Topik diikuti
Pergi ke BHkuBantuan daging korban dan program masjid ubah hidup ibu tunggal
Bantuan daging korban dan program masjid ubah hidup ibu tunggal
Sumbangan bukan sahaja bantu dari segi keperluan makanan, malah beri peluang keluarga rasai suasana perayaan Aidiladha seperti yang lain
Bantuan daging korban dan program masjid ubah hidup ibu tunggal
Bagi Cik Nora (bukan nama sebenar), sambutan Aidiladha bukan sekadar tradisi tahunan, malah perayaan menyuntik sinar harapan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta.
Sebagai ibu tunggal yang tinggal di flat sewa bersama tiga anak dewasa – berusia antara 19 tahun dengan 21 tahun – kehidupan harian beliau penuh cabaran.
Namun, di sebalik kesukaran itu, beliau bersyukur menerima pelbagai bantuan daripada masyarakat dan masjid.
Cik Nora kini tidak bekerja kerana berdepan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, tekanan darah rendah, kolesterol tinggi, sakit lutut serta kesan sampingan daripada pembedahan membuang implan pada tangannya.
Keadaan kesihatan itu membataskan kemampuan fizikalnya untuk melakukan kerja berat.
Di sebalik cabaran besar yang dihadapinya itu, beliau masih perlu memastikan keperluan keluarganya terjaga, terutama bagi menampung dua anaknya yang masih belajar dan seorang lagi anak yang sedang menunggu Perkhidmatan Negara (NS).
NANTIKAN AIDILADHA SETIAP TAHUN
Menurut Cik Nora, sambutan Aidiladha kebelakangan ini lebih sederhana berbanding dahulu.
Ketiadaan ahli keluarga yang lebih berusia untuk diziarahi menjadikan suasana Raya agak berbeza.
Kadangkala beliau akan menziarahi kakaknya, walaupun kakaknya kini tidak lagi mampu berbual seperti dahulu.
Walaupun begitu, Cik Nora tetap menantikan kedatangan Aidiladha setiap tahun kerana peluang menikmati daging korban bersama keluarga, sesuatu yang berharga bagi mereka.
Sumbangan daging korban yang diterima melalui usaha SalamSG Korban di Masjid Sallim Mattar dijadikan santapan istimewa bagi keluarganya.
Setiap tahun, keluarganya menerima sumbangan empat paket daging korban.
Dua paket akan dimasak untuk dinikmati bersama keluarga ketika Hari Raya Haji, manakala dua lagi disimpan untuk kegunaan kemudian hari.
Bagi Cik Nora, sumbangan itu bukan sahaja membantu dari segi keperluan makanan, malah memberi peluang kepada keluarganya merasai suasana perayaan Aidiladha seperti keluarga lain.
KUASAI KEMAHIRAN MEMASAK DI MASJID
Selain bantuan korban, pelbagai bentuk program anjuran masjid telah banyak membantu meningkatkan mutu hidupnya.
Sebagai ibu tunggal, beliau berasa sangat dihargai apabila masjid sentiasa membuka ruang kepada beliau menyertai kegiatan kemasyarakatan dan keagamaan.
Antara program anjuran masjid yang paling memberi kesan kepadanya ialah kelas memasak yang ditawarkan dengan tajaan penuh.
Melalui kelas tersebut, beliau berjaya mempelajari kemahiran baru dalam bidang masakan dan pembuatan kuih.
Kemahiran itu akhirnya memberi manfaat besar apabila Cik Nora.
Beliau berjaya menghasilkan lebih daripada 100 botol kuih Raya untuk dijual pada Hari Raya Puasa.
Usaha tersebut bukan sahaja membantu menambah pendapatan keluarganya, malah menambah keyakinan dirinya untuk terus berdikari, walaupun berdepan masalah kesihatan.
Oleh itu, Cik Nora sangat bersyukur atas bantuan yang dihulurkan, dan turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada usaha korban dan program bantuan masyarakat.
Beliau menzahirkan harapan agar para penyumbang sentiasa dilimpahi rezeki yang berkat serta sentiasa berada di bawah rahmat Allah swt.
“Setiap sumbangan yang dihulurkan bukan sahaja membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan, malah turut memberi dorongan kepada keluarga memerlukan seperti saya, agar dapat meneruskan hidup dengan lebih baik dan bermakna,” akhiri Cik Nora.
SEKILAS:
+ Sebanyak 51 masjid SalamSG di Singapura menawarkan korban luar negara sempena Hari Raya Haji 1447H/2026.
+ Sebahagian daging kambing korban yang diderma akan dijadikan makanan bertin dan dihantar ke Gaza untuk membantu mangsa konflik.
+ Daging korban yang diderma juga akan diagihkan kepada golongan memerlukan di Singapura seperti penerima zakat, keluarga banduan dan pekerja asing melalui usaha masjid dan program SalamSG Gives.
+ Hasil korban luar negara turut membantu menyokong program masjid.
CARA MENDAFTAR:
+ Pendaftaran Korban SalamSG 1447H/2026 dibuka hingga Jumaat, 22 Mei 2026.
+ Pendaftaran dan pembayaran boleh dibuat secara dalam talian di ourmasjid.sg/korban.
+ Pendaftaran juga boleh dibuat secara ‘walk-in’, atau hadir terus di masjid terpilih.
+ Kaedah pembayaran termasuk PayNow, NETS, kad kredit/debit dan tunai.
