Topic followed successfully
Go to BHkuBadan mapan Melayu/Islam S’pura perbaharui peranan, atasi cabaran baru
Badan mapan Melayu/Islam S’pura perbaharui peranan, atasi cabaran baru
Badan mapan Melayu/Islam S’pura perbaharui peranan, atasi cabaran baru
Sempena transformasi akhbar cetak Berita Harian (BH) ke saiz kompak, BH memperkenalkan laporan Siri Melayu SG. Siri baru ini mengetengahkan individu, perniagaan dan pertubuhan yang mencipta semula diri mereka untuk mengharungi arus perubahan. Dalam siri kali ini, BH memaparkan usaha badan Melayu/Islam (MMO) untuk kekal relevan, serta cara inisiatif ‘ground-up’ baharu melengkapi landskap perkhidmatan sosial.
Badan mapan Melayu/Islam di sini giat memperbaharui peranan mereka, melangkaui bantuan asas pendidikan dan kewangan untuk menangani cabaran baharu seperti kesejahteraan mental dan pengasingan sosial, gangguan ekonomi dan digital, serta tekanan keluarga yang saling berkait.
Beberapa pemimpin badan Melayu/Islam (MMO) memberitahu Berita Harian (BH) bahawa peralihan fokus ini penting bagi memastikan masyarakat tidak ketinggalan dalam landskap yang berubah pantas.
Baru-baru ini, Yayasan Mendaki memperluaskan pendekatan pendidikan mereka di bawah pelan kerja lima tahun ‘Mendaki 2030’.
Satu contoh adalah dengan peningkatan Program Tuisyen Mendaki (MTP) kepada Program Pencapaian Mendaki (MAP) yang menerapkan unsur kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi.
CEO Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, berkata: “Ini bermakna pelajar dari keluarga berpendapatan rendah kini mempunyai akses kepada peluang pengayaan yang mungkin mereka tidak ada sebelum ini.”
Tambahnya, Mendaki juga memperkenalkan alat pembelajaran berasaskan AI serta program seperti ReadySetLearn untuk memperkasa ibu bapa, selain inisiatif Langkah Digital yang bertujuan membantu masyarakat lebih yakin menggunakan teknologi.
Pengarah eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, berkata badan itu telah meletakkan lebih banyak tumpuan kepada kesejahteraan ekonomi masyarakat susulan satu semakan strategik.
Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk siri sesi sembang santai ‘Kopi with…’ yang memberi pendedahan kepada sektor pertumbuhan seperti teknologi kewangan (fintech) dan kecerdasan buatan (AI).
“Tujuannya untuk melengkapkan mereka yang ingin menceburi sektor ini dengan pengetahuan dan maklumat yang dapat membantu mereka beralih.“Ia juga untuk menyokong mereka yang sudah berada dalam sektor ini bagi mengenal pasti laluan berpotensi untuk meningkatkan kerjaya mereka,” ujarnya.
Untuk Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) pula, usaha pemodenan tertumpu kepada pendekatan digital dan keterbukaan akses.
Pemangku Presiden LBKM, Encik Djuanda Kamid, berkata: “Kami telah memperkukuh kehadiran digital dan memperkenalkan wadah dalam talian untuk permohonan biasiswa dan derma, menjadikannya lebih mudah dan inklusif untuk pelajar serta keluarga.”
Tambahnya, pendekatan itu juga membantu LBKM berhubung dengan generasi muda melalui kandungan lebih tulen di media sosial.
Dari sudut sokongan keluarga pula, CEO PPIS, Cik Aidaroyani Adam, berkongsi badan itu menyediakan sokongan merentas pelbagai peringkat kehidupan, daripada sokongan kehidupan keluarga hingga program integrasi semula selepas dipenjarakan.
“Ia membolehkan kami menempuh pelbagai peralihan bersama keluarga, sambil memastikan sokongan diselaraskan dan responsif terhadap keperluan mereka yang sentiasa berubah,” jelasnya.
Cik Aidaroyani menambah bahawa PPIS juga memperkukuh literasi digital dan AI, termasuk kerjasama dengan syarikat teknologi pendidikan, KiteSense, untuk mempersiapkan masyarakat menghadapi perubahan teknologi.
Bagi Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), perubahan utama adalah untuk beralih daripada bantuan sekali beri kepada sokongan jangka panjang.
Meskipun bantuan langsung kekal penting, pengarah eksekutif 4PM, Encik Didicazli Ismail, berkata keluarga sering memerlukan sokongan yang berkaitan dengan keadaan, kestabilan, dan kemajuan jangka panjang mereka.
“Kami sedar keperluan keluarga tidak boleh dipenuhi melalui campur tangan sekali sahaja. Program seperti Jalinan Kasih 4PM mencerminkan usaha memberi sokongan lebih mendalam kepada keluarga muda,” kongsinya.
Menurut Encik Didicazli, 4PM juga memanfaatkan wadah digital seperti TikTok untuk mendekati belia serta memperkukuh usaha pengumpulan dana.
Dalam laporan terbaru Siri Melayu SG yang memaparkan individu dan pertubuhan yang mencipta semula diri demi mengharungi arus perubahan, MMO juga berkata mereka giat bergabung tenaga dengan kumpulan dan gerakan belia yang baru untuk meluaskan jangkauan mereka.

