Topic followed successfully
Go to BHkuShanmugam: Harga makanan di S’pura dijangka naik akibat krisis di Timur Tengah
Shanmugam: Harga makanan di S’pura dijangka naik akibat krisis di Timur Tengah
Shanmugam: Harga makanan di S’pura dijangka naik akibat krisis di Timur Tengah
Harga makanan dan produk lain berkaitan minyak dijangka naik akibat krisis di Timur Tengah, yang sudah pun mengganggu bekalan minyak dan gas sedunia.
Selain harga yang naik, terdapat pelbagai implikasi lain yang turut perlu ditangani, termasuk isu diplomatik melibatkan hubungan Singapura dengan negara lain, serta aspek keselamatan negara.
Demikian dikongsikan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, apabila ditemui media di Blok 166 Yishun Ring Road pada 4 April.
Beliau berkata kenaikan kos bukan sahaja melibatkan harga makanan, malah turut menjejaskan harga bahan api serta harga baja.
“Tidak jelas bila situasi konflik akan berubah dan jika ia berhenti dalam masa terdekat, ia tidak bermakna gangguan bekalan akan pulih serta-merta,” ujar Encik Shanmugam, yang juga pengerusi Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC).
Dalam satu video YouTube pada 2 April, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata beliau telah mengarahkan jawatankuasa tersebut untuk bersidang.
Menurut Encik Shanmugam, gangguan bekalan dan kenaikan harga adalah kesan langsung daripada krisis di Timur Tengah, melibatkan perang antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran, yang menjejas bekalan tenaga global.
Beliau menambah bahawa kesan tersebut akan dirasai di peringkat masyarakat dan perlu ditangani dengan teliti.
Selain di peringkat masyarakat, beliau berkata isu di peringkat nasional turut memerlukan perhatian merentas pelbagai kementerian.
“(Harga) makanan adalah contoh yang jelas, tetapi akan ada implikasi lain juga.
“Terdapat isu diplomatik, hubungan kita dengan negara lain, sama ada dua hala atau pelbagai hala, serta isu keselamatan negara.
“Jadi, terdapat pelbagai isu yang timbul. Itulah sebabnya kita mengadakan jawatankuasa yang melibatkan pelbagai kementerian ini,” jelas Encik Shanmugam.
Mengulas tentang struktur HCMC, Encik Shanmugam berkata ia melibatkan beberapa kementerian bagi menangani pelbagai aspek krisis.
Menurutnya, di bawah HCMC terdapat Kumpulan Eksekutif Krisis Dalam Negeri (HCEG) yang terdiri daripada setiausaha tetap dan ketua agensi pemerintah yang turut menjalankan kerja operasi.
Tambahnya, HCEG melaporkan kepada HCMC, yang seterusnya melaporkan kepada Kabinet.
Mengulas sebab HCMC diaktifkan sekarang, beliau berkata krisis semasa memerlukan penyelarasan merentas pelbagai kementerian.
“Terdapat kesan di peringkat masyarakat, dan kita perlu menanganinya,” terangnya.
Encik Shanmugam berkata HCMC akan berkongsi perincian lanjut tentang langkah yang bakal diambil untuk menangani kesan konflik itu dalam sesi Parlimen akan datang.

