Satu soalan yang diajukan kepada kru kabin Singapore Airlines (SIA) oleh pengguna media sosial @opsieeedaisyyy di platform Threads mencetuskan perbincangan hangat mengenai status halal hidangan Muslim yang disajikan dalam penerbangan Singapura itu, khususnya apabila makanan tersebut dipanaskan menggunakan ketuhar yang sama dengan hidangan tidak halal.

Perbincangan itu, yang meraih lebih 3,400 tanda suka dan 732 komen, turut menarik perhatian Unit Halal, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Hantaran oleh pengguna Threads mendapat perhatian Unit Halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan meraih lebih 700 komen.
Hantaran oleh pengguna Threads mendapat perhatian Unit Halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan meraih lebih 700 komen. - Foto TANGKAP SKRIN THREADS @OPSIEEDAISYYYY

Semasa dihubungi Berita Harian (BH), jurucakap Muis menjelaskan bahawa penggunaan peralatan bersama seperti ketuhar tidak secara automatik menjejas status halal makanan, selagi tiada sentuhan langsung atau pencampuran antara makanan halal dan tidak halal.

“Prinsip ini selaras dengan amalan halal yang telah lama diamalkan dalam sekitaran yang dikongsi, seperti di pejabat yang menggunakan peti sejuk atau ketuhar gelombang mikro bersama. Selagi makanan halal disimpan dengan rapi dan dikendalikan dengan betul, status halalnya kekal terpelihara,” katanya.

Menurut jurucakap itu lagi, ulama Islam klasik turut membincangkan situasi seumpama ini dan berpendapat bahawa sebarang pencemaran yang kecil serta tidak disengajakan dimaafkan, khususnya apabila makanan berada dalam bekas yang tertutup dengan baik.

Ini bererti memanaskan semula makanan yang dibungkus rapi dalam sekitaran pemanasan yang sama dibolehkan.

Muis menjelaskan bahawa meskipun sesebuah syarikat penerbangan tidak mempunyai sijil halal, ia tidak bermakna makanan yang dihidang tidak halal.

Ini kerana pensijilan diberikan berdasarkan penghasilan makanan serta proses menangani makanan, bukan entiti syarikat penerbangan itu sendiri.

Menjawab pertanyaan laman web kewartawanan warga Stomp, jurucakap SIA mengesahkan bahawa hidangan Muslim yang disediakan tidak mengandungi daging babi, lemak babi atau alkohol, dan bahan-bahan yang digunakan diperoleh daripada pembekal yang mempunyai pensijilan halal.

“Hidangan ini tidak diperakui halal kerana peralatan hidangan tidak diasingkan mengikut jenis makanan dan ia dipanaskan semula dalam ketuhar yang sama dengan hidangan lain dalam penerbangan,” kata jurucakap itu.

Pengguna @opsieeedaisyyy dalam hantaran asalnya menjelaskan bahawa penerbangannya bersama sebuah syarikat penerbangan Timur Tengah yang menyediakan hidangan halal sepenuhnya telah dibatalkan, dan beliau sedang mencari penerbangan alternatif.

Dalam ruangan komen, seorang pengguna Threads menasihati agar penumpang mengelak makanan tersebut sekiranya masih rasa ragu.

“Jika anda ragu-ragu, nasihat saya jangan makan. Tempah mi segera yang mempunyai logo halal, kerepek atau snek untuk penerbangan panjang. Saya biasanya memilih ikan atau makanan laut, atau menempah hidangan Muslim sebelum penerbangan,” katanya.

Beberapa pengguna Threads yang mendakwa mereka kru kabin SIA turut berkongsi bahawa hidangan halal dan tidak halal sememangnya dipanaskan bersama, namun langkah diambil bagi mengelakkan pencemaran silang.

“Pertama, kami akan memastikan hidangan tersebut adalah yang ditempah oleh penumpang. Kami juga akan menggunakan ketuhar berasingan jika ada. Namun, jika semua ketuhar digunakan, hidangan khas akan diletakkan di bahagian atas rak ketuhar,” jelas seorang pengguna.