsi kos bahan api belum beri kesan ketara terhadap harga ditawar kepada pelanggan

Harga ibadah korban di Timur Tengah kekal stabil meski cabaran logistik meningkat

Ibadah korban di Timur Tengah masih ditawarkan pada harga sama meskipun berdepan tekanan logistik susulan konflik antara Amerika Syarikat dengan Iran.

Beberapa penyedia khidmat ibadah korban berkongsi bahawa setakat ini kenaikan kos bahan api dan cabaran rentas sempadan belum memberi kesan ketara terhadap harga yang ditawarkan kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aliyah Rizq Farm, Encik Ashraf Bakar, berkata situasi geopolitik yang semakin mencabar sememangnya menimbulkan kesan terhadap rantaian bekalan, khususnya dari segi logistik dan pergerakan haiwan merentasi sempadan.

“Konflik yang berlaku di Timur Tengah kini semakin mencabar, terutama melibatkan isu antara Iran dan Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Ini menimbulkan cabaran logistik dari segi kos serta pergerakan rentas sempadan,” katanya.

Namun, beliau menambah bahawa pihak pembekal berjaya menguruskan keadaan tersebut dengan baik, sekali gus memastikan bekalan haiwan korban dapat disediakan seperti biasa dan pelaksanaan korban berjalan lancar.

Dari segi harga, Encik Ashraf berkata kadar yang ditawarkan bagi haiwan korban di Timur Tengah kekal tidak berubah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Seekor biri-biri ditawarkan pada harga $265, manakala harga seekor kambing ditetapkan pada $265 di Yaman.

Jenis yang sama dari Saudi pula ditawarkan pada $195 setiap seekor.

Harga yang ditawarkan SalamSG pula ditetapkan pada $365 bagi seekor biri-biri dan $370 bagi seekor kambing.

Tambah Encik Ashraf, sekitar 20 hingga 25 peratus daripada jumlah jualan tahunan pihaknya terdiri daripada haiwan ternakan dari Timur Tengah.

Dari segi permintaan, Encik Ashraf berkata sambutan awal bagi ibadah korban di Timur Tengah adalah menggalakkan, meskipun tempoh pendaftaran baru sahaja dibuka sekitar seminggu lalu.

Beliau berkata peningkatan tempahan setakat ini didorong terutamanya oleh pelanggan sedia ada yang terus mengekalkan pilihan mereka untuk melakukan ibadah korban di Timur Tengah, malah ada yang menambah jumlah tempahan.

“Permintaan ada meningkat sedikit, tetapi kebanyakannya daripada pelanggan tetap. Mereka sudah biasa melakukan korban di Timur Tengah dan ada pula yang menambah tempahan,” ujarnya.

Namun, beliau menjelaskan masih terlalu awal untuk menilai trend sebenar permintaan bagi 2026, memandangkan ramai masih dalam suasana Hari Raya Aidilfitri.

Lazimnya, tempahan korban hanya akan mula meningkat satu hingga dua minggu selepas musim perayaan berakhir.

“Biasanya selepas suasana Raya reda, barulah kami nampak permintaan sebenar dalam pasaran. Buat masa ini, masih awal,” tambahnya.

Berkongsi pengalaman dan keadaan korban yang serupa, syarikat Hala’Sg juga tidak terjejas dalam mengusahakan ibadah korban di Timur Tengah.

Malah, pengasas bersama syarikat itu, Ustaz Muhammad Afiq Azman, berkongsi rata-rata pembeli lebih memilih untuk melakukan ibadah korban di Makkah walaupun baru seminggu menyebarkan pakej korban mereka dalam media sosial.

“Di Makkah, mungkin ramai yang dah tahu bahawa ada orang susah di sana. Jadi, masyarakat Singapura pun lebih terpanggil melakukan korban di sana.

“Tambahan, Makkah merupakan tempat yang agak terkait dengan ibadah korban. Secara semula jadi, orang ramai lebih tertarik untuk melakukan korban di situ,” jelas beliau.

Pemilik syarikat Musafireen.Sg, Ustaz Muhammad Danial Abdul Karim, yang kini sedang berada di Saudi untuk mengerjakan ibadah umrah, pula berkata:

“Saya perhatikan keadaan korban di Timur Tengah masih seperti sedia kala.

“Tiada sebarang kenaikan kos bagi haiwan ternakan seperti kambing. Malah, di sini (Saudi), harga minyak juga kekal sama.”

Bagi trend pembeli pula, Ustaz Danial melihat pembeli lazimnya akan membeli pakej korban yang lebih murah di beberapa negara tertentu.

Namun, terdapat segolongan sekitar 30 peratus daripada jumlah pembeli Musafireen.Sg yang ingin khusus melakukan ibadah korban di Tanah Suci Makkah.

Justeru, pada 2026, beliau mengekalkan harga sama seperti 2025 iaitu $188 bagi seekor kambing di Makkah memandangkan kos oleh pembekal juga tiada perubahan.

“Konflik yang berlaku di Timur Tengah kini semakin mencabar, terutama melibatkan isu antara Iran dan Amerika Syarikat baru-baru ini. Ini menimbulkan cabaran logistik dari segi kos serta pergerakan rentas sempadan... Permintaan ada meningkat sedikit, tetapi kebanyakannya daripada pelanggan tetap. Mereka sudah biasa melakukan korban di Timur Tengah dan ada pula yang menambah tempahan.”
Encik Ashraf Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aliyah Rizq Farm.

“Di Makkah, mungkin ramai yang dah tahu bahawa ada orang susah di sana. Jadi, masyarakat Singapura pun lebih terpanggil untuk melakukan korban di sana. Tambahan, Makkah merupakan tempat yang agak terkait dengan ibadah korban. Secara semula jadi, orang ramai lebih tertarik untuk melakukan korban di situ.”
Ustaz Muhammad Afiq Azman, Pengasas Hala’SG.

“Saya perhatikan keadaan korban di Timur Tengah masih seperti sedia kala. Tiada sebarang kenaikan kos bagi haiwan ternakan seperti kambing. Malah, di sini (Saudi), harga minyak juga kekal sama.”
Ustaz Muhammad Danial Abdul Karim, pemilik syarikat Musafireen.Sg.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg