SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kesesakan dijangka di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas sempena cuti Good Friday

Kesesakan dijangka di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas sempena cuti Good Friday

Semak dahulu status trafik sebelum mula perjalanan, digalak naik bas rentas sempadan
Mar 30, 2026 | 3:33 PM

Kesesakan dijangka di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas sempena cuti Good Friday

kesesakan Woodlands, kesesakan Tuas, pemeriksaan sempadan
Para pengunjung boleh menjangkakan masa menunggu yang lebih lama untuk melepasi pusat pemeriksaan sepanjang acara Qing Ming dan cuti umum Good Friday. - Foto fail

Mereka yang merancang perjalanan ke Malaysia melalui pusat pemeriksaan darat, Tuas dan Woodlands, dari 3 hingga 5 April dinasihatkan supaya bersedia menghadapi kesesakan yang teruk.

Ini bersempena sambutan Qing Ming – upacara memperingati mereka yang telah mati dalam masyarakat Cina – dan cuti umum Good Friday.

Pada 30 Mac, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan bahawa pemeriksaan keselamatan di semua pusat pemeriksaan telah dipertingkatkan, didorong oleh peningkatan ancaman keselamatan sejagat, termasuk perkembangan di Timur Tengah.

Justeru, orang ramai harus bersedia untuk melalui tempoh menunggu yang lebih lama ketika melalui pusat pemeriksaan.

Nasihat utama adalah untuk menyemak dahulu status trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan.

ICA turut mengingatkan tentang kerja pembinaan dan jalan raya berdekatan Pusat Pemeriksaan Woodlands sebagai sebahagian daripada projek pembangunan semula.

Justeru, menaiki bas rentas sempadan digalakkan sebagai alternatif yang lebih baik daripada memandu, bagi mengelakkan kesesakan di pintu masuk darat.

Bagi penumpang bas yang menggunakan kerusi roda atau melancong dalam kumpulan kecil (sehingga empat anggota keluarga), termasuk yang membawa kanak-kanak di bawah enam tahun, mereka boleh menggunakan kod QR untuk laluan pelepasan yang lebih pantas.

Lebih lima juta pengunjung telah melintasi pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang cuti sekolah Mac dan hujung minggu Hari Raya Aidilfitri, dari 13 hingga 22 Mac.

Dalam tempoh tersebut, pemandu kereta terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk pelepasan imigresen pada waktu sibuk, kata ICA.

Trafik memuncak pada 18 Mac, dengan lebih 564,000 pelawat melintasi pusat pemeriksaan darat pada hari itu.

Sebanyak 56 pemandu telah ditahan antara 13 dengan 22 Mac kerana pelbagai kesalahan berkaitan lalu lintas atau tingkah laku jalan raya yang berbahaya.

ICA menyeru agar pengunjung bekerjasama dengan pegawainya, mematuhi peraturan lalu lintas, dan menjaga disiplin lorong semasa melintasi pusat pemeriksaan.

Pemandu yang cuba memotong barisan akan diarah supaya beratur semula dari belakang.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg