Topic followed successfully
Go to BHkuAcara sukan madrasah kembali, galak semangat kesukanan, perpaduan
Acara sukan madrasah kembali, galak semangat kesukanan, perpaduan
Pelajar madrasah berhimpun bagi pertandingan edisi ketiga Sukan dan Permainan Madrasah (MSG) pada 2 April
Acara sukan madrasah kembali, galak semangat kesukanan, perpaduan
Semangat kesukanan menyemarakkan suasana apabila pelajar daripada enam madrasah tempatan berhimpun di Stadium Woodlands dalam edisi ketiga acara Sukan dan Permainan Madrasah (MSG) 2026 pada 2 April.
Acara yang kembali dianjurkan selepas tujuh tahun itu menyaksikan lebih 2,500 pelajar mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan sukan, sekali gus menghidupkan semula platform yang menggalak gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan dalam kalangan pelajar madrasah.
Bertemakan ‘Kekuatan dalam Iman, Perpaduan dalam Permainan’, acara MSG kali ini bukan sahaja sekadar medan persaingan, bahkan menjadi ruang untuk memupuk nilai murni seperti kerjasama, integriti dan semangat berpasukan, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan.
Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, yang hadir sebagai tetamu kehormat, berkata acara sedemikian memainkan peranan penting dalam pembangunan menyeluruh pelajar.
“Adalah sesuatu yang menggembirakan melihat pelajar madrasah berhimpun melalui sukan, sambil mempamerkan nilai persaingan sihat, saling menghormati dan perpaduan. Sukan ini menggalakkan kesejahteraan fizikal dan mengukuhkan lagi ikatan dalam masyarakat kita,” katanya.
Di acara tersebut, pelajar sekolah rendah dilihat menyertai acara futsal dan badminton bagi kaum lelaki, serta bola jaring dan badminton bagi pelajar perempuan.
Pelajar sekolah menengah pula bertanding dalam futsal, badminton dan memanah (lelaki), serta bola jaring, badminton dan memanah (perempuan).
Bagi pelajar prauniversiti pula, mereka mengambil bahagian dalam futsal dan badminton (lelaki), serta badminton dan memanah (perempuan).
Turut diadakan ialah acara balapan seperti lari berganti-ganti, selain pertandingan ‘telematch’ yang melibatkan pelajar daripada semua madrasah yang mengambil bahagian.
Pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Isa Mohamad Iskandar, yang menyertai pertandingan bola sepak, berkata pengalaman itu amat bermakna, terutama apabila dapat mewakili sekolahnya buat kali pertama.
“Antara perkara yang saya pelajari ialah pentingnya semangat berpasukan.
“Apabila kami bermain sebagai satu pasukan, setiap kali ada pemain yang melakukan kesilapan, kami akan saling memberi semangat dan terus menyokong antara satu sama lain,” kata pelajar berusia 12 tahun itu.

