Topic followed successfully
Go to BHkuJawatankuasa peringkat menteri teliti pelbagai isu, siap siaga hadapi krisis sejagat
Jawatankuasa peringkat menteri teliti pelbagai isu, siap siaga hadapi krisis sejagat
Shanmugam: Perbincangan mengenai daya tahan tenaga, makanan dan keselamatan negara diadakan
Jawatankuasa peringkat menteri teliti pelbagai isu, siap siaga hadapi krisis sejagat
Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC) yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 2 April, telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kumpulan Eksekutif Krisis Dalam Negeri (HCEG), Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Encik Pang Kin Keong, beberapa kali sepanjang Mac untuk meneliti pelbagai isu yang lebih rencam.
Isu itu termasuk daya tahan tenaga dan makanan, perkembangan keselamatan serta ehwal luar dan hubungan diplomatik.
Hal tersebut dikongsi Pengerusi HCMC, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, di Parlimen pada 7 April.
Mengulas tentang pertemuan itu, Encik Shanmugam berkata:
“HCMC telah meneliti pelbagai isu yang luas, termasuk daya tahan tenaga dan makanan serta daya tahan rantaian bekalan; daya tahan bagi keperluan asas yang lain; perkembangan keselamatan di peringkat domestik mahupun di luar; langkah sokongan untuk rakyat Singapura dan komunikasi awam; serta ehwal luar dan hubungan diplomatik kita.”
HCMC merupakan badan pemandu tertinggi pemerintah yang menyelaras tindak balas nasional Singapura terhadap krisis.
Struktur itu dirasmikan selepas penularan wabak Sars, dengan peranannya ditetapkan dan dijelaskan di Parlimen pada 2004 oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri ketika itu, Encik Wong Kan Seng, kongsi Encik Shanmugam.
Di peringkat perkhidmatan awam, terdapat HCEG, yang menyelaras agensi pemerintah untuk menjangka senario kecemasan yang berpotensi berlaku, memastikan perancangan luar jangka disediakan dan bertindak balas terhadap kesan daripada sebarang krisis atau kecemasan dalam negeri.
HCEG melaporkan kepada dan menerima arahan daripada HCMC, yang biasanya dipengerusikan Menteri Ehwal Dalam Negeri, tambah beliau.
Mengulas mengenai pembentukan HCMC, Encik Shanmugam berkata, kededua kementerian utama dan menteri mereka memainkan peranan penting dalam HCMC, yang terdiri daripada 13 anggota.
Beliau menambah pemegang jawatan baharu turut dibawa masuk untuk melengkapkan pasukan tersebut dan mereka membawa perspektif tambahan dalam menangani isu khusus berkaitan situasi yang sedang berlaku.
Encik Shanmugam menjelaskan pemerintah telah melaksanakan langkah tambahan sebagai tindak balas kepada persekitaran ancaman yang semakin meningkat.
Antara langkah yang diambil melibatkan usaha Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura mempertingkat pemeriksaan keselamatan di pusat pemeriksaan susulan peningkatan konflik, manakala pihak polis pula meningkatkan rondaan di kawasan yang menjadi perhatian.
Encik Shanmugam menambah: “Kami juga mengaktifkan pelan luar jangka bagi membawa pulang rakyat Singapura di Timur Tengah yang terjejas oleh konflik tersebut.
“Penerbangan tersebut diatur Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Pertahanan (Mindef), yang dilaksanakan dalam tempoh singkat dan memerlukan penyelarasan erat antara kementerian terbabit.”
Katanya lagi, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), telah mendampingi rakyat Singapura di Timur Tengah, serta rakan kerjasama seperti Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), bagi urusan umrah dan haji.

