Topik diikuti
Pergi ke BHkuAsatizah berperanan tingkat keusahawanan, pacu perniagaan
Asatizah berperanan tingkat keusahawanan, pacu perniagaan
Pergas meterai MOU dengan ASME bagi wujud peluang pekerjaan lebih luas untuk asatizah
Asatizah berperanan tingkat keusahawanan, pacu perniagaan
Satu Memorandum Persefahaman (MOU) antara Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dengan Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME) telah dimeterai bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas untuk golongan asatizah yang berminat menceburi kerjaya dalam bidang perniagaan.
Antara lain, MOU tersebut juga akan mendorong asatizah untuk membina rangkaian dan mendapatkan bimbingan daripada ASME.
Pada masa yang sama, hal tersebut juga dapat membuka lebih banyak peluang pertumbuhan sejagat menerusi kepakaran asatizah dalam kecekapan bahasa dan pemahaman budaya serta pengetahuan pematuhan syariah.
Digabungkan dengan kepakaran perniagaan, ia akan turut mendorong Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) untuk berkembang ke pasaran antarabangsa, termasuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Asean dan Amerika Latin.
MOU tersebut telah ditandatangani antara Pergas dengan ASME pada 13 Mei di Maybank Tower.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam ucapannya, beliau berkata:
“Saya berasa gembira melihat Pergas dan ASME melangkah ke hadapan menerusi MOU ini, yang mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh daya tahan ekonomi masyarakat kita.
“Kerjasama ini akan membolehkan SME tempatan kita melihat lebih jauh dalam merebut peluang dan mengembangkan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.
“Sebagai contoh, negara GCC menawarkan potensi yang amat besar bagi SME kita.
“Dengan memanfaatkan kefasihan bahasa Arab dalam kalangan ahli (asatizah) Pergas, kita sedang memperkukuh sokongan kepada syarikat berpangkalan di Singapura untuk mengantarabangsa.”
Hari ini, semakin ramai golongan asatizah menceburi bidang keusahawanan.
Justeru, ia penting untuk mewujudkan satu ekosistem yang menyokong pertumbuhan asatizah sebagai pemilik perniagaan.
Pada masa yang sama, ekosistem dan usaha kerjasama tersebut akan membuka peluang pekerjaan yang lebih luas bagi asatizah yang berminat untuk membina kerjaya dalam bidang perniagaan.
Mengulas lanjut tentang hal demikian, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pergas, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman, menjelaskan bahawa ramai asatizah hari ini yang menceburi bidang perniagaan.
Seperti contoh, konsultasi latihan perniagaan dan rumah tangga. Ada juga yang telah menubuhkan perniagaan dalam sektor hospitaliti dan pelancongan.
Beliau berkongsi:
“Apabila kita bercakap tentang perniagaan, saya rasa istilah ‘bisnes’ itu kadangkala dipandang serong, terutama apabila ia dikaitkan dengan perkara seperti kerohanian dan keikhlasan.
“Namun, saya fikir penting juga untuk kita melihatnya sebagai satu bentuk perkhidmatan yang diberikan oleh golongan asatizah kepada masyarakat Melayu/Islam.
“Apa yang lebih menarik adalah, apabila asatizah menceburi sektor di luar bidang agama, setelah mereka mengumpulkan pelbagai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang agama, mereka membuka perniagaan yang mempunyai elemen Islam.
“Itulah yang menjadikannya istimewa.”
Kerjasama antara Pergas dengan ASME bakal bertunjangkan tiga kunci utama.
Pertama, peluasan pasaran global, dengan memanfaatkan kemahiran khusus, kefasihan bahasa dan kecekapan budaya untuk membantu SME menembusi pasaran di luar negara.
Kedua, transformasi digital, untuk menyokong SME dalam memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) serta peralatan digital lain untuk memangkinkan produktiviti dan daya saing.
Ketiga, keusahawanan dan pementoran, untuk membangunkan generasi pemimpin perniagaan seterusnya melalui bimbingan dan jaringan ASME yang berstruktur.
Dalam pada golongan asatizah dapat meningkatkan mutu keusahawanan mereka, kerjasama ini juga dapat mendorong ekonomi perniagaan negara dengan lebih meluas.
Naib Presiden ASME, Cik Hamidah Aidillah Mustafa berkata:
“Di ASME, kami mengiktiraf bahawa ketahanan ekonomi Singapura berteraskan perusahaan mikro dan kecil, yang membentuk 94 peratus daripada landskap perniagaan negara.
“Kerjasama dengan Pergas ini merupakan satu sinergi strategik yang menghubungkan rangka kerja perniagaan yang kukuh dengan kepakaran budaya dan bahasa yang mendalam.
“Dengan memupuk semangat kerjasama serta memanfaatkan kekuatan kolektif, kami dapat memperkasakan SME kami untuk mengharungi pasaran global yang kompleks, daripada GCC hingga Amerika Latin, dengan kepekaan dan pemahaman yang lebih mendalam.”

