Topik diikuti
Pergi ke BHkuDesmond Lee: Tiada rancangan untuk badan bantu diri lain tawar skim seperti TTFS Mendaki
Desmond Lee: Tiada rancangan untuk badan bantu diri lain tawar skim seperti TTFS Mendaki
Desmond Lee: Tiada rancangan untuk badan bantu diri lain tawar skim seperti TTFS Mendaki
Tiada rancangan untuk badan bantu diri (SHG) lain menawarkan skim seperti Skim Subsidi Yuran Pengajian Tinggi (TTFS) Mendaki kepada pelajar Singapura daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti autonomi, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen oleh Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) pada 7 Mei, Encik Lee berkata pelajar sedemikian mempunyai bentuk sokongan lain yang tersedia, termasuk biasiswa pemerintah serta bantuan kewangan oleh universiti.
“Pelajar Singapura daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di universiti autonomi kami boleh memohon biasiswa pemerintah, yang meliputi sehingga 75 peratus daripada yuran pengajian bersubsidi untuk kursus ijazah umum.
“Universiti autonomi juga menawarkan bantuan kewangan lain, selain daripada biasiswa pemerintah yang disediakan,” kata Encik Lee, sambil menambah bahawa biasiswa yang disediakan pemerintah disemak semula secara berkala untuk memastikan ia mencukupi.
Encik Fadli telah bertanya sama ada pemerintah mempunyai rancangan untuk bekerjasama dengan SHG lain untuk memperkenalkan skim subsidi universiti yang serupa dengan TTFS Mendaki atau untuk memperkenalkan skim sedemikian di peringkat kebangsaan.
Dalam jawapannya, Encik Lee berkata pemerintah telah mengumumkan pada Oktober 2025 bahawa ambang kelayakan pendapatan akan dinaikkan mulai Tahun Akademik 2026.
Lebih ramai pelajar akan mendapat manfaat kerana kriteria pendapatan isi rumah bulanan kasar (GHI) akan dinaikkan daripada $10,000 kepada $12,000, manakala kriteria pendapatan per kapita isi rumah (PCI) bulanan kasar akan dinaikkan daripada $2,500 hingga $3,000.
TTFS Mendaki, kata Encik Lee, melengkapi skim bantuan kewangan negara yang lebih luas dengan menyediakan subsidi tambahan yang diuji kemampuan untuk pelajar Melayu daripada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
“Pemerintah terus mengalu-alukan organisasi dan individu swasta, agensi perkhidmatan sosial, dan SHG untuk menyediakan bantuan tambahan bagi memenuhi keperluan masyarakat atau kumpulan pelajar tertentu dalam usaha mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” kata Encik Lee.
