Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekolah tidak wajar dijadikan seperti ‘pangkalan tentera’ dalam perkukuh keselamatan
Sekolah tidak wajar dijadikan seperti ‘pangkalan tentera’ dalam perkukuh keselamatan
Perlu capai keseimbangan antara pastikan keselamatan dengan kekalkan sekolah sebagai ruang bagi pembelajaran
Sekolah tidak wajar dijadikan seperti ‘pangkalan tentera’ dalam perkukuh keselamatan
Sekolah tidak wajar dijadikan "seperti garison” atau diperkukuh dengan kawalan keselamatan yang keterlaluan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.
Garison merujuk kepada tempat penempatan sebuah pasukan tentera.
Ia meskipun terdapat kes baru-baru ini yang melibatkan belia yang menjadi radikal sendiri dan merancang serangan ke atas institusi pendidikan.
Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata Singapura perlu mencapai keseimbangan antara memastikan keselamatan dengan mengekalkan sekolah sebagai ruang terbuka untuk pembelajaran.
Selain langkah keselamatan fizikal, beliau berkata sekolah dan tempat lain juga perlu melatih orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memahami aspek keselamatan.
“Anda tidak boleh menjadikan Singapura seperti sebuah garison.
“Anda tidak boleh menjadikan sekolah seperti sebuah garison.
“Anda tidak boleh menjadikan bangunan awam seperti garison.
“Kita juga memerlukan sebuah masyarakat yang sentiasa berwaspada, saling memerhatikan antara satu sama lain serta peka terhadap perkara-perkara yang kelihatan tidak kena,” ujar Encik Shanmugam.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan media tentang sama ada langkah keselamatan di sekolah akan dipertingkat.
Ini menyusuli pengumuman Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 27 Julai tentang Arahan Penahanan (OD) yang dikenakan kepada tiga belia berusia 14, 15, dan 19 tahun.
Dalam kalangan tiga belia warga Singapura yang telah menjadi radikal sendiri itu, dua telah merancang untuk membuat serangan ke atas institusi pendidikan.
Bercakap dengan media, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata tindak balas spontan seperti memasang pagar keliling sekolah, melakukan pemeriksaan 100 peratus, atau menggunakan pengesan logam tidak boleh menjadi pendekatan utama dalam menangani isu sedemikian.
Menyifatkan sekolah sebagai satu tempat untuk menimba ilmu, Encik Lee berkata: “Sekolah perlu menjadi tempat yang menyemai minat dan kegembiraan dalam pembelajaran, serta tempat di mana pelajar berasa selesa untuk belajar.
“Oleh itu, kami mahu memastikan keseimbangan yang sewajarnya dicapai dan langkah-langkah yang sesuai dilaksanakan melalui usaha meningkatkan kesedaran orang ramai tentang tanda-tanda yang perlu diberi perhatian.
“(Ini) di samping memperkukuh budaya kewaspadaan dalam masyarakat agar kita saling menjaga, saling mengambil berat dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi masyarakat.”
Encik Lee menambah bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) akan terus bekerjasama rapat dengan MHA menerusi usaha pendidikan, pencegahan, dan kesiapsiagaan tindak balas kecemasan.
Bagi aspek pendidikan, kandungan Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) diperkukuh bagi membantu pelajar menilai dan menolak kandungan berbahaya di alam siber, termasuk ideologi pelampau.
Bagi aspek pencegahan, MOE menganjurkan latihan bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) termasuk pengetua sekolah, guru, dan pegawai kebajikan pelajar agar mereka dapat mengesan tanda-tanda awal radikalisasi dalam kalangan pelajar serta mengambil tindakan segera.
Menurut ISD, belia berusia 14 tahun itu, yang merupakan pelajar Menengah Dua, menjadi individu paling muda yang ditahan di bawah ISA kerana radikal sendiri.
Dia berhasrat untuk menggunakan pisau dapur dan pisau lipat dari rumah dan memilih untuk melaksanakan serangan itu pada musim cuti sekolah apabila jumlah guru di sekolah berkurangan.
Namun, rancangannya itu terbongkar apabila seorang yang tidak dinamakan dari sekolah tersebut melaporkan pelajar itu kepada pihak berkuasa selepas mengenal pasti tanda-tanda pelajar itu menjadi radikal.
Menyentuh tentang tindakan diambil untuk melaporkan belia berusia 14 tahun itu kepada pihak berkuasa, Encik Lee berkata ia menunjukkan usaha antiradikalisasi yang dijalankan mula membuahkan hasil.
“Kami menggalakkan perkembangan ini kerana ia menunjukkan usaha antiradikalisasi kita mula membuahkan hasil di lapangan.
“Saya tahu ibu bapa, guru dan pelajar akan berasa bimbang dengan trend semakin ramai belia yang menjadi mangsa radikalisasi dalam talian,” kongsi beliau.
Bagi ketiga-tiga belia yang ditahan di bawah arahan ISA, Encik Lee berkata MOE akan menyokong pendidikan mereka sepanjang tempoh penahanan agar mereka dapat pulih dan melangkah ke hadapan secara positif.
Dalam pada itu, Encik Shanmugam turut mengingatkan agar masyarakat tidak memandang serong atau mengasingkan masyarakat Melayu/Islam berikutan kes radikalisasi belia berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa selama 25 tahun sejak peristiwa 9/11, teras utama Singapura adalah untuk menyedarkan orang ramai bahawa mereka yang mahu membawa ancaman hanyalah segelintir minoriti pelampau, manakala majoriti rakyat merupakan warga yang mematuhi undang-undang.
Mengambil kira saiz Singapura yang kecil, Encik Shanmugam berkata: “Jika anda meminggirkan atau memandang serong masyarakat Melayu/Islam dengan rasa curiga atau takut, apa yang akan berlaku?
“Adakah itu akan menjadikan Singapura tempat yang lebih baik atau selamat?
“Jika kita mengambil pendekatan memandang seseorang dengan penuh syak wasangka hanya berdasarkan warna kulit, agama atau kaum, kita sebenarnya sedang mengundang masalah.
“Ia adalah penting bagi masyarakat majoriti, masyarakat Cina, serta rakyat Singapura daripada kaum lain, untuk terus melihat perkara ini dari perspektif yang menyeluruh serta memastikan masyarakat Melayu/Islam di Singapura berasa mereka adalah sebahagian daripada satu masyarakat yang bersatu, saling menghormati dan saling menyokong,” kongsi beliau.
“
“Anda tidak boleh menjadikan Singapura seperti sebuah garison. Anda tidak boleh menjadikan sekolah seperti sebuah garison. Anda tidak boleh menjadikan bangunan awam seperti garison. Kita juga memerlukan sebuah masyarakat yang sentiasa berwaspada, saling memerhatikan antara satu sama lain serta peka terhadap perkara-perkara yang kelihatan tidak kena.”“
“Sekolah perlu menjadi tempat yang menyemai minat dan kegembiraan dalam pembelajaran, serta tempat di mana pelajar berasa selesa untuk belajar. Oleh itu, kami mahu memastikan keseimbangan yang sewajarnya dicapai dan langkah-langkah yang sesuai dilaksanakan melalui usaha meningkatkan kesedaran orang ramai tentang tanda-tanda yang perlu diberi perhatian.”