Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan hakim M’sia dilantik terajui SPRM
Mantan hakim M’sia dilantik terajui SPRM
Pelantikan ketua baru agensi antirasuah diperkenan Agong, berkuat kuasa 13 Mei
Mantan hakim M’sia dilantik terajui SPRM
KUALA LUMPUR: Mantan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman telah dilantik sebagai Ketua Pesuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata dalam satu kenyataan pada 25 April bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Datuk Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang berkuat kuasa pada 13 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang tamat kontrak pada 12 Mei nanti.
Sultan Ibrahim telah mengatakan pada 23 April, akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Menurut beliau jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Pada 24 April, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembahkan cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu kepada Yang di-Pertuan Agong dan telah diterima, menurut kenyataan tersebut.
Kata Tan Sri Shamsul: “Kerajaan berkeyakinan bahawa dengan pengalaman luas serta integriti yang tinggi, Datuk Abdul Halim akan mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara.”
Kabinet Malaysia telah mengarahkan satu siasatan dijalankan terhadap pegangan saham Ketua SPRM, Tan Sri Azam.
Siasatan tersebut akan dikendalikan oleh sebuah panel pegawai awam kanan yang diketuai oleh Peguam Negara bagi memastikan ketelusan dalam proses tersebut.
Selain isu pegangan saham, Kabinet turut mengarahkan agensi penguat kuasa dan agensi lain, termasuk SPRM sendiri, untuk menyiasat dakwaan berasingan mengenai rangkaian usahawan yang digelar sebagai ‘mafia korporat’.
Rangkaian tersebut didakwa telah berpakat dengan beberapa pegawai SPRM bagi tujuan menyingkirkan eksekutif-eksekutif syarikat tertentu.
Datuk Abdul Halim dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 2005, sebelum dipindahkan ke Kuantan pada 2006, dan kemudian dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2007.
Beliau kemudiannya berkhidmat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2009, dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2010, sebelum tempoh perkhidmatan panjangnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam dari 2013 hingga persaraan wajibnya pada Mac 2023.
Sementara itu, nama Tan Sri Azam menjadi perhatian dalam landskap tadbir urus negara, khususnya dalam konteks peranan sebagai Ketua SPRM kerana sepanjang perkhidmatannya, beliau dikaitkan dengan pelbagai usaha memperkukuh agenda antirasuah negara.
Namun, pada masa sama beliau turut berdepan beberapa dakwaan yang turut mencetuskan perbahasan awam.
Antaranya dakwaan berkaitan pemilikan saham yang menjadi perhatian umum seperti dilaporkan media antarabangsa.
Isu terbabit telah mencetuskan perdebatan mengenai aspek integriti dan tadbir urus dalam kalangan pemegang jawatan tinggi institusi penguatkuasaan.
Susulan dakwaan berkenaan, beberapa pihak menuntut penjelasan serta ketelusan dalam proses siasatan bagi memastikan keyakinan awam terhadap SPRM tidak terjejas.
Tan Sri Azam mula memegang jawatan sebagai Ketua SPRM pada 5 Mei 2020.
Beliau kekal dalam peranan semasa pentadbiran tiga Perdana Menteri, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Anwar.
