Topik diikuti
Pergi ke BHkuMadrasah Al-Ma’arif sasar forum bagi kumpul lebih $10,000; bantu pelajar, bangun prasarana
Madrasah Al-Ma’arif sasar forum bagi kumpul lebih $10,000; bantu pelajar, bangun prasarana
Madrasah Al-Ma’arif sasar forum bagi kumpul lebih $10,000; bantu pelajar, bangun prasarana
Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah menyasarkan kutipan dana melebihi $10,000 untuk membiayai keperluan teras: bantuan pendidikan dan sokongan pelajar, pembangunan infrastruktur serta inisiatif pembelajaran digital, kata mudirah madrasah, Cikgu Maisarah Kasim
Usaha pengumpulan dana sedang giat dijalankan termasuk pelancaran kupon amal Beriani Dum Masjid Khalid berharga $15, serta jualan makanan di Masjid Yusof Ishak, kesemuanya bersempena penganjuran sulung Forum Minda Muslimah pada 16 Mei.
Forum bertajuk Tarbiyah Sepanjang Zaman Membina Generasi Rabbani itu menampilkan Ustazah Shameem Sultanah dan Ustazah Hamidunnisah Md Hussein sebagai penceramah utama.
Acara forum ini adalah sebahagian daripada tirai sambutan ulang tahun ke-90 madrasah, yang kemuncaknya bakal berlangsung pada 19 September.
Berkongsi lebih lanjut Cikgu Maisarah berkata:
“Dana yang dikumpulkan akan membantu menyokong beberapa keperluan utama madrasah, termasuk bantuan pendidikan dan sokongan pelajar, pembangunan prasarana serta pembelajaran digital, di samping memperkukuhkan program pembangunan pelajar dan institusi demi memastikan kelangsungan dan kemajuan madrasah pada masa hadapan.”
Jemaah Muslimah yang berminat untuk menyertai forum itu digalakkan agar dapat menghadirkan diri awal dan bersolat isyak berjemaah sebelum acara berlangsung dari 8.45 malam hingga 10.30 malam.
Cikgu Maisarah turut melahirkan harapan agar forum, yang dikendalikan Ustazah Widadul Wahidah itu dapat menjadi wadah ilmu, tazkirah, dan muhasabah bagi memperkukuh peranan Muslimah dalam membentuk generasi yang bertakwa.
“Melalui perkongsian yang bakal disampaikan, kami berharap para peserta bukan sahaja memperoleh manfaat ilmu dan pengisian rohani, malah dapat membina kesedaran tentang pentingnya tarbiyah berterusan dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini.
“Program ini juga diharapkan dapat mengeratkan ukhuwah sesama Muslimah serta memperkukuhkan sinergi antara institusi madrasah, masjid, keluarga dan masyarakat dalam membentuk generasi yang berakhlak, berilmu dan berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam,” ujar beliau.
Menurutnya, ulang tahun ke-90 Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah bukan sekadar acara perayaan semata-mata, tetapi ia adalah usaha bersama untuk memperkukuhkan legasi institusi dan memastikan madrasah ini terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah diasaskan pada 1936, bermula sebagai inisiatif komuniti untuk menyediakan pendidikan agama dan akademik kepada pelajar lelaki dan perempuan.
Menjelang 1969, madrasah itu secara rasmi menjadi institusi khusus untuk pelajar perempuan, mencerminkan peningkatan kepercayaan terhadap kepentingan pendidikan agama bagi wanita.
