Jumlah laporan berkaitan kes rasuah di Singapura jatuh ke paras paling rendah sejak 2010, meneruskan trend kemerosotan buat sekurang-kurangnya lima tahun berturut-turut.

Berdasarkan laporan tahunan 2025 yang dikeluarkan pada 28 April, jumlah laporan berkaitan kes rasuah yang diterima oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) merosot sebanyak 10 peratus, iaitu daripada 177 laporan pada 2024 kepada 160 pada 2025.

Sementara itu, jumlah kes rasuah yang didaftar untuk siasatan menunjukkan trend menurun.

Sebanyak 68 kes disiasat bagi 2025, berbanding 75 pada 2024 dan 81 pada 2023, tambah CPIB.

Menurut CPIB, laporan akan didaftar untuk siasatan jika maklumat yang diterima kukuh dan boleh dipercayai.

Menghuraikan angka tersebut, jumlah kes melibatkan sektor awam yang disiasat juga kekal rendah.

Pada 2025, hanya satu daripada 68 kes yang disiasat melibatkan sektor awam, berbanding dengan tujuh pada 2024.

Salah satunya, yang berlaku pada Mei 2025, melibatkan seorang bekas pegawai ujian memandu yang didakwa cuba mendapatkan $150 daripada seorang calon di Pusat Memandu Bukit Batok sebagai imbalan memberikan kelonggaran semasa ujian memandunya.

Bagi kes yang disiasat pada 2025, terdapat 22 kes di mana pekerja sektor awam menolak rasuah yang ditawarkan oleh orang awam, tambah CPIB.

Pegawai yang menolak rasuah adalah daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan seorang pegawai syarikat keselamatan penerbangan, Certis Cisco Aviation Security.

CPIB turut mencatatkan kadar sabitan sebanyak 100 peratus pada 2025.

Namun, kadar sabitan itu merosot kepada 91 peratus, selepas mengambil kira kes yang ditarik balik selepas tertuduh didakwa di mahkamah dan sebelum keputusan mahkamah dijatuhkan, jelas CPIB.

Dalam laporan tahunan itu, CPIB menyatakan bahawa keadaan rasuah di Singapura yang “terkawal dengan baik” adalah hasil pendekatan yang merangkumi pelbagai pihak dan pendirian teguh dalam mencegah amalan rasuah.

“Dengan anggota masyarakat yang berwaspada, pendekatan bersama melengkapi usaha pencegahan amalan rasuah dengan mempergiat nilai integriti dan amanah.

“Ia sekali gus memastikan budaya rasuah tidak dapat berakar umbi.

“Sepanjang 2025, CPIB telah mempertingkat usaha mencegah amalan rasuah dalam sektor awam dan swasta, terutama bagi industri yang lebih terdedah kepada risiko rasuah.

“Ini termasuk bekerjasama dengan pihak media, anggota karyawan dan persatuan perdagangan untuk mempergiatkan mesej menolak rasuah,” tambah laporan itu.

Bagi 2025, CPIB mendedahkan bahawa 90 individu telah didakwa di mahkamah atas kesalahan yang disiasat oleh biro tersebut, dengan 84 individu daripada sektor swasta.

CPIB menekankan bahawa industri binaan, perkilangan, pengangkutan dan ruang simpanan muncul sebagai yang paling terdedah kepada rasuah, setelah meneliti kes melibatkan pekerja sektor swasta yang telah disabit kesalahan sepanjang dekad lalu.

Enam individu lain yang didakwa pada 2025 merupakan pekerja sektor awam daripada NEA, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Sekolah Menengah St Anthony Canossian dan Institusi St. Joseph.

Bagi 2025, CPIB mendedahkan bahawa 90 individu yang telah didakwa di mahkamah atas kesalahan yang disiasat oleh biro itu, dengan 84 individu daripada sektor swasta.
Bagi 2025, CPIB mendedahkan bahawa 90 individu yang telah didakwa di mahkamah atas kesalahan yang disiasat oleh biro itu, dengan 84 individu daripada sektor swasta. - Foto ST

Dalam pada itu, CPIB berkata ia akan terus mempertingkatkan langkah pencegahan rasuah melalui kerjasama yang dipertingkatkan dengan rakan sekerja dalam sektor awam dan swasta.

Misalnya, CPIB bekerjasama dengan Rangkaian dan Hubungan Pencegahan Rasuah (ACPN) dan Institut Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA), untuk bertemu dengan lebih 160 karyawan dari institusi kewangan dan audit, antara lain, demi berkongsi amalan terbaik untuk mencegah amalan rasuah dengan lebih berkesan.

Langkah pencegahan tersebut berjaya meningkatkan kepercayaan warga Singapura terhadap langkah pencegahan amalan rasuah, serta memperkukuhkan kedudukan yang baik di peringkat antarabangsa, kata CPIB.

“CPIB akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan rasuah.

“Dengan sokongan daripada rakan kongsi serta masyarakat, CPIB akan terus memastikan Singapura kekal bebas daripada gejala rasuah,” tambah biro itu.

CONTOH KES

Berikut beberapa contoh siasatan kes rasuah yang ditangani CPIB:

Lima warga asing terlibat dalam kes rasuah jual ubat perangsang seks secara haram

Pada 18 Julai 2025, lima warga negara China didakwa di mahkamah kerana menawarkan rasuah kepada pegawai NEA dan SPF, demi mengelak beberapa kesalahan, termasuk merokok di kawasan dilarang dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Semua pegawai penguatkuasaan tersebut menolak rasuah itu.

Siasatan CPIB membongkar skema di mana kelima-lima warga asing itu ingin ditangkap supaya mereka boleh mendapatkan Pas Khas.

Langkah itu membolehkan mereka untuk terus tinggal di Singapura, dengan niat menjual ubat perangsang seks secara haram sementara menunggu perbicaraan.

Mereka turut didakwa membayar penjamin mereka bagi memudahkan urusan ikat jamin serta pelanjutan tempoh ikat jamin.

Kesemua warga asing itu kini ditahan reman tanpa jaminan, sementara siasatan masih diteruskan.

Sembilan individu terlibat mengatur perlawanan bola keranjang

Pada 19 Ogos 2025, sembilan individu ditangkap oleh CPIB kerana didakwa terlibat dalam kesalahan mengaturkan perlawanan dalam Liga Bola Keranjang K. Star Nasional Divisyen Satu.

Sembilan individu yang didakwa dibentuk oleh lapan warga Singapura dan seorang penduduk tetap, yang berusia antara 19 dengan 35 tahun.

Ini termasuk pemain dalam liga tersebut.

Siasatan dakwaan rasuah itu masih diteruskan.

Siasatan bekas pekerja Esplanade, Arts House dan pengarah syarikat pembinaan

Pada 31 Oktober 2025, bekas pekerja di Syarikat Esplanade Co Ltd (TECL) dan Arts House Limited (AHL), Saburulla Abdul Gani, didakwa atas tuduhan rasuah.

Saburulla didakwa menerima rasuah berjumlah lebih $96,000 antara 2005 dengan 2022 daripada tiga pengarah syarikat, dengan tujuan memajukan kepentingan perniagaan mereka dengan TECL atau AHL dalam pelbagai projek pengubahsuaian dan pemasangan.

Tiga pengarah yang turut didakwa atas tuduhan rasuah ialah Pengarah JYD Design, Yeoh Wee Yeong; dan dua pengarah di Aceproject Construction, Chew Kim Kee dan Eng Kim Hai.

Mereka turut didakwa ingin memberi sebut harga yang palsu bagi memperlihatkan seolah-olah kedua-dua syarikat itu menawarkan harga terendah, demi mendapatkan pelbagai kontrak daripada TECL atau AHL.

Kes itu sedang dalam perbicaraan di mahkamah

Siasatan bekas pegawai ujian memandu BBDC cuba mendapatkan rasuah

Pada 11 Disember 2025, bekas pegawai ujian memandu, Muhamad Zahirey Ishak, didakwa cuba mendapatkan $150 daripada seorang calon, di Pusat Memandu Bukit Batok sebagai imbalan untuk memberikan kelonggaran semasa ujian memandunya.

Muhamad, yang ketika itu bertugas di bawah syarikat People Advantage, didakwa atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

“Sepanjang 2025, CPIB telah mempertingkatkan usaha untuk mencegah amalan rasuah dalam sektor awam dan swasta, terutama bagi industri yang lebih terdedah kepada risiko rasuah.”
Kenyataan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).