Kesesakan lalu lintas dijangka di pusat pemeriksaan darat Singapura sempena hujung minggu panjang Hari Pekerja akan datang, dari 30 April hingga 3 Mei, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 27 April.

Orang ramai digalak merancang perjalanan mereka terlebih dahulu dan mempertimbangkan untuk bergerak pada waktu bukan sibuk, seperti awal pagi dan lewat malam.

ICA turut menggalakkan orang ramai menggunakan kod QR untuk pelepasan imigresen yang lebih cepat.

“Bagi memastikan kelancaran aliran lalu lintas dan keselamatan, orang ramai harus bekerjasama dengan pegawai ICA, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengekalkan disiplin,” katanya.

Pihak berkuasa turut menegaskan sesiapa yang memotong barisan akan diarahkan ke belakang barisan semula, kerana perbuatan itu mengganggu kelancaran lalu lintas. 

“ICA akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi arahan pegawai kami atau melakukan kesalahan lalu lintas.”

18 pemandu ditangkap kerana melakukan kesalahan berkaitan lalu lintas dan berkelakuan berbahaya di jalan raya semasa hujung minggu panjang Good Friday dari 3 hingga 5 April, menurut ICA. 

Tindakan yang diambil terhadap mereka termasuk dirujuk kepada Polis Trafik untuk siasatan dan pendakwaan, serta diharamkan daripada memasuki Singapura.

Lebih 1.4 juta individu menggunakan pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas semasa hujung minggu panjang Good Friday itu, kata ICA.

Lalu lintas mencapai kemuncak pada 4 April, apabila lebih 498,000 individu membuat perjalanan dalam satu hari sahaja.

Semasa waktu sibuk, mereka yang menaiki kereta mengalami masa menunggu sehingga tiga jam untuk pelepasan imigresen akibat kesesakan lalu lintas dari Malaysia, kata pihak berkuasa itu.

ICA juga telah mempertingkatkan pemeriksaan keselamatan ke atas mereka yang tiba, kargo dan kenderaan di semua pusat pemeriksaan sejak 28 Februari berikutan situasi keselamatan sejagat yang tegang, khususnya perkembangan terbaru di Timur Tengah.