Berbekal hasrat memastikan setiap individu berkeperluan khas mendapat akses kepada pendidikan dan penjagaan yang wajar, pengasas pusat pendidikan khas di Singapura, MIJ Hub, Cik Faraliza Zainal, meluaskan operasinya ke seberang Tambak.

Buat masa ini, MIJ Hub telah beroperasi di Petaling Jaya, Malaysia sejak 2022, dan kini menyokong sekitar 12 pelajar berkeperluan khas melalui program penjagaan, aktiviti harian serta program keagamaan bagi individu berkeperluan sederhana hingga tinggi.

Cik Faraliza memberitahu Berita Minggu (BM) meskipun pembangunan pusat sehenti di Malaysia itu menelan kos awal yang mencecah hingga $400,000 bagi mengubah suai kemudahan, di samping perlu membayar sewa bulanan melebihi $3,500, pihaknya tetap bekerja keras merealisasikan impian demi amanah dan ihsan buat golongan istimewa ini.

Keputusan berkembang ke Malaysia tercetus susulan interaksi beliau bersama ibu bapa di sana yang menyuarakan kekurangan pilihan bagi penjagaan berstruktur dan program harian yang sesuai untuk anak berkeperluan khas.

“Di sana, pendidikan khas tidak diwajibkan. Namun daripada perbualan kami, jelas ada minat, cuma ramai merasakan pilihan yang ada tidak begitu tersusun,” kata Cik Faraliza, 55 tahun.

My Inspiring Journey, atau MIJ Hub, yang berpangkalan di Singapura, kini menyokong hampir 800 pelajar istimewa, merentasi empat pusat di Singapura dan Malaysia.

Namun bagi Cik Faraliza, sebagai pengasas institusi ini, pastinya masih ada usaha yang boleh diperkemas bagi memenuhi keperluan yang kian berkembang dari semasa ke semasa.

Ruang serba guna di pusat MIJ Hub, yang dimanfaatkan pelajar untuk memperkukuh kemahiran motor kasar dan halus.
Ruang serba guna di pusat MIJ Hub, yang dimanfaatkan pelajar untuk memperkukuh kemahiran motor kasar dan halus. - Foto MIJ HUB

“Kami percaya masih banyak yang boleh dilakukan di Malaysia.

“Ada banyak keluarga yang memerlukan perkhidmatan sebegini, tetapi perkhidmatan di sana tidak sebanyak atau tidak dijalankan secara menyeluruh,” ujarnya lagi.

Beliau juga memberitahu BM dirinya sedang menilai untuk memindahkan lokasi pusat pendidikannya di Petaling Jaya ke tempat lain, dengan mengambil kira beberapa faktor seperti lokasi yang sesuai.

Keputusan ini turut disokong melalui tinjauan melibatkan sekitar 60 pasangan ibu bapa yang menekankan kepentingan lokasi yang strategik, selain faktor yuran, kebolehcapaian dan kesedaran terhadap pendidikan khas.

“Kalau lokasi tidak sesuai, ibu bapa memang sukar hantar anak mereka secara tekal atau konsisten.

“Ditambah pula dengan yuran dan tahap kesedaran yang berbeza, ia menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan mereka,” ujarnya lagi.

“Tempat itu juga mesti selamat, di kawasan yang mesra keluarga dan sesuai untuk pelajar berkeperluan khas.

“Ini penting supaya ibu bapa yakin untuk menghantar anak mereka ke pusat ini di samping kos sewa yang munasabah buat kami kekalkan operasi,” katanya lagi.

Mengulas usaha mencari lokasi baharu, Pengarah Pertumbuhan dan Strategi MIJ Hub, Encik Muhd Haziq Mohd Rashid, 32 tahun, berkata proses tersebut memerlukan pendekatan yang lebih strategik dan berasaskan data.

“Kami lakukan tinjauan untuk faham di mana kebanyakan keluarga ini berada, sejauh mana mereka sanggup bergerak, dan dari situ kami petakan kawasan yang mempunyai permintaan tertinggi,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan ibu bapa hanya sanggup melakukan perjalanan sekitar 30 minit, menjadikan faktor kebolehcapaian sebagai penentu utama dalam pemilihan lokasi.

Dalam masa sama, Encik Muhd Haziq yang dilantik menerajui jawatan tersebut sejak 2024, berkata proses membangunkan operasi di Malaysia turut menuntut kehadiran fizikal yang kerap.

“Saya berada di sana hampir setiap minggu kerana banyak perkara perlu diuruskan secara bersemuka daripada urusan dengan pihak berkuasa untuk memahami keperluan ibu bapa di sana.

“Di Singapura, banyak perkara boleh diselesaikan melalui laman web atau e-mel.

“Bagaimanapun, di Malaysia, banyak urusan memerlukan kita berjumpa orang secara langsung dan membina hubungan sebelum sesuatu boleh bergerak,” katanya.

Mujur, hal tersebut bukan sesuatu yang asing bagi Encik Muhd Haziq, yang pernah menimba pengalaman di Malaysia menerusi latihan bekerja di Pusat Inovasi Sejagat dan Kreativiti Malaysia atau Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) pada 2016.

Pengalaman itu, katanya, banyak membantu beliau memahami selok-belok operasi dan jaringan perniagaan di Malaysia.

Kehadiran kakitangan seperti Encik Muhd Haziq memainkan peranan penting dalam mengurus operasi di lapangan, jelas Cik Faraliza, khususnya dalam membina hubungan serta memahami selok-belok sistem tempatan.

Ini lebih-lebih lagi dengan urusan beliau yang lebih memberi tumpuan kepada beberapa projek di Singapura, termasuk kerjasama dengan agensi tumpuan bagi golongan kurang upaya, SG Enable, dalam menyediakan program latihan dan pembangunan kemahiran untuk golongan berkeperluan khas dewasa pada masa akan datang.

Dengan perancangan baharu itu, MIJ Hub menyasarkan untuk menampung sehingga 100 pelajar apabila pusat baharu beroperasi.

“Harapan saya, pusat ini dapat menjadi tempat sokongan yang benar-benar bermakna buat keluarga di sana dalam menangani pendidikan anak berkeperluan khas.

“Mungkin ada ibu bapa yang selama ini berasa keseorangan dan tidak tahu ke mana hendak mendapatkan bantuan. Kalau kita boleh ringankan sedikit beban mereka, itu sudah cukup besar maknanya buat kami,” kata Cik Faraliza lagi.