Keluarga dan rakan-rakan berada dalam kedudukan terbaik untuk mengenal pasti tanda-tanda awal seseorang mula melalui proses menjadi radikal, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri) Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Menulis di media sosial pada 27 Julai, Encik Zhulkarnain berkata berbanding keluarga dan rakan-rakan yang “paling hampir”, pihak berkuasa tidak mampu mengesan setiap kes pada peringkat awal.

“Walaupun Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah berjaya mengesan kes-kes ini, mereka tidak mungkin dapat mengesan setiap kes pada peringkat awal,” ujar beliau.

“Ahli keluarga dan rakan-rakan adalah pihak yang paling hampir dan berada dalam kedudukan terbaik untuk mengenal pasti tanda-tanda awal seseorang mula melalui proses radikalisasi.”

Encik Zhulkarnain, yang secara kebetulan menggalas jawatan di Kementerian Ehwal Dalam Negeri itu pada hari yang sama, berkata demikian semasa mengulas mengenai pengumuman ISD berkenaan penahanan tiga belia rakyat Singapura yang menjadi radikal sendiri.

Tiga belia itu berusia 19, 15 dan 14 tahun dan mereka ditahan secara berasingan sejak April 2026.

Menurut ISD, pelajar berusia 14 tahun yang berada di Menengah 2 itu merancang untuk menyerang rakan sekolah dan guru di sekolah dengan pisau semasa cuti sekolah pada Jun 2026.

Namun, rancangannya terbongkar selepas seseorang yang tidak dinamakan daripada sekolah yang sama membuat laporan kepada pihak berkuasa dan pelajar tersebut ditahan pada Mei, beberapa minggu sebelum tarikh dia bercadang untuk melaksanakan serangan.

Pada masa yang sama, ISD berkata keluarga dan rakan-rakan pelajar berusia 15 tahun itu kelihatan mengetahui hal itu melalui pandangan ekstrem yang dipegangnya, tetapi tiada yang melaporkan pelajar itu kepada pihak berkuasa.

Lebih separuh daripada 23 belia yang ditangani di bawah ISA dalam tempoh sedekad yang lalu – termasuk tiga belia yang diumumkan pada 27 Julai – berhasrat melaksanakan serangan di Singapura kata ISD.

Ia juga berkata belia yang menjadi radikal buat masa ini berusia lebih muda.

Encik Zhulkarnain berkata: “Kes terbaharu yang melibatkan tiga belia rakyat Singapura yang diradikalisasi sendiri menjadi peringatan bahawa ancaman radikalisasi masih nyata, khususnya dalam kalangan golongan muda.”