Mahkamah Tinggi pada 14 Julai menganugerahkan ganti rugi sebanyak $230,000 kepada setiap seorang menteri Kabinet, iaitu Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K Shanmugam; dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Ini selepas mahkamah memutuskan keputusan memihak kepada mereka dalam saman fitnah yang difailkan terhadap penyedia berita Bloomberg dan wartawannya.

Hakim Audrey Lim mendapati bahawa wartawan hartanah, Low De Wei, yang menulis laporan bertajuk, Singapore mansion deals are increasingly shrouded in secrecy (Urus niaga rumah agam Singapura semakin diselubungi kerahsiaan), mengetahui bahawa maklumat yang digunakan adalah palsu, atau telah menerbitkannya tanpa mengambil kira sama ada ia benar atau tidak.

Hakim Lim menambah bahawa tindakan Bloomberg untuk meniadakan sekatan bayaran bagi laporan berkenaan turut membuktikan niat jahat, sambil menyatakan perkara itu dilakukan demi memastikan artikel itu dapat diakses oleh lebih ramai orang.

Mengulas keputusan mahkamah itu, Encik Shanmugam berkata:

“Inilah sebabnya mengapa saya memilih untuk memulakan prosiding saman fitnah walaupun terpaksa menyerahkan diri saya kepada penelitian awam dan pemeriksaan balas di Mahkamah.

“Jika saluran media yang tidak bertanggungjawab seperti Bloomberg dibiarkan terlepas daripada menerbitkan penipuan dan kepalsuan mengenai pegawai awam, ia akan menetapkan satu norma baharu. Ini bermakna sesiapa sahaja yang ingin berkhidmat kepada orang ramai perlu menghadapi halangan tambahan - iaitu organisasi bermodal besar seperti Bloomberg akan menggunakan penipuan untuk menyerang mereka, memperkecilkan mereka, dan cuba memusnahkan reputasi mereka.”

Dr Tan pula berkata sejak awal lagi, kes tersebut adalah mengenai melindungi integriti dan reputasi beliau, serta kedudukan jawatan yang digalasnya.

“Pemegang jawatan politik mesti melaksanakan tugas kami dengan integriti dan bersikap terbuka kepada penelitian serta kritikan yang sah. Begitu juga, laporan media perlu adil dan tepat, terutamanya apabila ia melibatkan dakwaan yang boleh merosakkan reputasi seseorang secara serius,” ujar beliau.

Kededua Encik Shanmugam dan Dr Tan berkata mereka akan mendermakan jumlah ganti rugi itu kepada amal.

Encik Shanmugam dan Dr Tan telah menyaman Bloomberg atas dakwaan memfitnah berhubung artikel mengenai urus niaga melibatkan Banglo Kelas Atasan (GCB) di Singapura.

Artikel itu, yang diterbitkan pada 12 Disember 2024, memaparkan urus niaga hartanah kedua-dua menteri berkenaan pada 2023, iaitu penjualan bekas kediaman Encik Shanmugam di Queen Astrid Park kepada UBS Trustees pada harga $88 juta, serta pembelian sebuah banglo di Brizay Park oleh Dr Tan tanpa kaveat pada harga hampir $27.3 juta.

Laporan itu menyatakan bahawa golongan kaya di Singapura kini semakin kerap merahsiakan pembelian rumah mereka, seperti menggunakan amanah bagi memastikan identiti mereka tidak didedahkan kepada umum.

Artikel itu turut menyatakan bahawa urus niaga yang dibuat tanpa kaveat “lebih sukar dikesan” kerana ia tidak terpapar dalam pangkalan data yang diselenggara oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Kaveat ialah dokumen undang-undang yang boleh dikemukakan oleh pembeli hartanah kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA) untuk melahirkan minat terhadap sesuatu hartanah dan menghalang pihak lain daripada membelinya.

Dalam penghakiman bertulisnya pada 14 Julai, Hakim Lim mendapati laporan itu memberi pembaca biasa tanggapan bahawa dua menteri berkenaan telah mengambil kesempatan atas ketiadaan sistem semak dan imbang atau syarat untuk menjalankan urus niaga hartanah mereka secara tidak telus.

Beliau berkata laporan tersebut menyampaikan mesej kepada pembaca bahawa terdapat urus niaga GCB yang disembunyikan daripada pengetahuan pemerintah sendiri, dan wujudnya kelonggaran dalam kawal selia yang boleh dieksploitasi oleh pembeli.

Pembaca juga akan memahami artikel itu sebagai bermaksud bahawa dua menteri berkenaan berbuat demikian demi menyembunyikan urus niaga mereka serta mengelak daripada diperiksa – tindakan yang mungkin menjurus kepada kemungkinan berlakunya pengubahan wang haram.

Hakim Lim menekankan bahawa artikel tersebut ada menyebut tentang pengubahan wang haram dan memetik skandal pengubahan wang haram berprofil tinggi bernilai $3 bilion yang menyaksikan 10 pesalah disabitkan kesalahan dan dipenjarakan.

“Oleh itu, pembaca dibiarkan untuk memahami bahawa pemeriksaan yang ingin dielakkan oleh para pembeli adalah pemeriksaan terhadap kegiatan pengubahan wang haram itu sendiri,” kata beliau.

“Dakwaan bahawa seseorang telah mengatur urus niaga hartanahnya dengan sengaja bagi melepaskan diri daripada pemeriksaan terhadap kemungkinan berlakunya pengubahan wang haram, jelas sekali cenderung merendahkan martabatnya di mata masyarakat yang berfikiran waras,” tambah Hakim Lim.

Beliau mendapati laporan itu berunsur fitnah terhadap kedua-dua plaintif, lalu menolak hujah pihak defendan bahawa artikel tersebut hanya menyentuh tentang trend pembelian GCB di Singapura dan tidak memfitnah.