Papan tanda, ‘Dilarang Berjalan Kaki’, yang dipasang di Tambak Johor atau Koswe baru-baru ini mungkin kelihatan seperti satu peraturan baharu, namun hakikatnya, larangan itu sudah lama wujud.

Apa yang berubah hanyalah tahap penguatkuasaan.

Bagi ramai pengguna harian Tambak Johor, khususnya warga Johor yang bekerja di Singapura dan berulang-alik ke Johor Bahru, papan tanda itu menimbulkan pelbagai persoalan.

TERDESAK JALAN KAKI PERGI BALIK KERJA

Seorang kerani syarikat perkapalan, yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Cik Ida’, 32 tahun, berkata pejalan kaki berdepan risiko tinggi terutama apabila tiada papan tanda yang jelas dan laluan melintas yang selamat.

Menurut beliau, keadaan menjadi lebih bahaya apabila pejalan kaki terpaksa berkongsi laluan dengan motosikal dan bas.

“Kalau orang tidak biasa, mereka boleh tersalah masuk ke laluan lain kerana tiada papan tanda yang jelas.

“Memang bahaya sangat sebab jalan sempit dan motosikal bergerak laju,” katanya sambil memaklumkan beliau hanya akan berjalan kaki apabila keadaan terlalu sesak.

Seorang lagi pekerja swasta, Encik Akmal Faiz, 37 tahun, berkata ramai pengguna tidak mempunyai pilihan selain berjalan kaki kerana bas tidak mampu menampung jumlah penumpang yang terlalu ramai.

Jumlah kenderaan awam tidak dapat menampung jumlah penumpang yang ramai, menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang bekerja di Singapura, terpaksa mengambil langkah merentas Tambak Johor dengan berjalan kaki.
Jumlah kenderaan awam tidak dapat menampung jumlah penumpang yang ramai, menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang bekerja di Singapura, terpaksa mengambil langkah merentas Tambak Johor dengan berjalan kaki. - Foto FACEBOOK BOTH CHECKPOINTS SHARING SITE (JOHOR-SINGAPORE)

Menurut beliau, kerajaan sekurang-kurangnya perlu menyediakan bonggol jalan di kawasan laluan motosikal berhampiran titik persilangan pejalan kaki untuk mengurangkan risiko kemalangan.

“Bukan kami suka berjalan kaki pergi dan balik kerja, tetapi tiada pilihan kerana terlalu ramai orang dan bas pun tidak mampu menampung semua penumpang.

“Motosikal bergerak terlalu laju di situ dan ia membahayakan pejalan kaki serta penunggang sendiri,” katanya.

TAMBAK JOHOR TIDAK DIREKA UNTUK PEJALAN KAKI

Pengasas, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya dan Sukan Bermotor, Encik Jamil Manan Supri, berkata larangan berjalan kaki di Tambak Johor sebenarnya bukan perkara baharu.

Pengasas, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya dan Sukan Bermotor, Encik Jamil Manan Supri.
Pengasas, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya dan Sukan Bermotor, Encik Jamil Manan Supri. - Foto fail

Sebaliknya, katanya, ramai pengguna beranggapan ia satu sekatan baharu kerana peraturan itu tidak pernah dikuatkuasakan secara ketat sebelum ini.

“Berjalan kaki di Tambak Johor sememangnya sudah lama dilarang di sebelah Malaysia.

“Namun, selama bertahun-tahun lamanya, penguatkuasaannya agak longgar sehingga orang ramai sudah terbiasa melakukannya.

“Apabila papan tanda amaran dipasang dengan lebih ketara, ramai berasa seperti ada larangan baharu sedangkan peraturannya memang sudah lama wujud,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Menurut beliau, masalah sebenar bukanlah soal peraturan, tetapi hakikat Tambak Johor tidak pernah direka bentuk untuk pejalan kaki.

Beliau menambah, selepas Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar dibuka pada 2008, bangunan itu dibina kira-kira satu kilometer dari pesisir asal Tambak Johor.

Keadaan itu menyebabkan laluan pejalan kaki tidak bersambung secara berterusan.

“Di banyak bahagian, laluan pejalan kaki terputus begitu sahaja. Akibatnya, orang ramai terpaksa berjalan di laluan motosikal atau lorong kenderaan.

“Itulah sebab pihak berkuasa melarang orang ramai berjalan kaki. Ia bukan sekadar larangan simbolik, tetapi benar-benar berbahaya,” katanya.

Menurutnya, terdapat kes kemalangan membabitkan pejalan kaki dan motosikal, selain ada kenderaan yang bergerak sehingga 50 kilometer sejam di beberapa bahagian Tambak Johor.

Di sesetengah lokasi pula tiada pengadang yang memisahkan pejalan kaki daripada lalu lintas.

Namun dalam masa yang sama, beliau mengakui realiti di lapangan menunjukkan ribuan orang masih memilih berjalan kaki setiap hari.

Keadaan itu biasanya berlaku ketika kesesakan teruk, apabila pengguna cuba mengelakkan barisan bas yang panjang atau mahu menjimat masa perjalanan.

“Secara rasmi ia dilarang, tetapi pada hakikatnya ia berlaku hampir setiap hari. Ada ketikanya pihak berkuasa sendiri dilihat bertolak ansur ketika kesesakan terlalu melampau.

“Ini mewujudkan percanggahan yang jelas. Di atas kertas ia dilarang, tetapi dalam keadaan sebenar ia masih berlaku,” katanya.

Beliau berkata keadaan menjadi lebih mengelirukan apabila terdapat perbezaan ketara antara Malaysia dengan Singapura.

Di sebelah Singapura, terdapat laluan pejalan kaki yang lebih jelas dan teratur, manakala di sebelah Malaysia pula hampir tiada kemudahan sedemikian.

Keadaan itu menimbulkan tanggapan seolah-olah berjalan kaki dibenarkan di satu pihak tetapi dilarang secara tiba-tiba di pihak satu lagi.

“Perbezaan itu menimbulkan kekeliruan kerana pengguna melihat kedua-dua bahagian Tambak Johor sebagai satu laluan yang sama,” ujarnya.

Seorang jurucakap Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura berkata pada masa ini tiada sebarang perubahan terhadap akses pejalan kaki di sebelah Singapura di Tambak Johor, menurut laporan The Straits Times.

Ini bermakna walaupun pergerakan pejalan kaki tidak dipermudahkan secara aktif, tiada larangan baharu diperkenalkan oleh pihak berkuasa Singapura.

KURANG MAKLUMAT

Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Lestari, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Muhammad Zaly Shah, pula berkata isu itu menunjukkan wujud jurang penyelarasan antara Johor dengan Singapura.

Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Lestari, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Muhammad Zaly Shah.
Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Lestari, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Muhammad Zaly Shah. - Foto ihsan DR MUHAMMAD ZALY SHAH

Beliau berkata perbezaan dari segi reka bentuk, penguatkuasaan dan maklumat menyebabkan pengguna tidak pasti tentang apakah yang dibenarkan dan apakah yang dilarang.

“Isu laluan pejalan kaki di Tambak Johor membuktikan terdapat jurang penyelarasan perancangan dan pelaksanaan antara Johor dengan Singapura.

“Keadaan ini menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna kedua-dua negara dan pada masa sama tidak membantu mengurangkan kesesakan,” katanya.

Menurut beliau, larangan berjalan kaki di sebelah Malaysia juga tidak berkesan kerana tiada penguatkuasaan yang tekal.

Ramai pengguna, tambah beliau, tidak mengambil serius larangan itu kerana tiada tindakan tegas diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan.

Beliau berkata jika pihak berkuasa benar-benar mahu melarang kegiatan berjalan kaki merentas Tambak Johor, papan tanda amaran perlu lebih jelas.

“Papan tanda itu sepatutnya menyatakan bentuk tindakan atau denda yang boleh dikenakan.

“Ia juga perlu menjelaskan peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan larangan berkenaan.

“Jika papan tanda terlalu umum dan tidak jelas, pengguna tidak akan mengambil serius,” ujarnya.

Selain itu, beliau menambah pengadang fizikal juga perlu dipasang di kawasan tertentu supaya orang ramai benar-benar faham larangan itu berkuat kuasa.

Pengadang sedemikian bukan sahaja berfungsi sebagai halangan fizikal, malah menjadi petunjuk visual dan psikologi kepada pengguna.

Namun, beliau berpendapat usaha membina laluan pejalan kaki baharu atau menyediakan pengangkutan tambahan mungkin tidak akan diberi keutamaan memandangkan Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link), yang dijangka mula beroperasi menjelang hujung 2026.

USULAN TAMBAH BAIK KEADAAN

Sementara itu, Penyelidik Utama, Pusat Pemanduan Bijak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Profesor Madya Dr Munzilah Md Rohani, berkata kesesakan di Tambak Johor perlu dilihat dari sudut tingkah laku pengguna.

Penyelidik Utama, Pusat Pemanduan Bijak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Profesor Madya Dr Munzilah Md Rohani.
Penyelidik Utama, Pusat Pemanduan Bijak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Profesor Madya Dr Munzilah Md Rohani. - Foto fail

Beliau berkata ramai pengguna memilih berjalan kaki kerana mereka tidak sanggup menunggu terlalu lama untuk menaiki bas atau kenderaan lain.

“Jika orang ramai sanggup berjalan kaki, ini bermakna sistem sedia ada tidak dapat memenuhi keperluan mereka.

“Daripada terus menambah jumlah kenderaan persendirian, lebih baik kita tingkatkan kekerapan bas dan menyediakan pilihan perjalanan yang lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata Malaysia dan Singapura juga boleh mempertimbangkan laluan khas untuk perjalanan tanpa kenderaan bermotor seperti berjalan kaki, berbasikal dan penggunaan skuter.

Namun, beliau menegaskan laluan sedemikian perlu dipisahkan sepenuhnya daripada laluan motosikal dan kenderaan.

“Jarak antara Johor Bahru dengan Singapura sebenarnya tidak terlalu jauh.

“Sebab itu saya rasa tidak mustahil untuk diwujudkan laluan khas yang selamat dan selesa bagi pejalan kaki serta pengguna basikal.

“Yang penting, laluan itu perlu dipisahkan daripada lalu lintas bermotor supaya tidak menimbulkan risiko,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia, Cik Safizahanin Mokhtar, berkata mewujudkan laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor dilihat berpotensi menjadi penyelesaian praktikal bagi mengurangkan kesesakan rentas sempadan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia, Cik Safizahanin Mokhtar.
Pensyarah Kanan, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia, Cik Safizahanin Mokhtar. - Foto fail

Namun, laluan pejalan kaki berbumbung hanya akan berkesan sekiranya ia menjadi sebahagian rangkaian laluan pejalan kaki yang lengkap dan bersambung dengan kawasan bandar raya Johor Bahru serta hentian bas awam di pusat bandar.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya berdepan cabaran besar termasuk kos prasarana yang tinggi, pengambilan ruang jalan sedia ada, keperluan reka bentuk keselamatan seperti pemisahan fizikal daripada trafik serta penyelarasan undang-undang melibatkan pejalan kaki rentas sempadan,” katanya.

Cik Safizahanin berkata dengan anggaran lebih 300,000 pergerakan harian merentasi sempadan, sistem pengangkutan sedia ada seperti bas dan KTM Shuttle Tebrau dilihat sudah melepasi had kapasiti terutama ketika waktu sibuk.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk kerajaan menambah kapasiti pengangkutan awam termasuk gerabak kereta api dan bilangan bas, selain mempertimbangkan pelebaran bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin.

Jelasnya, isu berkenaan turut mencerminkan keperluan kepada dasar lebih seragam dan diselaraskan antara Malaysia dengan Singapura, khususnya dari segi keselamatan pejalan kaki dan pengurusan rentas sempadan.

Beliau turut berkata negara lain seperti Amerika Syarikat dan Canada, selain negara dalam Kesatuan Eropah (EU), sudah mempunyai pelan induk pengangkutan rentas sempadan yang menyepadukan pembangunan prasarana, teknologi pelepasan sempadan pintar dan dasar keselamatan.

Menurut beliau, perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) boleh diperluas ke arah pembangunan prasarana pengangkutan rentas sempadan yang lebih cekap pada masa depan.