SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

SalamSG teruskan inisiatif korban luar negara bantu penduduk Gaza, perluas pilihan korban di S’pura

SalamSG teruskan inisiatif korban luar negara bantu penduduk Gaza, perluas pilihan korban di S’pura

Faishal: Program korban luar negara SalamSG terus sedia pilihan buat Muslim S’pura, pastikan keberkatan ibadah sampai kepada golongan memerlukan dalam dan luar negara
Apr 17, 2026 | 5:30 AM

SalamSG teruskan inisiatif korban luar negara bantu penduduk Gaza, perluas pilihan korban di S’pura

Meskipun terpisah beribu batu, penduduk di Palestin yang terjejas dengan konflik berterusan di Gaza masih dapat menikmati daging korban hasil kemurahan hati masyarakat Islam Singapura.

Melalui Kempen SalamSG Korban 1447H/2026, usaha pengagihan tin makanan daging korban siap dimakan yang dijalankan tahun lalu (2025) akan diteruskan sebagai satu jambatan usaha bantuan kemanusiaan buat masyarakat di sana.

Sebahagian daging korban luar negara akan diproses dan ditinkan mengikut cita rasa penduduk Palestin untuk memudahkan pengagihan kepada mereka.

Pada Ogos 2025, sebanyak 17,000 tin daging korban berjaya diagihkan. Malah, delegasi SalamSG turut ‘turun padang’ menyerahkan bekalan secara terus kepada pelarian Palestin di sekitar kem Amman, Jordan.

Penghantaran fasa kedua sebanyak 8 tan metrik daging korban telah selamat dihantar ke Gaza pada Februari 2026. Secara keseluruhan, sekitar 16 tan metrik daging korban disumbang masyarakat Islam Singapura buat usaha pengagihan tin makanan daging korban ini.

Bagi memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang memerlukan dengan selamat, SalamSG telah menjalin kerjasama erat dengan rakan kemanusiaan antarabangsa yang dipercayai dan berpengalaman seperti Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO).

Daya usaha korban luar negara SalamSG, yang menjadi teras kempen ini, kini disediakan melalui 51 masjid di serata Singapura.

Mereka yang menjalankan ibadah korban luar negara boleh memilih antara tiga jenis ternakan: lembu, anak biri-biri (lamb), atau biri-biri (sheep).

Pilihan ini bukan memberi kemudahan dari segi harga berpatutan sahaja, malah memastikan manfaat ibadah kambing korban daripada pilihan biri-biri dapat melebihi sempadan geografi menerusi misi bantuan kemanusiaan.

Bagi memenuhi permintaan mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban di Singapura, SalamSG menambah dua lagi masjid bagi menjalankan ibadah itu – menjadikan jumlah keseluruhan tujuh masjid yang menawarkan perkhidmatan korban tempatan – memudahkan lagi akses dan pilihan Sahibul Korban, atau orang yang melakukan ibadah korban, iaitu:

– Masjid Jamae Chulia (South Bridge Road) – Baharu

– Masjid Al-Istighfar (Pasir Ris) – Baharu

– Masjid Al-Firdaus

– Masjid Petempatan Melayu Sembawang

– Masjid Pusara Aman

– Masjid Omar Salmah

– Masjid Tentera Diraja

Di Singapura, SalamSG juga terus komited menyokong golongan rentan.

Menerusi daya usaha SalamSG Gives, daging korban akan diagihkan kepada penerima zakat di seluruh Singapura, termasuk keluarga banduan dan pekerja asing.

Pada Jun 2025 sahaja, hampir 1,000 penerima menerima sumbangan daging korban yang dihantar terus ke rumah mereka oleh sukarelawan masjid dan pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Mengulas tentang ibadah korban kali ini dalam satu kenyataan pada 9 April, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata:

“Program korban luar negara SalamSG terus menyediakan pilihan berpatutan kepada masyarakat serta memastikan keberkatan ibadah korban sampai kepada mereka yang memerlukan di dalam dan luar negara.’’

Pengerusi Bersama Jawatankuasa SalamSG, Encik Md Fahrur Razi Abdul Hamid, berkata SalamSG Korban berharap dapat memperluaskan manfaat melalui amalan memberi semasa Zulhijah.

“Sama ada melalui bantuan ke Gaza atau sokongan kepada komuniti tempatan, setiap sumbangan membawa makna yang besar.

“Inisiatif ini terus menjadi simbol kesatuan, keprihatinan dan kemanusiaan sejagat yang merentas sempadan,” ujarnya.

Pendaftaran bagi tempahan korban telah dibuka melalui 55 masjid di bawah rangkaian SalamSG. Masyarakat Islam Singapura dijemput bersama-sama menyemarakkan ibadah ini sambil membantu meringankan beban saudara seagama.

SEKILAS

- Pendaftaran Korban SalamSG 1447H/2026 dibuka 9 April hingga 22 Mei.

- Tertakluk kepada siapa dahulu didahulukan (first-come, first-served)

- Korban juga boleh dilakukan untuk nazar dan akikah.

- Pendaftaran dan pembayaran bagi inisiatif ibadah korban luar negara boleh dibuat dalam talian di ourmasjid.sg/korban

- Pendaftaran juga boleh dibuat secara datang terus (walk-in) ke masjid-masjid terpilih

- Kaedah pembayaran termasuk PayNow, NETS, kad kredit/debit dan tunai (di masjid sahaja)

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg