Topic followed successfully
Go to BHkuKrisis Selat Hormuz: Implikasi terhadap ekonomi, pekerjaan di S’pura
Krisis Selat Hormuz: Implikasi terhadap ekonomi, pekerjaan di S’pura
Penganalisis: Ekonomi S’pura yang terbuka akan rasa kesannya, namun wujud potensi peluang yang boleh dimanfaat negara
Krisis Selat Hormuz: Implikasi terhadap ekonomi, pekerjaan di S’pura
Dunia kini memerhatikan dengan penuh kebimbangan susulan gangguan bekalan minyak di Selat Hormuz – sebuah laluan perkapalan penting yang mengendalikan sekitar 20 hingga 25 peratus keseluruhan perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) sejagat.
Ia berikutan konflik geopolitik melibatkan Amerika Syarikat-Israel dengan Iran yang meletus sejak 28 Februari, menyebabkan penutupan laluan sempit itu yang terletak di Timur Tengah antara Iran, Semenanjung Musandam di Oman dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Ini sekali gus mencetuskan krisis tenaga yang dirasai seluruh dunia, termasuk Singapura.
Sebagai sebuah hab serantau bagi sektor penerbangan, perkapalan dan petrokimia, Singapura tidak terkecuali daripada kesan ekoran situasi itu.
Penganalisis memberi amaran ekonomi Singapura yang terbuka akan rasai kesan rantaian melalui kenaikan harga bahan api, inflasi dan gangguan jadual perkapalan sejagat.
KESAN PENUTUPAN SELAT HORMUZ
Selat Hormuz merupakan ‘nadi’ kepada bekalan tenaga dunia.
Sebarang gangguan di laluan itu bererti jutaan tong minyak tidak dapat sampai ke pasaran antarabangsa.
Sejak krisis itu memuncak, harga minyak mentah Brent telah melonjak melepasi paras AS$100 ($128) setong – satu angka yang mencetuskan keresahan dalam kalangan pengimport tenaga.
Ia telah menyebabkan harga petrol melonjak di seluruh dunia, termasuk Singapura yang menyaksikan harga minyak 95-octane yang popular meningkat kepada paras tinggi $3.47 seliter pada 16 Mac – naik daripada sekitar $2.88 seliter pada 23 Februari.
Singapura, seperti kebanyakan negara Asia lain termasuk Jepun, Taiwan dan Korea Selatan, hampir bergantung sepenuhnya pada minyak luar negara, tanpa pengeluaran tenaga domestik yang bermakna untuk dijadikan sandaran, kata Zamil Penyelidik Utama di Institut Pengajian Tenaga (ESI) Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Roger Fouquet, kepada Berita Harian (BH).
Beliau mendedahkan bahawa kesan awal sudah mula kelihatan di Singapura.
Harga bahan api marin telah melonjak tinggi, menyebabkan pembeli kini lebih berhati-hati dan hanya membeli mengikut keperluan segera, yang memberi tekanan terhadap sektor pelabuhan dan pembekalan bahan api kapal – antara yang terbesar di dunia.
“Petrokimia, plastik, elektronik, getah, farmaseutikal dan logistik juga antara industri yang terawal rasai tekanan itu memandangkan bahan mentah petrokimia dan laluan perkapalan kontena menghadapi gangguan teruk.
“Lonjakan harga bahan api jet juga membawa kesan kenaikan kos kepada sektor penerbangan yang berkemungkinan menyebabkan harga tambang udara lebih tinggi dan kekerapan penerbangan mungkin berkurangan,” jelas Dr Fouquet.
Sekiranya berlarutan, krisis itu bukan hanya akan menjejas peranan Singapura sebagai hab perdagangan dan penapisan petroleum utama dan boleh mencetuskan kemelesetan mendalam dan berpanjangan, malah, inflasi tinggi berterusan, didorong kos tenaga dan isu rantaian bekalan.
Demikian dinyatakan oleh Pensyarah Kanan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Dr Ameen Ali Salim Talib.
PEKERJAAN AKAN TERJEJAS?
Penganalisis berpandangan krisis tersebut boleh menjejas pekerjaan di Singapura, dengan majikan dan syarikat mungkin mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja, pengembangan perniagaan dan pelaburan.
Setakat ini, tiada petanda segera berlakunya pemberhentian kerja secara meluas.
Namun, ‘sikap berwaspada’ mula menyelubungi majikan, kata Naib Presiden, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, yang juga pengerusi kelompok minyak, petrokimia, tenaga dan kimia (Opec).
Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank, Encik Saktiandi Supaat, berkata kesannya dalam jangka masa terdekat berkemungkinan besar berlaku secara bertahap-tahap dan bukannya secara mendadak.
Majikan mungkin lebih berhati-hati dalam mengambil pekerja dan mengembangkan perniagaan, terutama dalam sektor seperti pengangkutan, pelancongan, logistik dan pengilangan yang berintensif tenaga.
Namun, ini boleh berubah sekiranya krisis itu berpanjangan.
“Jika keadaan kembali stabil, pasaran pekerja dijangka kekal berdaya tahan.
“Namun, jika tekanan kos berterusan, syarikat mungkin mula mengurangkan rancangan pengambilan pekerja atau menangguhkan pelaburan.
“Kesan pertama terhadap pekerjaan adalah pengambilan pekerja lebih perlahan, bukannya pemberhentian kerja serta-merta, tetapi perkara itu boleh berubah jika kejutan (ekonomi) ini berlarutan,” katanya.
Selain pengambilan pekerja lebih perlahan, Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata majikan juga boleh dijangka terus berhati-hati dalam hal kenaikan gaji.
Namun, “persoalannya adalah sejauh manakah ekonomi Singapura akan pulih walaupun sentimen ekonomi di seluruh dunia masih tidak menentu”.
Dalam usaha membantu negara mengharungi masa mencabar kini, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengumumkan pembentukan sebuah Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC) pada 2 April.
Dipengerusikan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, yang bertindak sebagai penasihat, jawatankuasa itu akan menyelaraskan tindak balas negara terhadap konflik di Timur Tengah yang telah menjejas harga minyak dan rantaian bekalan di seluruh dunia.
Selain itu, Encik Wong berkata pemerintah akan mempertingkatkan langkah sedia ada bagi meringankan kesan segera ke atas isi rumah dan perniagaan.
Ia termasuk mempercepat pelaksanaan sebahagian daripadanya serta menyediakan sokongan bersasar bagi sektor yang lebih teruk terjejas ekoran perkembangan itu.
Namun, butiran lanjut perlu dinantikan sehingga Parlimen bersidang minggu depan, dijangka pada 7 April.
SINAR DI SEBALIK AWAN MENDUNG?
Namun, di sebalik awan mendung krisis ini, penganalisis melihat wujudnya potensi peluang atau sinar harapan bagi Singapura.
Ketegangan berlarutan di Timur Tengah itu mungkin menyebabkan negara Teluk, terutama Dubai, kehilangan status sebagai ‘syurga selamat’ bagi pelabur dan perniagaan antarabangsa, ujar Dr Ameen.
“Apapun kesudahan peperangan ini, landskap geopolitik di rantau Teluk pasti akan berubah… ini boleh mengakibatkan penghijrahan pelaburan, perniagaan dan bakat.
“Wujud sedikit kemungkinan tentang adanya ‘sinar di sebalik awan’, iaitu Singapura berpotensi menarik penghijrahan pelabur dan bakat tersebut,” kata beliau.
Selain itu, krisis bekalan minyak itu juga boleh dilihat sebagai pemangkin yang bakal mempercepat peralihan Singapura ke arah sumber tenaga rendah karbon, kata Dr Fouquet.
“Peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui akan mengurangkan risiko pendedahan ekonomi terhadap ketegangan geopolitik, malah, mungkin mengurangkan risiko peperangan pada masa depan,” katanya.

