Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata pada 27 April pihaknya telah berjaya menumpaskan sebuah rangkaian dadah transnasional dalam satu operasi rentas sempadan bersama pihak berkuasa Britain.

Pada 3 Januari, sebuah kontena berukuran 20 kaki yang membawa 509 kilogram ganja telah dikesan di Stesen Pengimbasan Pasir Panjang.

Siasatan CNB mendedahkan dadah tersebut sedang transit di Singapura menuju ke Britain.

Berikutan itu, CNB melancarkan operasi rentas sempadan bersama tiga agensi Britain – Operasi Antarabangsa Pejabat Dalam Negeri (Hoio); Pasukan Sempadan United Kingdom; dan Unit Jenayah Terancang Serantau West Midlands – untuk menumpaskan rangkaian dadah transnasional tersebut dan mendedahkan modus operandinya.

CNB berkata operasi itu berjaya memutuskan rangkaian pengedaran yang sedang beroperasi, sekali gus menghalang pengedaran sejumlah besar dadah di Britain. 

Pihak berkuasa Britain kemudian merampas 412 kilogram ganja dalam kontena berasingan yang menuju ke Britain pada 25 Februari, dengan operasi susulan yang menghasilkan rampasan sejumlah tambahan ganja dan tangkapan tujuh orang.

Salah seorang daripada mereka telah didakwa di Britain atas kesalahan berkaitan dadah.

Pihak berkuasa Britain sedang menyiasat lebih lanjut bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat. 

“Melalui kerjasama antarabangsa yang erat dan perkongsian perisikan, kami dan rakan-rakan penguatkuasaan undang-undang Britain telah memberikan tamparan hebat kepada rangkaian pengedaran dadah transnasional yang mengancam keselamatan dan ketenteraman masyarakat kita,” kata Timbalan Pengarah Operasi CNB, Penolong Pesuruhjaya Aaron Tang.

“Biar ini menjadi amaran jelas kepada semua pengedar dadah, ketegasan Singapura terhadap dadah kekal mutlak. Kami akan mengejar tanpa henti, sama ada anda beroperasi di dalam kawasan sempadan kami atau di luar sana.

“Perkongsian kami dengan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa memastikan tiada tempat selamat bagi mereka yang mengedarkan bahan berbahaya ini.”

Menurutnya, CNB akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Britain untuk menumpaskan rangkaian jenayah sedemikian dan melindungi warga Singapura daripada ancaman dadah haram.

Pengurus Wilayah Asia-Pasifik Hoio, Encik Bryan McNeill, berkata: “Britain amat berterima kasih kepada rakan kongsi kami di Singapura kerana membantu menyekat rangkaian pengedaran dadah yang menyasarkan Britain.

“Penjenayah ini beroperasi merentasi sempadan, jadi tindak balas kami juga mesti bersifat transnasional. Melalui perkongsian perisikan masa nyata, penyelarasan sempadan yang lebih kukuh dan matlamat bersama, kerjasama ini menutup jurang yang telah lama dieksploitasi oleh jenayah terancang.”

CNB berkata hasil operasi itu menyerlahkan keberkesanan perkongsian kukuh antara biro itu dengan agensi Britain, serta dedikasi bersama dalam memerangi ancaman pengedaran dadah terancang dan antarabangsa yang semakin meningkat.

“Kesemua agensi akan terus mengukuhkan kerjasama ini, meningkatkan kerjasama operasi dan perkongsian perisikan untuk bertindak balas terhadap rangkaian dan operasi dadah transnasional yang terus berkembang,” kata CNB.