Topic followed successfully
Go to BHkuUstazah teroka bidang pendidikan prasekolah, niaga emas demi penuhi permintaan masyarakat
Ustazah teroka bidang pendidikan prasekolah, niaga emas demi penuhi permintaan masyarakat
Tetapkan misi ingin sebar ilmu tentang sistem pelaburan emas sebagai cara masyarakat bina simpanan tambahan dengan selamat
Ustazah teroka bidang pendidikan prasekolah, niaga emas demi penuhi permintaan masyarakat
Bagi mempersiapkan diri mendidik dua orang anaknya di rumah ketika keluarganya berhijrah ke Syria pada 2011, Ustazah Murni Abdul Hamid mengambil langkah mendalami kaedah pengajaran Montessori.
Namun, takdir geopolitik tidak berpihak padanya dan tiga bulan kemudian, keluarganya terpaksa kembali ke Singapura.
Berbekalkan ilmu pengajaran Montessori serta pengalaman sebagai pengetua program madrasah hujung minggu aLIVE di sebuah masjid, Ustazah Murni, 42 tahun, membuka pintu rumahnya untuk mengajar sekitar 20 pelajar.
Montessori ialah kaedah pendidikan anak-anak di peringkat prasekolah yang berasaskan penggunaan pancaindera dan kegiatan bagi merangsang kreativiti serta kemahiran menyelesaikan masalah.
Dari kelas kecil di rumahnya di Sengkang, usaha itu mekar menjadi pusat pendidikan Little Muslim Readers (LMR) Education di Woodlands pada 2013.
“Sejujurnya, saya tidak berilmu dalam bidang keusahawanan, namun kerana terdapat permintaan daripada ibu bapa untuk membuka cawangan fizikal LMR bagi menampung lebih ramai pelajar, saya pun belajar cara melakukan demikian.
“Saya bertanya kepada usahawan dan pendidik lain, selain membuat kajian sendiri mengenai undang-undang yang perlu dipatuhi sebelum membuka pusat pendidikan awal kanak-kanak dan juga geran atau bantuan pemerintah.
“Mujur, terdapat pelabur yang secara senyap-senyap menghulurkan wang sebagai sebahagian modal untuk membuka cawangan LMR,” kata Ustazah Murni ketika ditemui Berita Harian (BH) di pejabat LMR di Woodlands Close.
Dalam pada itu, beliau perhatikan terdapat jurang dalam pendidikan prasekolah Islam bagi menyediakan pelajar untuk peperiksaan kemasukan madrasah yang amat sengit dengan kadar terhad.
Justeru, beliau berusaha mengembangkan jenama LMR di samping membuka cawangan Brainy Bunch International Montessori di Singapura pada 2014.
Brainy Bunch merupakan prasekolah Montessori Islam terkenal di Malaysia dan kini mempunyai cawangan di Indonesia dan Brunei.
Meskipun telah meninggalkan peranan tradisionalnya dalam sektor masjid, pemilik ijazah Sarjana Muda dalam Syariah dari Universiti Al-Azhar itu, melihat dunia keusahawanan dan pendidikan dapat saling melengkapi.
Menggabungkan kededua bidang dengan berlandaskan prinsip Islam membolehkan beliau memenuhi keperluan masyarakat.
LMR Education kini mempunyai dua cabang di Woodlands dan Tampines yang menawarkan program pengayaan sambilan seperti program Montessori bahasa Arab dan pendidikan Islam, ‘playgroup’ (prataska) dan kecelikan Al-Quran.
Ini berbeza dengan tiga cawangan Brainy Bunch di Woodlands, Hougang dan Pasir Ris, yang menawarkan pendidikan prasekolah Islam sepenuh masa.
Menurutnya, perjalanan lebih 10 tahun dalam bidang pendidikan dan keusahawanan bukanlah mudah.
“Ada yang bertanya ‘Ustazah saya pun ingin buka Montessori atau perniagaan sendiri, bagaimana nak mula?’ dan mereka ingin saya kongsi panduan.
“Saya selalu kata mereka perlu tabah kerana terdapat banyak cabaran.
“Perlu fikir tentang pelbagai kos termasuk kos sewa premis, lesen prasekolah Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), gaji guru, kurikulum yang berstruktur dan macam-macam lagi.
“Jika matlamat membuka prasekolah hanya kerana ingin meraih keuntungan, ini bukan perniagaan yang sesuai,” kata Ustazah Murni.
Nasihat yang beliau beri kepada masyarakat, baik dari sudut pandangan seorang usahawan atau ibu lima anak, juga mencerminkan dirinya sebagai seorang guru agama.
Menerapkan nilai Islam dalam setiap subjek yang dipelajari kanak-kanak dianggap sebagai satu wadah menyebarkan dakwah, tambahnya.
Namun, usaha Ustazah Murni berdakwah tidak berakhir di situ sahaja kerana peredaran masa memerlukan pengubahsuaian dalam cara mendekati masyarakat.
Di bawah jenama LMR, selain pusat prasekolah, ia juga merangkumi LMR Edustore yang menjual alat pembelajaran, serta LMR Bullion yang menawarkan jongkong emas fizikal dan khidmat rundingan Simpanan Emas.
Dengan LMR Bullion yang dilancarkan pada 2022, beliau berharap dapat berkongsi ilmu mengenai sistem pelaburan emas sebagai satu cara yang mana masyarakat boleh membina simpanan tambahan dengan selamat dan stabil serta memenuhi syariat Islam.
Keuntungan diraih daripada LMR Bullion, yang hampir mencecah $1 juta, boleh digunakan sebagai langkah siap siaga bagi memastikan pusat pendidikannya dapat bertahan pada masa hadapan, kata Ustazah Murni.
Ekoran penurunan dalam kadar pendaftaran pelajar sebanyak 10 hingga 20 peratus pada 2026, beliau berkongsi portfolio pelaburan tambahan seperti LMR Bullion amat berguna sekiranya beliau dilanda kesusahan.
“
“Sejujurnya, saya tidak berilmu dalam bidang keusahawanan, namun kerana terdapat permintaan daripada ibu bapa untuk membuka cawangan fizikal LMR bagi menampung lebih ramai pelajar, saya pun belajar cara melakukan demikian.
