Pengantarabangsaan pada hari ini bukan sekadar mengenai modal dan rangkaian hubungan.

Akses kepada rangkaian yang tepat, pengetahuan budaya dan pemahaman pasaran boleh menentukan kejayaan atau kegagalan pelan pengembangan sesebuah perniagaan.

Berkata sedemikian selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi, Encik Saktiandi Supaat, berkata inilah kekuatan masyarakat yang dapat menyokong keperluan perniagaan.

Beliau, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, berkata demikian semasa majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dengan Persatuan Syarikat-syarikat Kecil dan Sederhana (ASME) pada 13 Mei di Menara Maybank, sebagai respons terhadap saranan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) yang diumumkan oleh jawatankuasa ESR.

Encik Saktiandi, yang juga pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan, Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank, mengulas lanjut tentang saranan ESR yang telah diumumkan, sambil menegaskan bahawa saranan-saranan tersebut amat penting kerana ia berkaitan dengan masa depan pekerjaan, kemahiran dan perniagaan masyarakat Melayu/Islam.

Beliau berkata: “Bagi masyarakat Melayu/Islam, tiga bidang tumpuan yang menjadi keutamaan.

“Pertama, bagaimana kita membantu perniagaan kita berkembang dan meneroka pasaran antarabangsa. Kedua, bagaimana kita membantu para pekerja dan golongan karyawan membina kemahiran untuk masa hadapan, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital. Ketiga, bagaimana kita membantu para pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan industri dan pekerjaan.”

Inilah tunjang penting yang turut menjadi tumpuan dalam MOU yang dimeterai antara Pergas dengan ASME.

MOU tersebut menandakan sebuah kerjasama memanfaatkan kecekapan golongan asatizah dalam penguasaan bahasa dan nuansa budaya untuk membantu perniagaan menembusi pasaran antarabangsa termasuk dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Asean dan Amerika Latin.

Pada masa yang sama, transformasi digital turut menjadi aspek penting dalam usaha peluasan perniagaan melalui MOU tersebut.

Hal tersebut demi menyokong SME dalam memanfaatkan AI serta peralatan digital lain untuk memangkinkan produktiviti dan daya saing.

“Sebagai pengerusi Jawatankuasa Daya Ekonomi bersama AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang juga Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), tumpuan kami ialah untuk menterjemahkan saranan nasional ini kepada langkah-langkah praktikal yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat kita,” tambah beliau.