Topic followed successfully
Go to BHkuBadan Melayu/Islam mapan, baru gabung tenaga beri khidmat kepada masyarakat
Badan Melayu/Islam mapan, baru gabung tenaga beri khidmat kepada masyarakat
Cabaran masyarakat kian kompleks, badan tidak mampu gerak sendiri
Badan Melayu/Islam mapan, baru gabung tenaga beri khidmat kepada masyarakat
Sempena transformasi akhbar cetak Berita Harian (BH) ke saiz kompak, BH memperkenalkan laporan Siri Melayu SG. Siri baru ini mengetengahkan individu, perniagaan dan pertubuhan yang mencipta semula diri mereka untuk mengharungi arus perubahan. Dalam siri kali ini, BH memaparkan usaha badan Melayu/Islam (MMO) untuk kekal relevan, serta kemunculan kumpulan sukarelawan tidak rasmi baru yang melengkapi landskap perkhidmatan sosial.
Badan Melayu/Islam (MMO) yang lebih mapan kini giat bergabung tenaga dengan pelbagai gerakan dan kumpulan sukarelawan baru dalam memperluas jangkauan dan menawarkan khidmat kepada masyarakat.
Ia seiring cabaran masyarakat Melayu/Islam yang kian kompleks, sekali gus bermakna MMO tidak lagi mampu bergerak secara berasingan, kata beberapa pemimpin badan tersebut.
Keperluan masyarakat juga kian berkembang, bukan sekadar bantuan pendidikan dan kewangan, bahkan sokongan untuk mengatasi isu seperti ketidakstabilan keluarga, tekanan penjagaan, kebimbangan kerjaya, dan identiti belia dalam era digital yang memerlukan pendekatan lebih menyeluruh.
Pengarah Eksekutif, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Didicazli Ismail, berkata antara perubahan paling ketara ialah keperluan masyarakat tidak lagi dapat difahami secara berasingan.
“Cabaran dihadapi belia sering berkait dengan tekanan yang dihadapi keluarga, dan kesukaran keluarga boleh menjejaskan keyakinan serta perkembangan belia,” ujarnya, menekankan kepentingan sokongan bersepadu merentasi generasi.
Bagi memenuhi keperluan itu, MMO menganggap kumpulan sukarelawan baru sebagai rakan pelengkap dan bukan pesaing.
Pengarah Eksekutif, AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, berkata ekosistem masyarakat yang kukuh, memerlukan institusi mantap dan usaha ‘ground-up’ (diterajui ‘dari bawah’ atau daripada anggota masyarakat) yang baharu.
“Bersama-sama, kita boleh menangani keperluan berbeza, mendekati segmen berlainan, dan memperkenalkan idea baharu untuk mengukuhkan kesan kerja masyarakat,” jelasnya.
Dari sudut daya ketahanan ekonomi dan kerjaya, AMP Singapura bekerjasama dengan inisiatif seperti Lepak Conversations dan The Big Pivot untuk menangani tekanan kos hidup dan gangguan kerjaya.
Lepak Conversations merupakan wadah diterajui belia untuk membincangkan isu Melayu/Islam, manakala The Big Pivot merupakan wadah bagi karyawan meneroka bidang keusahawanan.
Menerusi kerjasama itu, badan tersebut menganjurkan kempen media sosial dan acara untuk menyokong karyawan Muslim yang menghadapi peralihan kerjaya.
Bagi bidang pemerkasaan wanita dan keusahawanan, PPIS pula bekerjasama dengan pembawa perubahan atau changemaker belia dan jenama fesyen, seperti Commenhers dan Dear Satura, menggabungkan kreativiti dan keusahawanan untuk memperluas kesan sosial.
Untuk sektor kemampanan dan alam sekitar pula, inisiatif tidak mencari keuntungan di bawah AMP Singapura, Al-Mizan Singapura, bertindak sebagai pusat sumber pakar untuk masyarakat.
Menurut pengasas Al-Mizan Singapura, Encik Ismail Weiliang, apabila Masjid Al-Islah mahu mendekati pelajar Institut Teknologi Singapura (SIT), rangkaian Al-Mizan menawarkan karyawan daripada bidang alam sekitar dan asatizah yang berkhidmat secara sukarela, termasuk menganjurkan kegiatan jelajah alam semula jadi di Pulau Coney.
Di samping itu, pengasas bersama dan presiden pertubuhan relawan diterajui golongan belia, MudaSG, Cik Sherlita Almeyra Sherhan, berkata ramai sukarelawannya akhirnya menyertai peranan formal di badan tradisional, seperti sayap belia masjid atau Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz, pula berkata pendekatan yang diambil mereka lebih kepada melibatkan kerjasama dengan rakan kongsi masyarakat dan agensi pemerintah.
Melalui kerjasama dengan rangkaian kedai gunting rambut mewah, Sultans of Shave, penghuni rumah peralihan Pertapis mengasah kemahiran profesional dan berpeluang menawarkan khidmat gunting rambut kepada warga emas.
“Inisiatif ini membolehkan penghuni menyumbang secara positif kepada masyarakat, sambil memperkukuh perjalanan pemulihan dan integrasi semula mereka sendiri,” terang Encik Firdaus.
Pertapis juga semakin memperluaskan usaha mendekati relawan dan rakan kongsi kerana “menyedari keperluan untuk bersatu, bergabung kemahiran dan kepakaran demi membantu masyarakat”.
Semangat kerjasama itu mencerminkan pendekatan bersepadu yang semakin diperkasa di bawah M Kuasa Tiga Plus (M³+) – inisiatif diperluaskan daripada M³ (M Kuasa Tiga) baru-baru ini.
Inisiatif baharu itu diketuai Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), menyatukan MMO dan kumpulan tidak rasmi, untuk mereka bentuk program bersama, memperkasa pemimpin belia, dan menggalakkan kerjasama merentasi generasi.
“
“Bersama-sama, kita boleh menangani keperluan berbeza, mendekati segmen berlainan, dan memperkenalkan idea baharu untuk mengukuhkan kesan kerja masyarakat.”
