Topic followed successfully
Go to BHkuDari madrasah ke Universiti Cambridge
Dari madrasah ke Universiti Cambridge
Asas ilmu diperoleh di madrasah terus main peranan penting dalam perjalanan akademik, profesional
Dari madrasah ke Universiti Cambridge
Bagi ramai orang, peluang melanjutkan pengajian di Universiti Cambridge, sebuah universiti penyelidikan yang terkemuka dan berprestij di United Kingdom (UK), merupakan satu pencapaian besar.
Begitu juga bagi Encik Ridhwan Mohd Basor, 41 tahun.
Hakikatnya, peluang ke Cambridge tidak pernah terlintas di fikirannya sewaktu beliau bergelar pelajar madrasah suatu ketika dahulu.
Namun kini, Encik Ridhwan sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam Inovasi Sosial di bawah Sekolah Perniagaan Judge, yang terkenal dan diiktiraf di peringkat antarabangsa (AMBA) untuk program possiswazah.
“Ia merupakan program hibrid possiswazah yang direka khas untuk individu pertengahan kerjaya.
“Program ini diadakan selama dua bulan dalam talian manakala bulan ketiga dijalankan secara bersemuka di kampus pada setiap semester,” tambah Encik Ridhwan, yang perlu berulang-alik ke UK untuk pengajiannya itu.
Menariknya, beliau yang sudah berumah tangga tidak menganggap pencapaian itu sebagai sesuatu yang ‘istimewa’.
Baginya, tanggapan bahawa ‘budak madrasah’ biasanya memilih laluan menjadi asatizah tidak lagi tepat.
Realitinya, ramai pelajar madrasah kini menerokai pelbagai laluan dan mencapai kemajuan yang ketara.
“(Tanggapan) itu mungkin benar 20 tahun lalu, dan saya mungkin antara yang pertama untuk mendaftar terus ke Universiti Nasional Singapura (NUS) daripada laluan madrasah sepenuh masa.
“Kini, selain mereka yang meneruskan pengajian dalam bidang keilmuan Islam tradisional, terdapat juga lulusan yang melanjutkan pengajian ke universiti seperti Oxford, Yale dan secara tempatan di NUS, dengan bilangan yang semakin meningkat,” kata mantan Ketua Ketahanan Masyarakat di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) itu.
Seperti pelajar madrasah lain, Encik Ridhwan pernah merancang melanjutkan pengajian di universiti Islam.
Namun selepas menjalani peringkat prauniversiti di Madrasah Wak Tanjong, beliau menerima tawaran NUS dan meraih ijazah Sarjana Muda dalam Sains Politik.
Menurut Encik Ridhwan, pendidikan madrasah bukanlah satu batasan.
Ia memberikan asas yang kukuh bukan sahaja dari segi akademik, malah dalam disiplin, pemikiran kritis dan tujuan hidup.
“Mengambil laluan di luar pengajian Islam tradisional tidak bermakna meninggalkan akar itu.
“Sebaliknya, ia boleh menjadi cara membawa nilai-nilai tersebut ke ruang yang berbeza dan menyumbang dengan cara yang bermakna,” kata Encik Ridhwan, yang juga memperolehi Sarjana Sastera (MA) dalam Pengajian Dunia Muslim daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sekali gus mencapai matlamat dalam bidang agama.
Menghadapi perubahan kerjaya dan meneroka bidang baru bukan perkara asing buat Encik Ridhwan.
Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengurus Dasar Kandungan Global, Keselamatan dan Ketertiban, Kepercayaan dan Keselamatan di syarikat media sosial, TikTok, selama lebih tiga tahun, dan sebelum itu, merupakan Ketua Ketahanan Masyarakat di Muis.
Dalam artikel terbitan AMP Singapura, Encik Ridhwan berkata beliau melihat peranannya di TikTok sebagai fardu kifayah – tuntutan bersama bagi orang Islam, yang apabila dilaksanakan oleh seseorang antara mereka, yang lain bebas daripada tanggungjawab itu.
Menurutnya, keupayaan menyumbang suara dalam proses membuat keputusan global adalah perkara yang amat bermakna.
“Syarikat teknologi tidak hanya terlibat dengan teknologi semata-mata.
“Ia mempunyai peranan seperti hal ehwal kerajaan, dasar awam, pembangunan dasar, jaminan mutu dan pengurusan risiko, dengan sesetengahnya memerlukan kemahiran bahasa Arab.
“Di Muis, apabila saya mula melibatkan diri dalam penglibatan awam secara dalam talian melalui wadah muslim.sg, adalah penting untuk meningkatkan diri dengan kemahiran media digital dan pemasaran yang relevan.
“Walaupun kemahiran yang diperoleh adalah baru bagi saya, ilmu yang saya peroleh di NUS dan madrasah terus berguna,” jelasnya.
Kini, Encik Ridhwan menguruskan firma penasihat dan perundingan sendiri, DigitalWell.ai, yang ditubuhkan pada 2025.
Firma itu memberinya kelonggaran untuk merancang dan menguruskan komitmen pengajiannya di Cambridge.
“Saya bekerjasama dengan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), dengan memberi tumpuan kepada menyumbang dalam bidang berkaitan pengurusan perubahan, penglibatan digital dan pengumpulan dana, serta transformasi kecerdasan buatan (AI) untuk kesan sosial,” ujarnya.
Encik Ridhwan membiayai kos pengajiannya sendiri dan terbuka menerima peluang untuk mendapatkan biasiswa sekiranya ditawarkan.
“
“Mengambil laluan di luar pengajian Islam tradisional tidak bermakna meninggalkan akar itu. Sebaliknya, ia boleh menjadi cara membawa nilai-nilai tersebut ke ruang yang berbeza dan menyumbang dengan cara yang bermakna. ... Walaupun kemahiran yang diperoleh adalah baru bagi saya, ilmu yang saya peroleh di NUS (Universiti Nasional Singapura) dan madrasah terus berguna.”
