SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

S’pura ambil pendekatan seimbangkan inovasi, keselamatan AI

S’pura ambil pendekatan seimbangkan inovasi, keselamatan AI

Mar 31, 2026 | 12:00 PM

S’pura ambil pendekatan seimbangkan inovasi, keselamatan AI

josephine teo, ai, media, online
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkongsi lanjut tentang agenda kecerdasan buatan (AI) negara dan juga langkah keselamatan di dalam talian, terutama untuk kanak-kanak, dalam satu wawancara bersama media tempatan pada 27 Mac, di Lorong AI di One-North. - Foto ST

Pemerintah mengambil pendekatan seimbang dalam penerapan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), mengimbangi antara inovasi dengan keperluan langkah keselamatan, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Meskipun bidang digital, termasuk AI, sedang pesat membangun dan Singapura giat menggalakkan inisiatif AI demi memastikan ekonomi dan pekerja terus kekal berdaya saing, Cik Teo menegaskan kewujudan tadbir urus dan peraturan yang teguh adalah penting bagi mencegah penyalahgunaan.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama media tempatan pada 27 Mac, yang diadakan di Lorong AI di One-North.

Semasa wawancara itu, Cik Teo berkongsi tentang agenda AI negara dan juga langkah keselamatan di dalam talian, terutama untuk kanak-kanak.

“Konsep luas yang kami pegang adalah kepantasan mesti disertai keselamatan (speed comes with safety).

“Keselamatan adalah satu konsep yang penting. Bidang digital bersifat dinamik, terus berkembang dan sudah sangat luas.

“Kita tidak seharusnya terkejut dengan perkara baru yang muncul. Itu hakikat bidang ini.

“Dan pendekatan yang wajar kita ambil adalah, bagi hampir kesemua perkara ini, wujud ruang untuk penggunaan yang betul.

“Namun, wujud juga potensi dan ruang untuk penyalahgunaan. Kita perlu berupaya memahami kedua-duanya.

“Kemudian, persoalannya adalah apabila penyalahgunaan berlaku, apakah tahap kesan dan sejauh manakah skopnya?

“Justeru, kita perlu melaburkan masa, membina keupayaan untuk memahami dan seterusnya menentukan langkah-langkah mitigasi yang tepat untuk dilaksanakan,” kata beliau.

Semasa wawancara itu, Cik Teo menekankan komitmen pemerintah untuk membantu perniagaan dan pekerja mengguna pakai AI secara bertanggungjawab.

Antara langkah utama adalah Program Impak AI Nasional (NAIIP), yang diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) baru-baru ini.

Di bawah program itu, seramai 100,000 pekerja akan dilatih dalam ‘Dwikecekapan AI’ menjelang 2029.

Ia bertujuan memperkasakan kefasihan mereka dalam penggunaan AI dan penerapannya dalam kerja.

Daya usaha itu akan dimulakan dengan sektor perakaunan dan undang-undang.

Perbincangan sedang berjalan untuk melanjutkannya ke sektor sumber manusia (HR) dan logistik.

NAIIP turut disasarkan untuk menyokong sekitar 10,000 perusahaan, membantu mereka menyepadukan AI ke dalam proses perniagaan sepanjang tiga tahun akan datang.

Malah, hala tuju strategik dan agenda AI negara akan diterajui sendiri oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang akan mempengerusikan sebuah Majlis AI Kebangsaan yang baru.

Ini membuktikan usaha terlaras pemerintah dalam memastikan Singapura terus maju dalam arena AI sejagat.

Ditanya mengenai kayu ukur kejayaan program AI tersebut, Cik Teo menjelaskan ia bukan terletak pada satu perangkaan tunggal.

Sebaliknya, keberkesanan diukur melalui kesan yang dirasai dalam kehidupan dan kelestarian kerjaya para pekerja.

Salah satu petunjuk utama adalah kadar kebolehpasaran yang tinggi, serta kesediaan pekerja untuk menyesuaikan diri dengan AI asalkan mereka terus berpeluang mendapat pekerjaan yang bermakna.

Selain kebolehpasaran, tumpuan juga diberikan kepada kemajuan kerjaya dan pertumbuhan gaji.

Cik Teo menyatakan pemerintah berhasrat memastikan penggunaan AI dalam industri meningkatkan nilai kerja, sekali gus menjana pendapatan yang lebih baik bagi pekerja.

“Oleh itu, kami akan meneliti petunjuk yang lebih luas ini; sama ada ekonomi masih mampu mewujudkan dan mengekalkan pekerjaan yang baik, dan sama ada individu dalam tenaga kerja terus berupaya untuk membuat kemajuan.

“Mampukah anda mengaitkan kejayaan usaha ini semata-mata dengan program ‘Dwikecekapan AI’? Saya rasa jawapannya tidak.

“Tetapi, adakah anda melihat ia memainkan peranan penting dalam memastikan perkara ini berlaku? Saya rasa jawapannya semestinya ya, jadi kami sangat jelas tentang perkara itu,” tambah beliau.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg