Syarikat pemula atau start-up harus manfaatkan kedudukan dan kekuatan Singapura sebagai hab antarabangsa untuk menembusi pasaran Asean dengan menawarkan penyelesaian atau inovasi berteraskan kemampanan.

Namun, syarikat pemula sedemikian harus berwaspada terhadap cabaran yang membelenggu Asean, antaranya merangkumi ketetapan politik dan kepelbagaian sumber sesebuah negara anggota.

Perkara itu dikongsi peserta sesi Siri Perbualan Rangkaian Karyawan (PN) Mendaki yang ditemui Berita Harian selepas acara itu pada 22 April.

Siri Perbualan PN merupakan inisiatif baru di bawah Pelan Kerja Mendaki 2030, yang bertujuan membina tenaga kerja yang bersedia bagi masa hadapan dan memupuk masyarakat profesional kukuh lagi terhubung.

Sesi lebih kurang sejam itu merupakan sesi kedua daripada enam sesi keseluruhan dalam siri perbualan tersebut.

Ia menyaksikan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan) yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, bersama Ketua Pegawai Kemampanan pemaju hartanah City Development Limited (CDL), Cik Esther An, menjawab pertanyaan hadirin.

Dipengerusikan oleh Timbalan Presiden (Prasarana Iklim) ThomasLloyd Group, Encik Muhammad Fazli Mohd Isa, sesi yang dihadiri sekitar 80 peserta itu tertumpu pada iklim, daya tahan tenaga dan kemampanan sebagai penjana ekonomi.

Seorang peserta, Encik Muhammad Firdaus Hamzah, berkata potensi Singapura boleh digarap bagi menjalankan program atau ujian rintis, sebelum hasil daripada usaha itu diperluaskan kepada pasaran Asean.

Beliau yang merupakan Pengarah Urusan Circular Transition Partners, sebuah syarikat perunding kemampanan, berkata:

“Kita berada dalam situasi di mana pembangunan negara ini jauh berbeza daripada negara-negara jiran. Oleh demikian, antara perkara yang boleh negara ini curahkan bakti adalah dalam aspek perkongsian amalan terbaik dan inovasi.

“Gunakan Singapura sebagai medan ujian atau menjalankan program rintis sebelum menjangkau ke negara Asean lain.”

Mentelah Singapura kekal sebagai tempat perlindungan selamat bagi pembangunan kemampanan bagi rantau Asean, susulan kemajuan yang dicatatkan dalam arena kemampanan, kata Encik Zaqy dalam ucapan aluannya.

Beliau akur Singapura turut berada di landasan betul untuk memenuhi wawasan Pelan Hijau Singapura 2030 yang dibentangkan pada 2021.

Dengan mengambil kira faktor sedemikian, adalah penting bagi syarikat dan usahawan secara khususnya, untuk memperkukuh usaha atau inisiatif melibatkan kemampanan, kata Penolong Ketua PN Mendaki bagi Kemampanan, Encik Safafisalam Bohari Jaon.

Beliau, yang juga Sekutu Kanan bagi Ekonomi dan Impak Sosial di salah satu firma perundingan terkemuka, berkata:

“Satu cabaran yang dihadapi ramai usahawan dan syarikat adalah mencari tempoh masa tepat bagi membina kes perniagaan (dalam kemampanan).

“Mereka mungkin dapat mencapai kata sepakat bagi melaksanakan projek atau inisiatif tertentu dalam tempoh 10 tahun.

“Tetapi sebenarnya, pembiayaan yang mereka perlukan adalah dalam tempoh setahun atau setiap suku.”

Beliau memberi contoh syarikat yang menghasilkan botol minuman plastik yang ingin menilai kos pembuangan botol berbanding kos bahan asas.

Dengan menilainya dari sudut ini, syarikat sebenarnya dapat mendapatkan semula kos daripada penghasilan botol dari peringkat awal.

Sehubungan itu, Encik Muhammad Syafiq Mohamed Sahrom berkata sesi tersebut menyedarkan dirinya peri penting aspek ketelusan, khususnya dalam tadbir urus korporat.

Pegawai pembangunan pelajar di Politeknik Singapura (SP) itu berkata: “Kita harus bergerak seiring dengan masa dan salah satu cara adalah meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kemampanan – meliputi ketelusan tadbir urus korporat.

“Pada masa sama, harus berhemat dan bijak dengan cara menyelenggara pembiayaan kewangan korporat.”