Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura duduki tempat ketiga dalam kalangan 182 negara cegah rasuah
S’pura duduki tempat ketiga dalam kalangan 182 negara cegah rasuah
Kedudukan, markah ini kekal sama seperti 2024, terbaik di Asia Pasifik
S’pura duduki tempat ketiga dalam kalangan 182 negara cegah rasuah
Singapura menduduki tangga ketiga antara 182 negara dalam mencegah rasuah, menurut Indeks Persepsi Rasuah 2025 (TI-CPI) oleh badan pertubuhan yang berpangkalan di Jerman, Transparency International.
Kedudukan dan markah tersebut kekal sama seperti 2024, menjadikannya negara terbaik di Asia-Pasifik.
Pencapaian itu seiring dengan laporan tahunan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) 2025, yang menunjukkan jumlah kes rasuah yang dilaporkan dan disiasat di Singapura berada pada paras terendah sejak 2010.
Dalam Tinjauan Persepsi Awam 2025, yang ditauliahkan oleh CPIB, 98 peratus responden menilai situasi rasuah di Singapura sebagai ‘Baik’ hingga ‘Cemerlang’.
CPIB melantik syarikat penyelidikan yang bebas untuk menjalankan penyelidikan tersebut.
Responden menonjolkan usaha gigih pemerintah, pendirian antirasuah yang tegas, dan keberkesanan dasar sebagai tunjang utama kadar rasuah yang rendah.
CPIB turut mencatatkan “peningkatan ketara dalam keyakinan dan kepercayaan masyarakat” terhadap usaha biro. Sebanyak 97 peratus responden ‘Setuju’ atau ‘Sangat Setuju’ bahawa CPIB berkesan mengawal rasuah, berbanding 84 peratus pada 2024.
Selain itu, 97 peratus responden percaya CPIB mampu menjalankan tugas pencegahan rasuah, berbanding 86 peratus pada 2024.
Lebih 95 peratus responden juga memberi respons yang serupa bagi soalan-soalan berkaitan dalam tinjauan itu.
Singapura juga melonjak ke kedudukan kedua daripada 143 negara dalam Indeks Kedaulatan Undang-Undang 2025 oleh Projek Keadilan Dunia, yang turut menilai keberkesanan pencegahan rasuah di peringkat kementerian.
Tambahan pula, Singapura meraih markah tertinggi dalam kalangan 16 ekonomi Asia, Amerika Syarikat, dan Australia, dalam Laporan Berkaitan Rasuah 2025 oleh Syarikat Perundingan Risiko Politik dan Ekonomi.
CPIB mengaitkan kejayaan tersebut dengan tindakan penguatkuasaan yang pantas, tegas, dan berprinsip toleransi sifar terhadap rasuah.
Langkah itu memastikan persaingan perniagaan yang adil serta kesejahteraan masyarakat umum.
“Keadaan rasuah dikawal dengan baik. CPIB akan terus mengambil tindakan berkesan ke atas pesalah, dan memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan dan masyarakat untuk memastikan amalan rasuah terus dibendung,” kata biro itu.
