Topik diikuti
Pergi ke BHkuDetik PM Wong berlinangan air mata...
Detik PM Wong berlinangan air mata...
Detik PM Wong berlinangan air mata...
Surat oleh seorang rakyat Singapura yang berkongsi kisahnya dapat pulang ke tanah air dengan selamat di tengah-tengah krisis Timur Tengah menyentuh hati sehingga mengundang sebak dalam diri Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ketika membacakannya di Rapat Hari Pekerja pada 1 Mei.
Surat itu, yang ditulis Encik Nisar Keshvani dan telah diterbitkan dalam ruang forum The Straits Times pada 12 Mac, mengimbas detik beliau dan keluarganya menaiki pesawat penerbangan penghantaran pulang di Riyadh, Arab Saudi, disambut mesra oleh anggota perkhidmatan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dengan ucapan, “Selamat kembali ke tanah air” (Welcome home).
Encik Nisar berkata bahawa ungkapan “Selamat kembali ke tanah air” itu bukan sekadar satu ucapan, bahkan menunjukkan komitmen negara untuk melindungi dan menjaga rakyatnya di mana jua mereka berada.
Kandungan surat itu membuat Encik Wong berlinangan air mata, menyebabkan beliau perlu berhenti seketika sebelum sambung membacanya dalam ucapan beliau.
Sama ada ia isu krisis tenaga mahupun revolusi kecerdasan buatan (AI), Encik Wong, dalam ucaptamanya di Rapat Hari Pekerja itu, memberi jaminan bahawa “kita akan menjaga sesama kita” dan tiada rakyat Singapura yang akan ketinggalan di belakang.
“Perpaduan kita adalah kekuatan terbesar kita. Ia telah membawa kita mengharungi setiap badai di masa lalu.
“Ia memberi kita keyakinan hari ini. Dan ia akan membawa kita semua melangkah ke hadapan – menuju masa depan yang sedang kita bina bersama,” kata beliau.
