Mahkamah Tinggi pada 11 Mei memerintahkan Ketua Editor, The Online Citizen (TOC), Encik Terry Xu, membayar kos guaman melebihi $154,000 kepada menteri Kabinet, Encik K. Shanmugam dan Dr Tan See Leng, susulan saman fitnah.

Jumlah itu merangkumi yuran peguam sebanyak $78,000 – diagihkan sama rata buat kededua menteri – serta lebih $76,000 bagi perbelanjaan sampingan yang ditanggung sepanjang prosiding.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Shanmugam, diperuntukkan $44,398.25 bagi kos sampingan; manakala Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan, menerima $32,064.25.

Encik Xu tidak hadir mahupun melantik wakil peguam semasa pendengaran bagi penetapan kos guaman berkenaan dijalankan.

Pada Mac, Encik Shanmugam dan Dr Tan masing-masing dianugerahkan ganti rugi $210,000 berhubung artikel TOC bertajuk, ‘Bloomberg: Nearly half of 2024 GCB transactions lack public record, raising transparency concerns’.

Laporan TOC itu memetik artikel Bloomberg bertarikh 12 Disember 2024 mengenai urus niaga banglo kelas atasan (GCB) melibatkan kededua menteri tersebut pada 2023.

Artikel bertajuk, ‘Singapore mansion deals are increasingly shrouded in secrecy’, turut mencetuskan saman fitnah berasingan terhadap agensi berita itu dan wartawannya, Encik Low De Wei, pada 6 Januari 2025.

Pihak mahkamah pada 28 Januari 2025 memberikan kebenaran kepada para menteri untuk menyerahkan dokumen guaman kepada Encik Xu yang ketika itu berada di Taiwan.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan sebarang kenyataan pembelaan bagi menjawab tuntutan yang difailkan tersebut.

Pada 26 Ogos 2025, Hakim Audrey Lim memutuskan penghakiman ingkar memihak kepada Encik Shanmugam dan Dr Tan.

Encik Xu sekali lagi tidak hadir dalam pendengaran taksiran ganti rugi yang berlangsung pada 26 Februari.

Menerusi surat kepada mahkamah, beliau menegaskan pendirian untuk tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah Singapura terhadap penilaian ganti rugi atau mana-mana peringkat substantif kes itu.

Hakim Lim dalam penghakiman bertulis pada 31 Mac menjelaskan bahawa kegagalan memfailkan pembelaan bermakna fakta tuntutan menteri dianggap telah diakui oleh Encik Xu.

Beliau turut menggariskan faktor yang mewajarkan pemberian jumlah ganti rugi yang lebih tinggi dalam kes fitnah itu.

Menurut Hakim Lim, artikel TOC itu telah mencemar reputasi para menteri dengan menggambarkan mereka sebagai individu yang sengaja mengelak daripada berlaku telus demi menutup tindak-tanduk mereka daripada penelitian umum.

Ia sekali gus memberi gambaran bahawa mereka telah melakukan sesuatu yang tidak wajar.

“Sebagai menteri Kabinet, dakwaan sebegini mencemarkan bukan sahaja reputasi peribadi plaintif, malah reputasi profesional mereka,” tegas beliau.