Permintaan bagi khidmat korban luar negara semakin bertambah dan persaingan semakin sengit antara penyedia khidmat dengan ada yang menjual haiwan korban pada harga lebih rendah daripada harga pasaran. Sejajar ini, tanda tanya bertambah mengenai kesahihan ibadah korban. Berita Harian (BH) melaporkan.

Mengerjakan ibadah korban di luar negara sudah menjadi kebiasaan bagi Cik Kasmini Kasmohen.

Ini dengan pertimbangan utamanya merupakan peluang menyaksikan sendiri proses korban secara fizikal kerana ia memberikan beliau ketenangan fikiran.

Guru sekolah rendah yang berusia 46 tahun, memberitahu Berita Harian (BH) pengalaman tersebut turut membawa rasa nostalgia dan makna tersendiri.

“Ia mengingatkan saya pada suatu ketika dahulu, apabila kami dapat menyaksikan ibadah korban secara terbuka.

“Saya lebih gemar memilih proses korban yang saya boleh saksikannya sendiri secara fizikal.

“Ketelusan itu amat penting bagi memastikan niat korban saya benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, khususnya di luar negara,” katanya.

Sebelum ini, beliau pernah melaksanakan ibadah korban secara fizikal di Johor Bahru, Malaysia; Tanjung Pinang; dan baru-baru ini di Cirebon, Indonesia, pada 2025.

Cik Kasmini merupakan antara sebilangan besar warga Singapura yang kini beralih kepada ibadah korban di luar negara.

Namun, tidak ramai daripada kumpulan tersebut berpeluang menyaksikan sendiri ibadah korban itu.

Sebaliknya, mereka bergantung pada rakaman video dan gambar untuk mengesahkan ibadah tersebut telah dijalankan.

Namun, amalan itu bermakna ibadah korban di luar negara lebih terdedah kepada risiko penipuan berlaku, terutama dari segi haiwan korban yang diada-adakan, tetapi tidak wujud.

Demikian menurut beberapa penyedia khidmat dan pihak berkepentingan yang dihubungi BH.

Malah, sebahagian penyedia khidmat itu memberitahu BH harga haiwan korban yang terlalu rendah antara petanda penipuan dipercayai berlaku, walaupun mereka akur, tidak semua penyedia yang menawarkan haiwan korban pada harga rendah memperdaya pelanggan.

Pastinya, trend semakin meningkat melakukan ibadah korban di luar negara itu telah mewujudkan pasaran yang lebih berdaya saing, dengan semakin ramai penyedia khidmat yang menawarkan pelbagai pakej pada kadar harga berbeza.

BH mendapati terdapat penyedia menyediakan pilihan serendah $90 hingga $397 bagi seekor kambing biri-biri, dan antara $69 dengan $370 bagi satu bahagian lembu untuk ibadah korban di luar negara.

Ia berbanding korban tempatan secara langsung di Singapura yang berharga antara $597 dengan $659 bagi kambing biri-biri.

Sebagai perbandingan, harga pasaran bagi seekor kambing di luar negara biasanya bermula sekitar $130, sementara bagi lembu pula sekitar $600 seekor.

Dalam pada itu, pakej ibadah korban yang ditawarkan di luar negara meliputi pelbagai negara di seluruh dunia.

Antaranya, Indonesia, India dan Australia di Asia; Uganda dan Sudan di benua Afrika; serta Yaman dan Arab Saudi di Timur Tengah.

Namun, timbul persoalan mengenai perbezaan harga tersebut, dengan ada pihak mendakwa ia mungkin menandakan unsur penipuan dan boleh menimbulkan spekulasi.

Penipuan korban di luar negara

Pengasas QurbanNow SG, Encik Farehan Hussein, mendapati antara penipuan yang berlaku ialah warga asing yang menjalankan operasi korban akan mengitar semula kambing.

Penyedia yang telah berkecimpung dalam industri itu sejak 2020, berkata, sebagai contoh, mereka mendakwa menerima tempahan sebanyak 30 ekor kambing, sedangkan bekalan sebenar hanyalah 10 ekor.

Mereka akan merakam seekor kambing yang sama dari pelbagai sudut berbeza bagi mewakili sohibul korban yang berlainan.

“Saya mula menemui perkara ini apabila saya mula menawarkan korban di Afrika.

“Malah, warga tempatan di sana juga memberitahu saya bagaimana penipuan ini dilakukan,” ujarnya, yang terpaksa menyekat hingga 800 kenalan yang merupakan penipu dari luar negara yang melahirkan hasrat bekerjasama dengannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aliyah Rizq Farm, Encik Mohamad Nor Ashraf Abu Bakar, pula mendapati unsur penipuan boleh berlaku di mana-mana sahaja, termasuk rantau Asia dan Timur Tengah, dan bukannya setakat di Afrika.

Beliau menerima pelbagai aduan daripada pelanggan yang melaksanakan korban di luar negara mengenai haiwan yang dikorbankan.

“Antara aduan biasa adalah mereka akan tanya, ‘Saya tempah kambing, tetapi penyedia kata beliau tak akan beri kita gambar dan hanya laporan sahaja’.

“Ada juga yang menunjukkan gambar dan tanya ‘Kambing di negara sekian, memang saiznya kecil?,” kongsi Encik Ashraf, yang pernah menerima gambar seekor kambing, dengan pelbagai nama sohibul korban tertera padanya.

Beliau yang sudah berkecimpung dalam industri korban ini selama sedekad dan turut mempunyai ladang kambing di Malaysia, Kenya, dan Maghribi, berkongsi dirinya tidak mendakwa penyedia korban yang menyediakan harga korban lebih rendah daripada harga pasaran berhasrat menipu.

Namun, beliau menjelaskan menternak haiwan melibatkan pelbagai kos operasi.

Antaranya, gaji pekerja, kos makanan dan perubatan kambing, penyediaan kandang, serta pelbagai kemudahan awam.

Lantas, beliau akur jika harga haiwan korban terlalu murah, ia boleh menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Kami mempunyai ladang di Asia, maka kami faham kos yang diperlukan,” katanya sambil menasihati bakal pelanggan khidmat korban agar melakukan usul periksa terlebih dahulu.

Kededua Encik Ashraf dan Encik Farehan akan memastikan terdapat kakitangan dan sukarelawan syarikat yang turun padang di negara berbeza untuk menyaksikan dan memastikan amanah dijalankan sebaiknya.

Mereka akan berada di negara tersebut lebih awal antara seminggu dengan sebulan untuk memilih dan memeriksa mutu haiwan, sekali gus memastikan haiwan itu sesuai untuk dikorbankan.

Mengapa harga kambing korban kurang $100

Walau demikian, beberapa penyedia khidmat menjelaskan mengenai perbezaan struktur harga itu.

Penyedia yang dihubungi BH berkata keupayaan mereka menawarkan pakej korban pada harga lebih mampu milik adalah hasil pembelian secara pukal.

Ia selain memperoleh ternakan lebih awal sebelum Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan kenaikan harga yang mendadak, serta menjalinkan hubungan langsung dengan pembekal dan menetapkan margin keuntungan yang rendah.

Misalnya, Zeya Services dan Zaky Alwie Travel & Services Pte Ltd masing-masing, menawarkan pakej korban kambing di Uganda pada harga $90 dan $99.

Pengarah Operasi Zeya Services, Encik Abdul Aziz Moideen, berkongsi syarikat itu mendapatkan bekalan ternakan beberapa bulan lebih awal, selain membeli haiwan korban secara pukal, agar harga tidak melonjak terlalu tinggi.

Ia ditambah dengan usaha membina hubungan dengan pembekal sejak tujuh tahun lalu (2019).

“Kami juga membuat pembelian secara pukal.

“Sebelum pembelian dibuat, kami akan berjumpa dengan pembekal kami di Singapura, berbincang dan melihat harga serta keadaan yang ada, sebelum mendapatkan ternakan pada harga yang telah dipersetujui,” jelasnya.

Syarikat tersebut telah memperoleh sekitar 220 kambing dan 115 lembu bagi urusan korban di Uganda sempena Hari Raya Haji 2026.

“Bagi Uganda, kami mendapatkan bekalan langsung dari ladang industri swasta di sana.

“Ia bukan sesuatu yang orang awam boleh beli secara langsung, sebaliknya untuk syarikat atau perniagaan seperti kami,” tambahnya.

Pengasas dan pengarah urusan Zaky Alwie Travel & Services Pte Ltd, Shaikh Ahmad Zaki Shaik Alwie, pula berkata kemampuan syarikatnya menawarkan pakej korban pada harga lebih rendah dipengaruhi beberapa faktor.

Ia termasuk kadar pertukaran mata wang, hubungan langsung dengan pembekal, serta pemilikan ladang sendiri di beberapa lokasi.

“Kami telah berada dalam industri ini selama 11 tahun, jadi kami sudah mengenali rakan pembekal dan operasi dalam bidang ini.

“Selain itu, kami juga berurusan secara langsung dengan pembekal dan di beberapa tempat, kami mempunyai ladang sendiri untuk pembiakan kambing korban.

“Oleh itu, kos dapat dikurangkan kerana tiada orang tengah kedua atau ketiga,” jelasnya.

Mereka juga tidak terlalu bergantung kepada keuntungan daripada ibadah korban semata-mata kerana mereka turut mengendalikan agensi pelancongan, tambahnya.

Menyifatkan perkhidmatan ibadah korban yang ditawarkan mereka sebagai “small ticket” – yang merujuk pada produk atau perkhidmatan yang mempunyai harga rendah dan kitaran jualan yang sangat pantas dalam strategi pemasaran, Shaikh Ahmad Zaki berkata:

“Keuntungan daripada ibadah korban adalah minimum dan ia hanyalah tambahan bagi menjamin kelangsungan operasi.

“Tumpuan utama kami adalah untuk membina kepercayaan dan memperkenalkan jenama kami kepada pelanggan.

“Apabila orang ramai mengenali Zaky Alwie sebagai penyedia perkhidmatan korban yang mampu milik, ia secara tidak langsung menarik pelanggan baharu bagi agensi pelancongan kami.”

Dalam pada itu, beliau turut mengakui terdapat kes penipuan yang pernah disaksikannya sendiri ketika berada di Uganda untuk memantau proses korban pada 2024.

Menurutnya, terdapat pihak yang menggunakan gambar kambing korban yang sama dengan menukar nama peserta korban bagi meyakinkan pelanggan ibadah tersebut telah dilaksanakan.

Ada yang mendakwa kambing mereka belum sampai, dan mahu menggunakan kambing orang lain untuk dijadikan bukti kepada pelanggan.

“Apabila kami tanya mengapa beliau mahu ambil gambar, beliau menjelaskan kambing di kampungnya belum tiba dan beliau perlukan gambar kambing kami untuk dikirim kepada pelanggan.

“Saya terus memberitahunya perkara itu salah. Mereka sepatutnya mencari pihak yang tidak menyediakan kambing tersebut dan bukan menggunakan kambing orang lain sebagai jalan keluar,” katanya.

Penipuan dalam korban menerusi lensa agama

Asatizah yang dihubungi BH pula menjelaskan kewajipan sebagai sohibul korban belum selesai hanya dengan membayar untuk ibadah itu.

Pahala korban hanya diperolehi apabila penyembelihan dilakukan mengikut syarat.

Penasihat Dakwah di Masjid Al-Taqua, Ustaz Abdul Manaf Rahmat, menjelaskan sohibul korban perlu berusaha mencari penyelesaian daripada wakil atau pihak pengurusan jika penipuan berlaku.

Beliau berkata: “Pahala niat tetap diperoleh berdasarkan niat dan usaha.

“(Namun) tanggungjawab dari segi hukum fikah, ibadah korban itu tidak berlaku kerana tiada darah yang tumpah (sembelihan). Namun, tidak berdosa kerana menjadi mangsa.”

Beliau menambah sohibul korban perlu melakukan sesuatu jika penipuan diketahui sebelum waktu tasyrik berakhir – tiga hari selepas Aidiladha – antaranya, mencari khidmat gantian lain.

“Jika sudah berlalu, boleh tuntut semula wang tersebut kerana ia dianggap hutang atau kerugian akibat penipuan,” tambahnya.

Mengulas mengenai persoalan mana paling afdal, yang mahal atau berpatutan, Ustaz Abdul Manaf berkata ibadah korban adalah simbol pengorbanan harta.

Maka, semakin bermutu, besar, dan mahal haiwan tersebut, semakin besar pengorbanan yang dilakukan, yang menunjukkan ketakwaan hati, ujarnya.

Tetapi, beliau menambah harga yang tinggi perlulah mencerminkan mutu fizikal ternakan, bukannya nilai yang sengaja dimanipulasi.

“Jika mampu, pilihlah yang terbaik sebagai tanda takwa.

“Jika bajet terbatas, yang ‘berpatutan’ tetap sah dan diterima asalkan memenuhi syarat sah,” kata beliau.

Pengasas Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar, pula menambah apa yang perlu dikejarkan adalah mutu kambing yang paling baik kerana itulah yang diajarkan syariat.

Beliau berkata setiap sohibul korban seharusnya merasai ‘sedikit pengorbanan’ ketika mengeluarkan harta mereka.

“Ibadah korban memerlukan kita merasai pengorbanan itu sendiri. Kita mahu mengajak masyarakat memahami keperihan dalam ibadah itu.

“Kita perlu menyerahkan apa yang kita miliki dengan penuh keikhlasan; barulah kita sedar segalanya dilakukan semata-mata kerana Allah.”

Panduan pilih perkhidmatan korban luar negara

Sebagai langkah memastikan ketelusan dan kesahihan ibadah korban, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan apabila memilih penyedia perkhidmatan korban luar negara.

Menjawab pertanyaan BH, jurucakap SalamSG Korban, berkata pengguna perlu memastikan haiwan korban memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Apabila memilih penyedia perkhidmatan korban luar negara, pengguna harus memastikan penyedia tersebut diiktiraf oleh pihak berkuasa agama yang dipercayai, penyembelihan dilakukan oleh individu yang bertauliah dan daging diagihkan kepada penerima yang sepatutnya,” katanya.

Dari sudut pemasaran dalam meneliti harga yang diiklankan, Pensyarah Kanan Pemasaran di Universiti James Cook (JCU) di Singapura, Dr Nurhafihz Noor, berpendapat harga merupakan petunjuk awal yang digunakan pengguna untuk membandingkan penyedia perkhidmatan korban berbeza.

“Antara kesannya ialah pengguna akan menjadikan harga itu sebagai petunjuk untuk menilai mutu perkhidmatan korban, serta mengklasifikasikan perkhidmatan kepada kategori mutu yang berbeza berdasarkan tanggapan tersebut.

“Dalam hal ini, perkhidmatan korban yang ditawarkan pada harga berpatutan memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna kerana membolehkan mereka melaksanakan ibadah korban,” katanya.

Namun, beliau menjelaskan harga murah itu bukan sahaja memberi kesan kepada perniagaan mereka, malah, memberi isyarat kepada pelanggan mutu korban yang disediakan kurang baik.

Mengulas lanjut, beliau berkata harga rendah tidak semestinya mencerminkan penipuan atau kemusykilan.

Namun, ia boleh berpunca daripada struktur kos dan model operasi yang berbeza antara penyedia perkhidmatan.

Disebabkan itulah, terdapat perbezaan harga walaupun haiwan korban diperoleh dari negara yang sama.

“Bagi penyedia yang mempunyai isi padu operasi yang lebih kecil, mereka mungkin lebih cenderung menetapkan harga premium bagi menampung margin.

“Secara keseluruhannya, harga merupakan hasil interaksi antara penetapan kos, persaingan dalam pasaran, serta faktor berasaskan pelanggan, iaitu sejauh mana pengguna sanggup membayar bagi sesuatu perkhidmatan korban,” jelas Dr Nurhafihz.

Pada musim Hari Raya Haji 2026, Cik Kasmini akan mengerjakan ibadah korbannya di Purbalingga, Jawa Tengah.

Ini menerusi kenalan rakannya, yang merupakan anggota jawatankuasa sebuah masjid di kawasan tersebut.

Meskipun tidak dapat hadir secara fizikal akibat kekangan masa dan jadual sekolah, beliau berkata unsur kepercayaan tetap menjadi faktor utama dalam memilih pihak yang menguruskan ibadah korbannya.

“Kalau melalui kenalan sendiri, saya rasa lebih yakin melaksanakan korban walaupun saya tidak berada di sana secara fizikal,” ujarnya.