SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lebih sejuta isi rumah HDB terima rebat U-Save, S&CC pada April

Lebih sejuta isi rumah HDB terima rebat U-Save, S&CC pada April

Setiap isi rumah yang layak akan terima sehingga $570 rebat U-Save, dan tiga setengah bulan rebat S&CC bagi tahun kewangan dari April 26 hingga Mac 27
Mar 31, 2026 | 4:23 PM

Lebih sejuta isi rumah HDB terima rebat U-Save, S&CC pada April

Rebat utiliti akan dikreditkan secara automatik ke akaun isi rumah yang layak dengan pengendali grid SP Services, manakala rebat S&CC akan dikreditkan melalui majlis bandaran.
Rebat utiliti akan dikreditkan secara automatik ke akaun isi rumah yang layak dengan pengendali grid SP Services, manakala rebat S&CC akan dikreditkan melalui majlis bandaran. - Foto ST

Lebih sejuta isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima rebat bagi bil utiliti dan penyelenggaraan mereka pada April, sebagai sebahagian daripada inisiatif pemerintah untuk meringankan beban kos sara hidup.

Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pada 31 Mac bahawa isi rumah yang layak akan menikmati rebat U-Save sehingga $190 untuk bil utiliti mereka.

Mereka juga bakal menerima rebat sehingga sebulan untuk caj perkhidmatan dan penyelenggaraan (S&CC).

Jumlah rebat U-Save dan S&CC yang diterima berbeza mengikut jenis flat.

Contohnya, flat empat bilik layak mendapat $150 rebat U-Save dan sebulan rebat S&CC; manakala flat satu dan dua bilik akan menerima $190 rebat U-Save dan sebulan rebat S&CC.

Secara keseluruhan, setiap isi rumah yang layak akan menerima sehingga $570 rebat U-Save dan tiga setengah bulan rebat S&CC bagi tahun kewangan dari April 2026 hingga Mac 2027.

Rebat utiliti dan S&CC akan dimasukkan secara automatik ke akaun isi rumah yang layak di bawah SP Services dan majlis bandaran masing-masing.

Rebat itu adalah sebahagian daripada skim baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) kekal, bertujuan membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi kenaikan kos sara hidup dan GST yang bertambah.

Untuk rebat U-Save, sekurang-kurangnya seorang pemilik atau penghuni mestilah warga Singapura, kecuali jika keseluruhan flat HDB itu disewakan, di mana sekurang-kurangnya seorang penyewa mestilah warga Singapura.

Isi rumah yang ahlinya memiliki lebih daripada satu hartanah tidak layak untuk menerima rebat U-Save, kata MOF.

Bagi rebat S&CC, isi rumah yang tidak layak ialah mereka yang tiada pemilik atau penghuni warganegara Singapura, pemilik atau penghuni utamanya memiliki hartanah persendirian, atau keseluruhan flat disewakan kepada orang lain.

Orang ramai boleh menyemak kelayakan rebat S&CC mereka dengan log masuk ke Halaman MyHDB menggunakan Singpass.

Rebat U-Save dan S&CC diagihkan setiap tiga bulan — pada April, Julai, Oktober dan Januari — setiap tahun.

Pada 18 Mac, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyatakan pemerintah bersedia melaksanakan langkah tambahan di luar Belanjawan 2026, jika perlu, berikutan pergolakan di Timur Tengah.

Pemerintah mempunyai sumber untuk tindakan tersebut, namun buat masa ini, kesan langkah yang telah diumumkan akan mula dirasai oleh isi rumah dan perniagaan tidak lama lagi, tambahnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg