Topik diikuti
Pergi ke BHkuICA nasihat pengembara ke Malaysia elak kesesakan teruk cuti Jun
ICA nasihat pengembara ke Malaysia elak kesesakan teruk cuti Jun
ICA nasihat pengembara ke Malaysia elak kesesakan teruk cuti Jun
Anda yang merancang ke Malaysia melalui dua pusat pemeriksaan darat dijangka berdepan kesesakan teruk dan masa menunggu yang panjang sepanjang dua cuti umum dan cuti sekolah bulan Jun yang akan datang.
Dalam kenyataan 22 Mei, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menasihati semua pengembara agar merancang perjalanan dengan teliti dan memilih waktu perjalanan di luar waktu puncak, seperti awal pagi atau lewat malam.
Lebih dua juta orang merentasi Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang cuti panjang Hari Pekerja (30 April-3 Mei).
Jumlah tertinggi dicatatkan pada 30 April, iaitu hampir 580,000 orang. Dalam tempoh empat hari itu, kesesakan teruk menyaksikan pemandu kereta menunggu hingga tiga jam untuk pemeriksaan imigresen.
Cuti yang bakal tiba merangkumi Hari Raya Haji (27 Mei), Hari Vesak (31 Mei), dan 1 Jun sebagai cuti umum tambahan. Musim cuti sekolah pula berlanjutan dari 30 Mei hingga 28 Jun.
ICA memaklumkan bahawa pemeriksaan keselamatan di semua pusat pemeriksaan telah diperketatkan, berikutan peningkatan ketegangan keselamatan global susulan konflik di Iran.
Bagi menghadapi tempoh cuti ini, pihak berkuasa menggalakkan pengembara menggunakan kod QR melalui aplikasi MyICA untuk urusan imigresen yang lebih pantas.
Penunggang dan pembonceng motosikal turut disarankan memanfaatkan sistem pengecaman wajah baharu di bawah Konsep Pelepasan Baharu (NCC). Sistem ini meningkatkan kadar pemeriksaan lebih 35 peratus, menambah kapasiti 7,600 pengembara sejam semasa waktu puncak, berbanding tahap sebelum pandemik pada 2019.
ICA mengingatkan pemandu agar memberikan kerjasama kepada pegawai, mematuhi peraturan lalu lintas, dan menjaga disiplin di jalan raya.
“Tindakan memotong barisan akan mengganggu kelancaran aliran lalu lintas. Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan diarahkan beratur semula dari barisan belakang,” tegas ICA.
Semasa cuti panjang Hari Pekerja, seramai 19 pemandu telah ditahan atas kesalahan lalu lintas dan tingkah laku jalan raya yang berbahaya.
Mereka dirujuk kepada Polis Trafik untuk siasatan dan pendakwaan, selain dikenakan tindakan penguatkuasaan seperti diarah beratur semula dan dilarang memasuki Singapura.
