Mulai 16 Mei, semua penagih dadah kali pertama yang menyerah diri tidak akan dihantar ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC).

Sebaliknya, mereka akan ditempatkan di bawah pengawasan dadah dalam masyarakat dengan pengurusan kes secara wajib.

Rejim baharu ini bertujuan menggalakkan penagih dadah kali pertama agar tampil untuk mendapatkan bantuan, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, ketika mengumumkannya semasa Majlis Peringati Hari Mangsa Dadah 2026 pada 15 Mei di Pusat Konvensyen Suntec.

Encik Tong berkata sokongan seperti sesi kaunseling berkala dalam masyarakat akan diberikan kepada penagih dadah yang ingin mengatasi ketagihan dan menjalani kehidupan bebas dadah.

“Penagih dadah yang ingin menghentikan ketagihan dan menjalani kehidupan bebas dadah akan dibantu menerusi sesi kaunseling berkala dalam masyarakat, yang melibatkan kaedah berasaskan psikologi seperti penetapan matlamat dan penglibatan keluarga, disertakan dengan ujian rambut atau air kencing secara berkala oleh Biro Narkotik Pusat (CNB),” jelas beliau.

Tambahnya, syarat-syarat di bawah rejim penyerahan diri sedia ada akan terus dikenakan.

Ini termasuk individu itu mesti menyerah diri secara sukarela di pejabat CNB atau balai polis, serta mesti didapati positif mengambil dadah terkawal.

Individu itu juga tidak boleh dikehendaki oleh pihak berkuasa, sedang disiasat, berada di bawah jaminan, menjalani hukuman mahkamah yang masih berkuat kuasa atau di bawah sebarang bentuk pengawasan menurut undang-undang sedia ada.

Terakhir sekali, individu tersebut tidak boleh pernah menyerah diri lebih daripada dua kali sepanjang hayatnya.

Pada rejim sebelum ini, yang diumumkan pada 2019, penagih dadah yang menyerah diri akan ditempatkan di bawah rejim berperingkat berdasarkan penilaian risiko oleh CNB.

Ini termasuk sama ada diletakkan di bawah pengawasan dadah dalam masyarakat sahaja, atau ditahan di DRC untuk menjalani pemulihan.

Namun, rejim itu telah disemak semula sementelah perangkaan menunjukkan jumlah penagih dadah dalam golongan muda semakin meningkat setiap tahun.

Penagih baharu berusia bawah 20 tahun telah meningkat sebanyak 22 peratus antara 2024 dengan 2025.

Selain itu, ganja terus menjadi satu kebimbangan dengan tujuh daripada 10 penagih ganja yang diberkas pada 2025 merupakan penagih baharu.

Daripada jumlah itu, 63 peratus penagih berusia di bawah 30 tahun, kata Encik Tong.

Acara tahunan oleh Jawatankuasa Antara Kementerian (IMC) tentang Pencegahan Dadah bagi Belia itu dianjurkan pada Jumaat ketiga dalam bulan Mei sejak 2024 sebagai peringatan tentang kesan penyalahgunaan dadah yang dahsyat dan sering tidak terlihat.

Sebuah pameran turut diadakan di Suntec City Atrium bagi menyelongkar pengalaman dan menghayati bagaimana penyalahgunaan dadah menjejaskan individu, keluarga serta masyarakat melalui kisah, kenangan dan pengalaman hidup sebenar. Majlis dan pameran tersebut turut dihadiri (dari kiri) Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim; Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua; Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan; Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; dan Menurut Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.
Sebuah pameran turut diadakan di Suntec City Atrium bagi menyelongkar pengalaman dan menghayati bagaimana penyalahgunaan dadah menjejaskan individu, keluarga serta masyarakat melalui kisah, kenangan dan pengalaman hidup sebenar. Majlis dan pameran tersebut turut dihadiri (dari kiri) Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim; Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua; Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan; Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; dan Menurut Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Majlis itu turut dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.

Seiring dengan majlis peringatan tersebut, sebuah pameran turut diadakan di Suntec City Atrium dan akan berlangsung dari 15 hingga 17 Mei.

Bertemakan ‘The Library of Stories, Unfinished’, pameran ini akan menyelongkar pengalaman yang mendalam dan menghayati bagaimana penyalahgunaan dadah menjejaskan individu, keluarga serta masyarakat melalui kisah, kenangan dan pengalaman hidup sebenar.