Penahanan tiga belia lelaki warga Singapura berusia antara 14 dengan 19 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 27 Julai menunjukkan “peranan yang semakin kritikal” bagi ibu bapa di rumah untuk memantau kegiatan anak-anak dalam talian serta kepentingan kewaspadaan di sekolah.

Ini memandangkan proses radikalisasi dalam kalangan belia tidak berlaku secara semalaman, sebaliknya ia juga mampu bermula daripada emosi yang terpendam buat tempoh yang lama, kata penganalisis.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), para penganalisis itu berkata isu emosi seperti pengalaman dibuli serta perasaan terasing juga berisiko mendorong golongan muda ke dalam kancah ekstremisme.

Anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Mustazah Bahari, berkata ada belia yang mungkin berasa tertekan akibat dibuli dan ingin mengambil kesempatan membalas dendam atas nama Islam.

“Pemantauan ibu bapa adalah amat penting memandangkan mereka masih berada di usia yang muda,” kata Ustaz Mustazah.

“Proses radikalisasi bukanlah sesuatu yang berlaku semalaman, sebaliknya ia merupakan perasaan yang telah lama dipendam.

“Lantas, ibu bapa sepatutnya mengambil langkah proaktif dalam memantau anak-anak dan peka terhadap tanda awal seperti tekanan emosi atau kemurungan.”

Beliau berkata pihak sekolah juga perlu meningkatkan kewaspadaan bagi mengesan sebarang perubahan tingkah laku yang ganjil atau tidak normal pada peringkat awal.

Secara keseluruhannya, usaha melindungi golongan muda daripada ancaman radikalisasi menuntut pendekatan menyeluruh daripada segenap lapisan masyarakat, tambahnya.

Pada 27 Julai, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengumumkan penangkapan tiga belia lelaki warga Singapura.

Ketiga-tiganya, secara berasingan, telah membuat persiapan untuk melibatkan diri dalam serangan di dalam negara.

Salah seorang daripada mereka merupakan pelajar berusia 14 tahun yang ditangkap pada Mei, sebulan sebelum rancangan serangannya ke atas sekolahnya.

Pelajar Menengah 2 itu menyokong kumpulan militan Isis, mengagumi tembakan beramai-ramai, serta telah membuat perancangan untuk menjalankan serangan penikaman beramai-ramai di sekolah menengahnya semasa cuti sekolah Jun, kata ISD pada 27 Julai.

Pelajar tersebut telah merangka manifesto setebal 21 muka surat yang memperincikan rancangan serangannya, termasuk pilihan senjata serta senarai sasarannya, yang merangkumi guru dan pelajar bukan Islam.

Pada 2024, remaja berkenaan, yang ketika itu berusia 12 tahun, menemui permainan penembak orang pertama (FPS) di platform permainan dalam talian Roblox yang mereka semula insiden tembakan di sekolah dalam kehidupan sebenar, seperti kejadian tembakan di Sekolah Tinggi Columbine di Amerika Syarikat pada 1999.

Atas rasa ingin tahu, remaja tersebut mencari maklumat lanjut di dalam talian dan mendapati bahawa beberapa penembak tegar merupakan mangsa buli, dan tindakan ganas mereka itu adalah bentuk pembalasan dendam terhadap orang yang pernah berbuat jahat kepada mereka.

Remaja berkenaan mendapati dirinya merasai nasib yang sama dengan penembak tersebut kerana dia mendakwa turut menjadi mangsa buli.

Namun, belum sempat dia melakukan serangan, seseorang di sekolahnya telah menyedari tanda radikalisasi pada diri pelajar itu dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Dua belia yang lain merupakan seorang pelajar lelaki Menengah 4 berusia 15 tahun, dan seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun, Tan Jun Jie, yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IHL).

Ustaz Mustazah turut menambah, Islam bukanlah agama yang menganjurkan sifat membalas dendam, maka, apa yang dipegang kumpulan belia itu tidak selari dengan agama.

“Jika seseorang itu bertindak untuk menyerang kumpulan tertentu, itu sebenarnya kezaliman.

“Islam bukan agama untuk menunjukkan kekerasan sampai orang takut, tetapi agama yang sejahtera,” katanya.

Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, pula berkata radikalisasi kini merentasi pelbagai usia, maka ia memerlukan bantuan daripada setiap lapisan masyarakat untuk mengatasinya.

“Kita sering menyangka bahawa mereka yang terpengaruh ini adalah golongan yang lebih dewasa... kerana mereka lebih banyak mendapat maklumat dan mempunyai akses kepada maklumat tersebut pada usia sedemikian.

“Namun, bagi golongan muda, ia kadangkala juga boleh berpunca daripada persekitaran keluarga, isu-isu tertentu di sekolah yang menyebabkan mereka berasa terasing daripada masyarakat,” katanya.

Dr Mustafa menambah, memandangkan ancaman radikalisasi kini boleh merebak kepada golongan yang jauh lebih muda, pihak sekolah turut memikul tanggungjawab untuk mengesan tanda perubahan tingkah laku sedemikian di peringkat persekitaran sekolah.

Ia termasuk isu asas yang dihadapi oleh pelajar sehingga membawa kepada radikalisasi.

“Sekiranya kita mahu menangani radikalisasi dalam kalangan golongan muda ini, kita juga perlu menangani isu asas yang menyebabkan mereka terpengaruh pada peringkat awal, itu satu perkara yang perlu kita lihat.

“Saya merasakan ia adalah satu proses keseluruhan untuk mengesan mereka di peringkat awal supaya mereka dapat dipulihkan dan masih mempunyai masa depan serta kehidupan yang produktif,” kongsinya.