Topic followed successfully
Go to BHkuRuang solat sementara tampung 500 anggota jemaah akan dibina bertentangan Masjid Al-Istighfar
Ruang solat sementara tampung 500 anggota jemaah akan dibina bertentangan Masjid Al-Istighfar
Kemudahan dijangka siap pada suku keempat 2026 demi penuhi permintaan tinggi di kawasan Pasir Ris dan Changi
Ruang solat sementara tampung 500 anggota jemaah akan dibina bertentangan Masjid Al-Istighfar
Satu ruang solat sementara yang mampu menampung 500 anggota jemaah akan dibina bertentangan Masjid Al-Istighfar.
Ruang itu disediakan bagi memenuhi permintaan tinggi penduduk untuk lebih banyak ruang solat Jumaat di kawasan Pasir Ris dan perindustrian Changi.
Demikian diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 10 April di acara Perjumpaan Hari Raya Menteri di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay.
Ruang solat itu akan selesai dibina pada suku keempat 2026 dan akan terus digunakan sehingga masjid di Tampines North siap pada 2029.
Dr Faishal akur dengan keperluan mendesak bagi ruang solat terutama di kawasan tersebut, tatkala jemaah menunggu masjid baru di Tampines North selesai dibina.
“Permintaan ini telah dibangkitkan semasa kunjungan saya ke masjid dalam beberapa kesempatan.
“Kami akan menyokong permintaan masyarakat dan memastikan semua orang mempunyai ruang yang selamat dan selesa untuk menunaikan solat,” kata beliau.
Setakat ini, Masjid Al-Istighfar, yang dibina pada 1999 dan terletak di Pasir Ris Walk, boleh menampung sekitar 3,300 anggota jemaah.
Menurut satu kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 10 April, penubuhan ruang itu tidak akan menjejas semua solat fardu dan kegiatan harian masjid, dengan segalanya akan berjalan seperti biasa.
“Pendekatan ini menyerupai model operasi di Masjid Alkaff Kampung Melayu, yang turut mengendalikan ruang solat sementara sepanjang program naik taraf mereka dijalankan,” kata Muis.
Sebelum ini, satu ruang solat sementara yang mampu menampung 500 anggota jemaah juga pernah disediakan di Masjid Al-Istighfar bagi solat Jumaat dan Hari Raya pada 2017, ketika masjid tersebut menjalani kerja naik taraf.
Dalam pada itu, pengumuman itu dibuat sehari selepas pengumuman mengenai ruang korban tambahan dilakukan.
Pada 9 April, Dr Faishal turut berkongsi bahawa Masjid Al-Istighfar dan Masjid Jamae Chulia akan menawarkan ruang korban secara langsung bagi masyarakat setempat.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan masjid yang menawarkan ibadah korban secara langsung kepada tujuh.
Baki lima masjid itu ialah Masjid Al-Firdaus (Jalan Ibadat); Masjid Petempatan Melayu Sembawang; Masjid Pusara Aman; Masjid Omar Salmah; dan Masjid Tentera Diraja.
Menurut Muis, sebanyak 55 buah masjid di bawah rangkaian SalamSG di seluruh Singapura akan menawarkan pilihan korban luar negara dan/atau tempatan bagi umat Islam yang ingin melaksanakan ibadah tahunan tersebut.
Pendaftaran bermula pada 9 April.
Di Perjumpaan Hari Raya itu, Dr Faishal, turut mengambil peluang berkongsi perkembangan mengenai pembinaan masjid baru di Tampines North.
Menurutnya, Muis dan Masjid Darul Ghufran akan mendedahkan reka bentuk masjid berkenaan di sebuah pameran jelajah reka bentuk pada akhir 2026.
Ia hadir setelah Muis dan Masjid Darul Ghufran mengadakan sesi penglibatan masyarakat sejak beberapa bulan lalu bagi mendapatkan pendapat penduduk.
“Ramai di antara anda menyuarakan keperluan agar kemudahan masjid dapat memenuhi keperluan segmen utama masyarakat, seperti keluarga muda dan warga emas.
“Kami akan sertakan saranan-saranan ini ke dalam pembangunan masjid baru tersebut,” tambah beliau.

