Kehidupan Cik Haryani Abdul Rahman berubah sekitar lima tahun lalu apabila bahagian kiri badannya tiba-tiba menjadi kebas selepas mendapat suntikan bagi rawatan yang diperlukannya.

Doktor pada awalnya menyangka beliau diserang angin ahmar, namun pemeriksaan lanjut menidakkan sangkaan tersebut.

Walaup belum ada diagnosis rasmi sehingga kini, doktor telah memberitahu Cik Haryani beliau tidak lagi boleh berjalan seperti biasa dan kecacatan yang dialaminya ini adalah untuk seumur hidup.

Dilahirkan sempurna tanpa sebarang kecacatan fizikal, perubahan pada tubuhnya dalam sekelip mata itu bukanlah sesuatu yang mudah diterima.

Sering, Cik Haryani, 55 tahun, berdepan kesukaran dalam mengemudi dunia menggunakan kerusi roda.

“Tidak mudah. Bahkan, di rumah pun, sebab rumah saya dibina bagi orang biasa, almarinya semua tinggi bagi seseorang yang menggunakan kerusi roda,” kongsinya.

Banyak kali beliau terjatuh atau roda kerusi rodanya tersangkut, pernah juga beliau tiba-tiba terhenti di tengah jalan raya kerana bateri kerusi roda elektroniknya mati.

Sejak tidak dapat berjalan lagi, Cik Haryani, yang dahulunya bertugas sebagai porter di sebuah hospital di sini, mula menjinak-jinakkan diri dengan pelbagai program bagi individu kurang upaya.

Ini meskipun program-program sedemikian diadakan di Dover dan Bedok, jauh dari rumahnya di Jurong East.

Namun, untuk ke tempat-tempat tersebut bukanlah tanpa cabarannya sendiri. Terpaksa Cik Haryani turun naik bas dan MRT dan sering mendapati dirinya berpusing-pusing di suatu kawasan sebelum akhirnya sampai ke destinasi beliau.

“Apabila orang tunjuk saya jalan ke sesuatu tempat... mereka tunjuk saya jalan bagi orang biasa, bukan laluan yang sesuai bagi orang berkerusi roda. Di situ, saya mula sedar saya harus cari jalan sendiri,” katanya.

Mujur, kini beliau tidak perlu pergi terlalu jauh untuk menyertai aktiviti serupa.

Dilancarkan pada 16 Mei oleh Menteri Pendidikan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Perkhidmatan Sosial, Encik Desmond Lee, Enabling Services Hub@Jurong mendekatkan sokongan berasaskan masyarakat kepada orang kurang upaya dan penjaga mereka di kawasan Jurong, serta Clementi dan Queenstown.

Ia merupakan hab ESH kedua yang dibuka, berikutan ESH@Tampines yang dilancarkan pada 2023.

Bagi Cik Haryani, ini bermakna beliau hanya perlu menaiki satu bas dari rumahnya ke Kelab Masyarakat Taman Jurong untuk menyertai kegiatan yang disediakan.

ESH@Jurong merupakan kerjasama SG Enable dan TOUCH Community Services dan antara lain menawarkan program yang memperkukuh kemahiran hidup seharian, keyakinan dan penyertaan masyarakat bagi orang kurang upaya.

Ini termasuk sesi mengenai pengurusan wang, dandanan diri serta pengawalan emosi, membantu orang kurang upaya membina kemahiran fungsional dan sosial.

Pada masa yang sama, penjaga mereka disokong melalui aktiviti rekreasi dan program pembelajaran, sekali gus menawarkan rehat yang sangat mereka perlukan.

Malah, ketua ESH@Jurong, Cik Lim Si Jia, berkata aktiviti inklusif yang diadakan turut melibatkan penduduk di kawasan tersebut, meskipun mereka bukan kurang upaya.

“Aktiviti inklusif merupakan peluang terbuka untuk menjemput penduduk dan mereka yang bukan kurang upaya untuk menyertai klien kami yang kurang upaya.

“Ini menyediakan platform bagi mereka berinteraksi dengan satu sama lain, dan menerusi interaksi tersebut mereka dapat belajar berkomunikasi dengan klien kami yang kurang upaya,” kata Cik Lim.

“Pada masa yang sama, kami harap ia dapat membangunkan kemahiran sosial dan keyakinan dalam diri individu kurang upaya ini.”

Cik Haryani yang sudah menyertai aktiviti ESH@Jurong sejak Disember 2024, berkongsi bahawa beliau akan terus menyertai program yang dianjurkan di sana.

“Saya rasa sangat diterima di sini,” katanya sambil tersenyum.