Topic followed successfully
Go to BHkuShanmugam, See Leng masing-masing diberi ganti rugi $210,000 dalam kes saman fitnah Ketua Editor TOC
Shanmugam, See Leng masing-masing diberi ganti rugi $210,000 dalam kes saman fitnah Ketua Editor TOC
Shanmugam, See Leng masing-masing diberi ganti rugi $210,000 dalam kes saman fitnah Ketua Editor TOC
Mahkamah Tinggi telah memberi ganti rugi $210,000 kepada Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam; dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dalam kes saman fitnah yang difailkan ke atas Ketua Editor, The Online Citizen (TOC), Encik Terry Xu.
Tuntutan itu berkait dengan artikel TOC bertajuk, Bloomberg: Nearly half of 2024 GCB transactions lack public record, raising transparency concerns (Bloomberg: Hampir separuh urus niaga GCB 2024 tiada rekod awam, cetus kebimbangan tentang ketelusan) yang diterbitkan pada Disember 2024 mengenai urus niaga banglo kelas atasan (GCB) di Singapura.
Ia merujuk kepada laporan Bloomberg yang diterbitkan pada 12 Disember 2024 mengenai urus niaga hartanah oleh dua menteri berkenaan.
Dalam penghakiman bertulis setebal 28 muka surat, Hakim Audrey Lim menggariskan beberapa faktor yang membawa kepada pemberian jumlah ganti rugi lebih tinggi.
Ganti rugi yang diberikan kepada setiap menteri tersebut termasuk $50,000 dalam bentuk ganti rugi – yang antara lain, mengambil kira bagaimana ia menjejas nama baik.
Dapatan hakim itu dibuat susulan perbicaraan pada 26 Ogos, di mana beliau telah memutuskan penghakiman ingkar yang memihak kepada Encik Shanmugam dan Dr Tan berikutan kegagalan Encik Xu untuk hadir ke mahkamah.
Menurut Hakim Lim, dakwaan dalam artikel TOC itu telah menyerang keperibadian kedua-dua menteri tersebut.
Ia menggambarkan mereka sebagai individu yang merupakan sebahagian daripada sistem tidak telus, serta membelakangkan keperluan untuk bertindak secara telus bagi mengelak kelakuan mereka diteliti.
Dakwaan tersebut sekali gus mencadangkan bahawa Encik Shanmugam dan Dr Tan telah melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.
“Sebagai menteri Kabinet, dakwaan ini bukan sahaja memburukkan (reputasi) peribadi pihak yang menuntut, malah (turut menyerang) reputasi profesional mereka juga,” tambah Hakim Lim.
“Oleh itu, ini merupakan faktor yang membawa kepada pemberian ganti rugi lebih tinggi.”
Hakim Lim berkata dakwaan fitnah yang dikeluarkan Encik Xu sangat serius, memandangkan ia secara langsung mempersoal integriti peribadi, watak, dan reputasi profesional Encik Shanmugam dan Dr Tan.
Tahap penyebaran dan perkongsian semula artikel tersebut juga sangat luas, tambah Hakim Lim.
Selain boleh diakses di laman web TOC, artikel itu juga telah diterbitkan di wadah media sosial portal berkenaan.
Encik Xu turut meluaskan penyebaran kandungan fitnah tersebut dengan menerbitkan empat artikel tambahan antara 23 Disember 2024 dengan 3 Januari 2025, yang merujuk atau mengandungi pautan kepada artikel asal.
Setiap artikel susulan tersebut turut dipromosikan menerusi akaun media sosial TOC.
Hakim juga mendapati Encik Xu telah bertindak dengan niat jahat.
Peguam Dr Tan dan Encik Shanmugam telah mengeluarkan amaran kepada Encik Xu mengenai fakta palsu dalam artikel tersebut pada 19 Disember 2024.
Selain itu, satu rencana di laman web semakan fakta pemerintah, Factually, pada 23 Disember 2024, turut menyerlahkan fakta palsu tersebut.
Namun, Encik Xu memberi respons dengan berkata artikel tersebut ditulis “berdasarkan rekod awam yang benar dan boleh disahkan”, serta menegaskan bahawa kandungannya benar dan mempunyai asas kukuh, jelas Hakim Lim.
Encik Xu turut melanggar perintah tegahan pada 26 Ogos 2025, yang melarang beliau daripada terus menyebarkan dakwaan fitnah berkenaan.

