Topic followed successfully
Go to BHkuGelombang baru gerakan belia terap pendekatan segar tarik relawan
Gelombang baru gerakan belia terap pendekatan segar tarik relawan
Gelombang baru gerakan belia terap pendekatan segar tarik relawan
Satu gelombang baharu kumpulan yang digerakkan sepenuhnya oleh sukarelawan belia, kini mengubah landskap khidmat sosial di Singapura, dengan mengetepikan struktur hierarki serta menawarkan cara baru menyumbang bakti.
Kumpulan seperti Al-Mizan Singapura, Membina Community dan MudaSG, memilih pendekatan lebih fleksibel dan digital yang berasaskan minat khusus bagi menarik generasi muda yang mahukan model sukarelawan berbeza daripada struktur tradisional.
MudaSG sediakan ruang penerokaan fleksibel
Tidak mahu mengikat belia dalam satu acuan, MudaSG berfungsi sebagai ruang penerokaan bagi belia berusia 13 hingga 25 tahun untuk mengambil tahu isu masyarakat.
Pengasas bersama yang juga Presiden MudaSG, Cik Sherlita Almeyra Sherhan, 21 tahun, berkata:
“Kami mahu jadi ruang untuk belia meneroka pelbagai bidang kesukarelawanan dan isu masyarakat sebelum membuat komitmen jangka panjang.”
MudaSG tambah beliau, tidak menetapkan waktu minimum bagi setiap sukarelawan, dan sebaliknya, seorang sukarelawan dinilai berdasarkan sumbangan mereka pada hari mereka aktif sahaja.
Menurut Cik Sherlita, pendekatan itu berjaya menarik minat sekitar 1,600 sukarelawan setakat ini, khususnya menerusi media sosial.
“Jika anda tanya 80 peratus sukarelawan kami, mereka akan kata mereka jumpa kami di TikTok,” ujarnya.
Bagi mereka yang lebih pemalu, beliau berkata MudaSG menyediakan ruang dalam talian melalui wadah pemesejan Discord, supaya mereka boleh berkenalan terlebih dahulu sebelum turun padang.
Cik Sherlita menambah bahawa pendekatan terbuka itu turut menarik penyertaan belia bukan Melayu dan bukan Muslim.
“Mereka datang kerana ingin tahu dan mahu menyumbang, terutamanya kerana kawan mereka sudah sertai sebagai sukarelawan,” katanya.
Membina Community utamakan hubungan, kepercayaan
Mengambil pendekatan berbeza, pertubuhan khidmat sosial yang mendekati belia berisiko, Membina Community, memberi tumpuan kepada pembinaan hubungan rapat dengan belia yang berdepan tekanan moden.
Pengasas Bersama yang juga Pengarah Eksekutif, Membina Community, Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi, 30 tahun, berkata:
“Kami tidak mahu terlalu formal. Kami mahu bina hubungan dahulu supaya mereka rasa selesa sebelum kami bantu mereka berkembang.”
Pendekatan ibarat “abang/kakak-adik” itu membolehkan interaksi lebih santai dan membina kepercayaan secara mendalam, ujar beliau.
Setakat ini, Membina Community, yang ditubuhkan pada 2023, mempunyai seramai kira-kira 20 hingga 30 pemimpin belia yang membantu operasi harian pertubuhan itu.
Kebanyakan daripada mereka, tambah Encik Jihad, merupakan belia yang pernah menerima bantuan daripada Membina Community pada satu ketika.
Selain itu, badan tersebut turut memberi ruang kepada sukarelawan untuk menerajui projek berdasarkan kekuatan masing-masing.
“Kami perhatikan minat dan bakat mereka… ada yang cenderung kepada media, reka bentuk atau pidato umum, dan kami galakkan mereka memulakan projek sendiri,” terang Encik Jihad.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja memperkasa belia, malah menjadikan mereka lebih terlibat secara bermakna dalam usaha membantu masyarakat.
Al-Mizan gabung kepakaran profesional dan teknologi
Tatkala isu perubahan iklim dan kemampanan alam sekitar semakin mendesak, satu rangkaian baharu tampil membawa nafas segar ke dalam landskap perkhidmatan sosial tempatan.
Mula bergerak secara tidak rasmi pada Februari 2025, Al-Mizan Singapura, merupakan rangkaian karyawan tidak meraih untung di bawah AMP Singapura yang dipacu sepenuhnya oleh sukarelawan.
Menurut pengasasnya, Encik Ismail Weiliang, 32 tahun, misi utama mereka adalah untuk mendidik dan memperkasa masyarakat dalam mengamalkan kemampanan menerusi nilai Islam.
Bagi setiap program yang dijalankannya, Al-Mizan Singapura, yang kini mempunyai lebih 290 sukarelawan, akan menggandingkan seorang karyawan teknikal dalam bidang kemampanan bersama seorang asatizah.
“Melalui cara ini, isu kemampanan tidak hanya dilihat dari sudut teknikal, malah turut disulam dengan nilai murni Islam seperti khilafah (tanggungjawab sebagai khalifah alam), wasat (kesederhanaan), dan syukur (rasa berterima kasih),” terang Encik Ismail.
Menurutnya, rangkaian itu menghimpunkan golongan karyawan daripada pelbagai latar belakang kemampanan, termasuk pengurusan sisa, pembiayaan iklim, peguam alam sekitar, dan pemuliharaan alam semula jadi.
Menyedari topik kemampanan mungkin agak berat bagi segelintir masyarakat, Al-Mizan Singapura, menerapkan unsur gamifikasi seperti mencipta permainan kad strategik berdasarkan nilai Islam, serta menganjurkan bengkel kecerdasan buatan (AI) dan ‘hackathon’ untuk mendekati belia.

