Topik diikuti
Pergi ke BHkuFaishal: Kedatangan Zulhijah tanda mula fasa penting bagi jemaah haji S’pura
Faishal: Kedatangan Zulhijah tanda mula fasa penting bagi jemaah haji S’pura
Faishal: Kedatangan Zulhijah tanda mula fasa penting bagi jemaah haji S’pura
Bulan Zulhijah tiba, membawa fasa penting lagi bermakna bagi jemaah haji Singapura yang telah berbulan-bulan membuat persiapan, menanti penuh debar; kini detik suci menunaikan rukun Islam kelima kian menjelang, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Mengalu-alukan kedatangan Zulhijah dalam satu catatan Facebook pada 18 Mei, Dr Faishal berkata bulan itu bukan sekadar istimewa buat Muslim sejagat, malah, ia turut meraikan makna pengorbanan dan peluang meningkatkan keimanan.
“Inilah bulan haji, bulan yang kita menyambut erti pengorbanan, sebuah peluang untuk kita memperbaharui niat dan meningkatkan keimanan dan keikhlasan dalam diri.
“Bagi jemaah Singapura kita, perjalanan kini beralih ke fasa yang bermakna.
“Setelah berbulan-bulan menanti dan bersiap, saat menunaikan rukun yang kelima kini semakin hampir,” tulis beliau.
Dr Faishal turut berkongsi ziarah ke Masjid Quba di Madinah.
Melawat masjid pertama dalam sejarah Islam itu, beliau teringat bahawa “setiap perjalanan bermula dengan penuh tawakal, mendekatkan diri kepada Allah dan mempersiapkan hati bagi hari-hari yang bakal tiba”.
“Insya-Allah, saya akan terus meluangkan masa bersama anggota jemaah dan pasukan yang bertugas di sini yang saban hari berusaha memastikan kebajikan dan kesejahteraan jemaah kita sentiasa terjaga,” kata beliau, yang kini berada di Arab Saudi selaku ketua rombongan Haji 2026.
Kesemua 900 anggota jemaah haji Singapura selamat tiba di Tanah Suci, dengan kumpulan terakhir, yang ketiga, mendarat di Madinah pada dinihari 14 Mei.
Umat Islam di Singapura akan menyambut Hari Raya Haji pada Rabu, 27 Mei.
