Bayangkan anda di kedai yang sempit, sedang buntu menyemak status halal sesuatu produk di Internet.

Bagi ramai Muslim, sama ada di tanah air mahupun di perantauan, dilema sebegini sering menuntut kepastian pantas sebelum membuat pembelian.

Bagi Encik Razil Zulkarnain Taha, kerumitan itu mencetuskan ilham untuk membina satu huraian digital yang berkesan. Beliau membangunkan HalalSnap, aplikasi mudah alih berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang memudahkan penilaian status halal hanya dengan merakam gambar produk.

Aplikasi ini bukan sekadar inovasi teknikal; ia lahir daripada keinginan tulus beliau untuk berbakti kepada masyarakat melalui kepakaran yang dimiliki.

“Saya ingin menyumbang kepada masyarakat Islam melalui kemahiran IT saya,” ujar jurutera perisian berusia 41 tahun itu.

“Inisiatif ini juga menjadi wadah untuk saya terus meneroka potensi teknologi AI yang kian pesat berkembang.”

Bagi Razil, prinsip utama yang dipegang sejak awal ialah untuk membina sesuatu yang benar-benar berguna untuk dirinya sendiri terlebih dahulu.

“Bagi saya, penting untuk hasilkan sesuatu yang saya sendiri akan guna dan rasa bermanfaat, sebelum saya minta orang lain gunakannya,” ujar beliau.

Proses pembangunan HalalSnap dimulakan sekitar Mei 2025, di mana beliau meluangkan masa senggang dan hujung minggu selama empat bulan untuk menyempurnakannya.

Pada Julai 2025, aplikasi ini sedia untuk dimanfaatkan oleh orang ramai.

Setakat ini, inovasi tersebut telah menarik lebih 900 muat turun, dengan sebilangan pengguna tampil memberikan sokongan melalui langganan bagi memastikan kelestarian projek ini.

Keunikan HalalSnap berbanding aplikasi sedia ada terletak pada keupayaannya menganalisis produk melalui rakaman visual, tanpa perlu bergantung kepada kod bar atau pangkalan data statik.

Pengguna juga bebas daripada kerumitan pendaftaran, kewajipan melanggan, mahupun gangguan iklan yang sering menjejaskan tumpuan.

“Keutamaan saya adalah memberikan pengalaman yang lancar. Tak perlu mendaftar atau bimbang jika produk tiada dalam rekod, pengguna hanya perlu petik gambar untuk keputusan segera,” jelasnya.

Sistem ini dirangka berteraskan prinsip penyemakan yang teliti, menyamai kriteria badan berautoriti yang menilai aspek ramuan, punca sumber, serta tatacara penghasilan demi menghindarkan sebarang unsur syubhah.

“Matlamat aplikasi ini bukanlah untuk menidakkan pertimbangan kendiri, sebaliknya bertindak sebagai instrumen sokongan bagi menghuraikan keraguan melalui penjelasan yang tuntas,” tambah beliau.

HalalSnap melangkaui sekadar semakan label dengan mengintegrasikan faktor holistik seperti kredibiliti jenama, lokasi kilang, potensi pencemaran silang, serta norma penerimaan setempat.

Strategi ini, menurut Razil, menawarkan perspektif yang lebih meyakinkan dan praktikal berbanding kaedah semakan ramuan secara terpencil.

Fleksibiliti aplikasi ini turut meliputi keperluan harian yang meluas, merangkumi bahan kosmetik, suplemen kesihatan, serta barangan dandan diri.

“Produk yang kelihatan lazim seperti antiseptik kadangkala menyembunyikan kandungan alkohol atau elemen lain yang memerlukan kepastian,” jelas Razil lagi.

Demi menjamin capaian sejagat, beliau memperkenalkan model sokongan yang berpaksikan semangat kemasyarakatan.

Kemudahan akses percuma disediakan melalui peruntukan kredit mingguan, manakala pilihan langganan ditawarkan bagi mereka yang memerlukan penggunaan tanpa batas.

“Melalui sokongan para pelanggan, kita dapat menyalurkan lebih banyak manfaat percuma kepada pengguna lain. Ini adalah tentang komuniti mengatasi keuntungan,” tegasnya.

Untuk memastikan aplikasi HalalSnap mesra pengguna, Encik Razil Zulkarnain Taha, mendapatkan pertolongan dari anggota keluarga dan rakan-rakan dan meminta maklum balas mereka. Anaknya, Muhammad Ihsan Razil (kanan), digelar sebagai penguji peribadinya untuk memastikan aplikasi tersebut mudah digunakan untuk semua.
Untuk memastikan aplikasi HalalSnap mesra pengguna, Encik Razil Zulkarnain Taha, mendapatkan pertolongan dari anggota keluarga dan rakan-rakan dan meminta maklum balas mereka. Anaknya, Muhammad Ihsan Razil (kanan), digelar sebagai penguji peribadinya untuk memastikan aplikasi tersebut mudah digunakan untuk semua. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Perjalanan membangunkan aplikasi tersebut juga tidak dilakukan secara bersendirian.

Razil menjelaskan bahawa sokongan moral serta maklum balas daripada ahli keluarga merupakan tunjang utama dalam fasa percubaan.

Malah anak lelakinya, Muhammad Ihsan Razil, berusia 10 tahu turut dikerahkan sebagai antara individu terawal yang menguji tahap kebolehgunaan aplikasi ini.

“Penanda aras saya mudah; jika anak saya mampu mengendalikannya secara mandiri, maka aplikasi itu telah mencapai tahap mesra pengguna yang diinginkan,” kongsi beliau dalam nada ceria.

Melangkah ke hadapan, Razil berhasrat memperkasakan HalalSnap dengan kepelbagaian fungsi baharu, merangkumi pengesan kandungan gluten, diet keto, profil kalori, elemen vegan, serta amaran alahan makanan.

Visi beliau juga mencakup jalinan kerjasama strategik bersama pihak berwibawa bagi memelihara ketepatan data supaya sentiasa selari dengan piawaian industri masa kini.

Beliau menitipkan harapan agar komuniti memanfaatkan kemudahan ini, yang kini boleh diakses tanpa sebarang caj di gedung aplikasi iOS serta Android.

“Harapan saya adalah untuk melihat inovasi ini meringankan beban semakan halal secara pantas dan telus. Sokongan kolektif amat dialukan demi memastikan manfaatnya dapat disebarluaskan kepada lebih ramai pengguna,” ulasnya lagi.