Topic followed successfully
Go to BHkuFaishal: Perlu perkukuh semangat ‘Satu Hati’ hadapi dunia kian mencabar
Faishal: Perlu perkukuh semangat ‘Satu Hati’ hadapi dunia kian mencabar
Harmony Raya 2026 anjuran PPIS wadah perkukuh persefahaman antara masyarakat
Faishal: Perlu perkukuh semangat ‘Satu Hati’ hadapi dunia kian mencabar
Dalam dunia yang kian berpecah-belah dan penuh dengan ketidaktentuan, keharmonian yang dinikmati warga Singapura selama ini kini menjadi lebih penting dan perlu terus dipupuk.
Menarik perhatian semangat ‘Satu Hati’ yang diperlukan untuk mengharungi apa jua cabaran bersama, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata:
“Apabila kita melangkah ke hadapan dengan satu hati, kita bersatu padu menghadapi cabaran, saling mendekati... tanpa mengira perbezaan serta menjalin ikatan yang lebih kukuh sebagai rakyat Singapura.”
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis Hari Raya anjuran PPIS, Harmony Raya 2026, di Wisma Geylang Serai pada 11 April.
Acara itu menghimpunkan sekitar 100 peserta daripada pelbagai latar belakang, sebagai wadah memperkukuh persefahaman serta dialog antara masyarakat.
Dr Faishal berkata keharmonian yang dinikmati warga kini tidak berlaku secara kebetulan tetapi hasil usaha bersungguh-sungguh sejak bertahun-tahun.
Ia merupakan satu tanggungjawab bersama dan dibentuk menerusi pelbagai interaksi harian.
Tambahnya, keharmonian antara agama menjangkaui sekadar toleransi atau kewujudan bersama secara aman.
Malah, ia memerlukan rasa saling menghormati, persefahaman yang mendalam serta kesediaan untuk saling menyokong meskipun terdapat perbezaan pandangan.
“Rasa saling percaya harus terus diperkukuh, terutamanya dalam dunia yang kian berubah di mana perkembangan luar negara boleh menjejas sentimen tempatan dengan mudah,” ujar beliau.
Dan di PPIS, beliau berkata semangat ‘Satu Hati’ ini dizahirkan menerusi kaum Hawa dan keluarga, yang merupakan tunjang masyarakat.
“Wanita dan para ibu, khususnya, menyemai nilai empati, keterbukaan dan kasih sayang – nilai-nilai yang bermula dari rumah dan seterusnya menyentuh ke seluruh lapisan masyarakat.
“Komitmen PPIS dalam memperkukuh keutuhan keluarga serta memperkasa wanita mencerminkan nilai keihsanan, kesabaran dan keikhlasan. Ini teras kepada keharmonian sosial dan kestabilan masyarakat kita,” ujar Dr Faishal.
Melangkah ke hadapan dengan semangat ‘Satu Hati’ juga bermakna menghidupkan semangat ‘Kita Dahulu’ (We First), tambahnya.
Dalam usaha memperkukuh lagi sokongan masyarakat, beliau turut menyentuh inisiatif M³+ yang bertujuan memperluas kerjasama antara agensi pemerintah dengan rakan kerja masyarakat, termasuk pertubuhan Melayu/Islam dan kumpulan lain, agar bantuan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh dan bersepadu.
“Pendekatan ini memastikan tiada sesiapa yang terpinggir, dan setiap pihak dapat berganding bahu dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim, pula menekankan bahawa nilai pembaharuan yang dibawa Aidilfitri bukan sahaja bersifat peribadi, tetapi juga kolektif.
“Pembaharuan berlaku apabila kita memilih untuk mendengar dengan terbuka, memberi ruang kepada pengalaman berbeza dan membina hubungan berasaskan empati,” katanya.
Acara itu turut menampilkan segmen Forum Theatre interaktif yang mengangkat realiti kehidupan wanita di Singapura, sekali gus membuka ruang kepada peserta untuk berfikir dan berdialog tentang cabaran bersama.
Bagi peserta, ruang interaksi seperti ini penting dalam membina hubungan yang lebih kukuh antara komuniti.
Seorang peserta acara tersebut, Pengarah Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Komuniti di Soka Gakkai Singapore, Cik Li Jin Haw, berkata interaksi berterusan membantu membina rasa saling percaya dan sokongan bersama.
“Keharmonian dan perpaduan tidak boleh diambil mudah. Melalui interaksi seperti ini, kita membina persahabatan dan sistem sokongan supaya apabila berlaku isu, kita dapat saling memahami dan bergerak bersama,” katanya.
Seorang lagi peserta, Pengarah Interfaith Youth Circle, Cik Syairah Kimberley, pula menekankan pentingnya ruang dialog khususnya bagi golongan muda.
“Kita perlu meneroka cara berbeza untuk membincangkan idea, termasuk perkara yang mungkin sukar atau sensitif. Dari situ kita belajar memahami perspektif lain,” katanya.
Beliau turut menyifatkan segmen Forum Theatre sebagai pengalaman yang memberi kesan mendalam.
“Ia memberi ruang kepada peserta untuk bersama-sama ‘bersuara’ apabila melihat sesuatu yang tidak betul, dan membina rasa kebersamaan,” katanya.

