Topik diikuti
Pergi ke BHkuBimbingan penulisan buku sebagai ‘ubat’ keyakinan diri bekas penagih
Bimbingan penulisan buku sebagai ‘ubat’ keyakinan diri bekas penagih
Seorang bekas penagih, Zuraini Abdullah, telah pun berjaya menulis dan terbitkan sebuah buku bertajuk ‘Breaking the Silence: A Mother’s Journey Through Addiction and Hope’
Bimbingan penulisan buku sebagai ‘ubat’ keyakinan diri bekas penagih
Menyifatkan stigma yang membelenggu bekas penagih dadah sebagai punca kerendahan diri mereka, Encik Mohammad Ismail Abu Bakar, berasa terpanggil untuk membimbing dan membangunkan semula ‘maruah’ bekas penagih dadah.
Encik Ismail, 67 tahun, merupakan pengasas bagi badan A Voice To Be Heard yang telah bergerak sejak 2023 untuk membantu para bekas penagih meluahkan pergelutan dalam diri mereka agar difahami masyarakat.
Beliau berkata: “Lazimnya mereka tidak langsung merancang untuk mengambil dadah.
“Apabila mereka ingin keluar daripada kancah tersebut sebagai penagih, mereka mendapati ia susah untuk serap semula dalam masyarakat.
“Ada rasa ketakutan disisih kerana stigma yang mencengkam mereka sebagai bekas penagih.
“Justeru, saya ingin bantu membangunkan semula keyakinan diri mereka.”
Bagi mencapai hal tersebut, Encik Ismail telah mengusahakan sebuah program bagi bekas penagih untuk menghasilkan buku yang menceritakan pengalaman dan keperitan mereka.
Beliau menyifatkan bahawa bekas penagih yang ingin kembali ke pangkal jalan dan kembali diterima masyarakat memerlukan proses yang lama untuk membangkitkan rasa keyakinan diri mereka.
Demi memecahkan benteng ketakutan ini, Encik Ismail melihat bahawa bekas penagih harus terlebih dahulu berani meluahkan rasa keperitan dan keresahan yang terbuku dalam hati mereka.
Justeru, beliau berpandangan bahawa program penulisan buku itu merupakan wadah yang penting bagi bekas penagih untuk melepaskan diri mereka daripada rasa takut.
Dengan bimbingan beliau, seorang bekas penagih, Zuraini Abdullah, telah pun berjaya menulis dan menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Breaking the Silence: A Mother’s Journey Through Addiction and Hope’ pada 2025.
Pada 2026, tiga buku lagi bakal diterbitkan setelah berjaya ditulis oleh tiga orang bekas penagih yang berada di bawah naungan Encik Ismail.
Menurut beliau, antara impak yang beliau harap daripada usaha ini adalah agar masyarakat dapat membaca dan memahami kisah hidup para penagih dadah yang bergelut dengan masalah ketagihan dan keyakinan.
Secara kebetulan, kisah penagih dadah dan keluhan ahli keluarga mereka turut menjadi tunjang utama dalam satu pameran anjuran Biro Narkotik Pusat (CNB) sempena Majlis Hari Peringati Mangsa Dadah pada 15 Mei di Suntec City Atrium.
Bertemakan ‘The Library of Stories, Unfinished’, pameran yang akan berlangsung dari 15 hingga 17 Mei akan menyelongkar pengalaman yang mendalam dan menghayati bagaimana penyalahgunaan dadah menjejaskan individu, keluarga serta masyarakat melalui kisah, kenangan dan pengalaman hidup sebenar.
Ketika berbicara dengan Berita Harian (BH), beliau mengungkap bahawa masih terdapat ruang dan jurang yang boleh diperbaik dalam menghulurkan sokongan kepada bekas penagih yang ingin pulang ke pangkuan masyarakat.
Encik Ismail juga merupakan rakan kerjasama masyarakat yang berganding bahu bersama CNB untuk menyokong bekas pesalah serta ahli keluarga mereka daripada kesan penyalahgunaan dadah.
“Banyak lagi yang boleh diusahakan dalam mendorong atau membantu bekas penagih.
“Terutama sekali, pihak keluarga. Keluarga memainkan peranan penting dan utama dalam memastikan bahawa bekas penagih ini rasa dilihat, didengari dan diterima.
“Ada keluarga yang bersikap keras dan kritis terhadap ahli keluarga mereka yang pernah mengambil dadah.
“Tidak dapat dinafikan bahawa itu merupakan satu kesalahan yang membawa padah yang dasyat.
“Namun, sikap empati dan cuba untuk memahami ahli keluarga mereka harus mengatasi rasa kekesalan dan kekecewaan mereka,” jelas beliau sambil menahan sebak.

