Topic followed successfully
Go to BHkuKenaikan kos bahan api: Grab akan naikkan sementara surcaj kepada 90 sen
Kenaikan kos bahan api: Grab akan naikkan sementara surcaj kepada 90 sen
90 sen akan diberi kepada pemandu sepenuhnya bagi bantu tangani peningkatan kos bahan api
Kenaikan kos bahan api: Grab akan naikkan sementara surcaj kepada 90 sen
Perjalanan Grab akan menjadi lebih tinggi sedikit mulai 7 April, dengan syarikat pengendali itu akan meningkatkan surcaj yang bertujuan menampung perbelanjaan bahan api bagi pemandunya.
Dalam e-mel kepada pengguna pada 31 Mac, Grab berkata ia akan meningkatkan surcaj sebanyak 50 sen kepada 90 sen bagi setiap perjalanan bukan teksi standard atau bermeter.
Pelarasan itu akan berkuat kuasa sehingga 31 Mei tetapi akan menyemaknya menjelang tarikh akhir “untuk memastikan ia kekal sesuai dengan keadaan pasaran semasa”.
Grab berkata ia tidak mengambil komisen daripada jumlah yang dibayar itu, dengan 90 sen sepenuhnya akan diberikan kepada pemandu untuk membantu mereka menangani peningkatan kos bahan api, yang didorong konflik berterusan di Timur Tengah.
Harga bahan api di seluruh dunia telah melonjak disebabkan gangguan di Selat Hormuz, yang menyalurkan seperlima daripada minyak dan gas dunia.
Di Singapura, kos bahan api telah melepasi paras tertinggi semasa perang Ukraine pada 2022, dengan harga semasa petrol 95-oktane antara $3.40 dengan $3.42 di kebanyakan pam minyak di sini.
Pengusaha teksi juga telah menaikkan tambang sejak kebelakangan ini, dengan GrabCab, Strides Premier dan Prime Taxi meningkatkan tambang bermeter mereka dari 30 Mac hingga 31 Mei.
ComfortDelGro merupakan syarikat terawal yang menaikkan tambang, berkuat kuasa dari 24 Mac hingga 31 Mei, dan ia turut memperkenalkan bayaran pemandu untuk tempahan menerusi aplikasi Zignya.
Bayaran dikenakan sebanyak 50 sen bagi tambang di bawah $15 dan 80 sen bagi tambang $15 atau lebih.
Trans-Cab merupakan satu-satunya pengendali teksi yang tidak menaikkan bayaran, sebaliknya menyediakan rebat sewa kenderaan sebanyak $3 kepada pemandu dari 10 Mac hingga 6 April.
Bantuan serupa juga diberikan oleh pengendali teksi lain, dalam bentuk baucar bahan api dan harga bahan api yang lebih rendah di stesen minyak kendalian mereka.
The Straits Times telah menghubungi Gojek, Ryde, Tada dan ComfortDelGro untuk mengetahui sama ada mereka akan menaikkan sebarang bayaran untuk perjalanan yang ditempah melalui aplikasi mereka.

