Bayangkan bangun setiap pagi dikelilingi keindahan alam yang berbeza-beza.

Sama ada disinari cahaya mentari di puncak gunung, atau dibasahi hujan lebat, pengalaman merasai kehidupan sedekat ini dengan alam sudah lama didambakan Encik Mohamad Hassanul Aman Mohamad Sulkhi.

Untuk menjadikan impian itu kenyataan, beliau kini menetap di Australia buat sementara dan telah menukar kenderaan SUV beliau menjadi ‘camper van’, berfungsi sebagai tempat tinggal dan teman kembara.

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Encik Hassanul, 30 tahun, yang memegang Visa Kerja dan Cuti sejak Oktober 2025, berkongsi:

“Sebelum jejak ke Australia, saya sudah lama mengimpikan untuk meneroka mana-mana negara dengan menggunakan van perkhemahan.

“Saya pernah melakukan kembara jalan raya di New Zealand menggunakan van selama hampir dua minggu, dan ia merupakan satu pengalaman yang sangat baik.

“Jadi saya mahu mencipta semula pengalaman itu di Australia.”

Sebahagian daripada proses pengubahsuaian itu termasuk memasang laci untuk menyimpan bagasi, pakaian, dan barang elektronik, di bahagian belakang van.
Sebahagian daripada proses pengubahsuaian itu termasuk memasang laci untuk menyimpan bagasi, pakaian, dan barang elektronik, di bahagian belakang van. - Foto-foto MOHAMAD HASSANUL AMAN MOHAMAD SULKHI

Menurutnya, proses mengubah suai SUV Mitsubishi Pajero itu menjadi van kembara mengambil masa sekitar dua bulan.

Proses penuh teliti itu, yang bermula awal Mac, merangkumi pemasangan binaan seperti laci bagasi, ruang simpanan barang elektronik, tempat pakaian, ruang tidur, dan peti sejuk di bahagian belakang.

Di bumbung van pula, beliau memasang sengkuap atau ‘awning’ yang boleh ditarik buka, sekali gus menyediakan khemah tambahan sebagai ruang berehat malam.

Ruang untuk menyimpan topi, kasut, dan beberapa aksesori lain boleh diakses dengan membuka pintu belakang van.
Ruang untuk menyimpan topi, kasut, dan beberapa aksesori lain boleh diakses dengan membuka pintu belakang van. - Foto MOHAMAD HASSANUL AMAN MOHAMAD SULKHI

Sebagai seorang yang cekap menggunakan peralatan seperti gerudi dan gergaji, Encik Hassanul melakukan pengubahsuaian kenderaan itu tanpa panduan, sebaliknya bertindak mengikut gerak hati dan cetusan imaginasinya sendiri.

Sejak Mei, setelah proses penukaran selesai, beliau menjadikan van itu kediaman sepenuh masa, meninggalkan kehidupan menyewa di kota Perth.

Dengan Visa Kerja dan Cuti yang tamat pada Oktober 2026, Encik Hassanul berhasrat untuk melanjutkan pengalaman ini bagi tahun kedua.

Alam semula menjadi ruang untuk Encik Hassanul menenangkan jiwa dan menjauhkan diri daripada tekanan kehidupan moden.
Alam semula menjadi ruang untuk Encik Hassanul menenangkan jiwa dan menjauhkan diri daripada tekanan kehidupan moden. - Foto ihsan MOHAMAD HASSANUL AMAN MOHAMAD SULKHI

Encik Hassanul berhijrah ke Australia, bekerja sebagai pengecat di Cranbrook, demi mencari pengalaman baharu dan melangkah keluar dari zon selesa. Beliau percaya, “tidak terlalu lambat untuk seseorang bermula semula dalam kehidupan”.

Pilihan ke Australia didorong oleh kehadiran keluarga, rakan, dan dekat dengan Singapura.

Kini, anak tunggal itu gigih melengkapkan syarat 88 hari bekerja agar visanya dapat dilanjutkan untuk tahun kedua.

Pengubahsuaian van yang diselesaikan setelah menyambut ulang tahun ke-30 pada Mac, adalah lambang kebebasan dan fasa hidup baharu.

Ini berlaku setelah beliau meninggalkan kerjaya lapan tahun dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada awal 2025.

Walaupun kerjaya tentera itu impian masa kecil, minat mendalamnya terhadap kembara menuntut ruang untuk kreativiti dan pengalaman baharu.

“Pengembaraan membuka mata saya kepada budaya lain dan mengajar saya untuk lebih menghargai apa yang saya ada,” jelas Encik Hassanul.

Pengalaman melihat kebahagiaan pada mereka yang serba kekurangan memberi kesan mendalam. Selain Australia, beliau telah menjejakkan kaki ke Georgia, Indonesia, Italy, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Laos, Malaysia, Mesir, Nepal, New Zealand, dan Vietnam.

Alam semula jadi adalah tempatnya mencari kedamaian rohani dan lari dari tekanan moden. Sedang rakan sebayanya di tanah air sibuk membina keluarga, Encik Hassanul selesa dan tenang mengukir haluannya sendiri.

Beliau memilih untuk tidak membandingkan diri, teguh pada keyakinan bahawa “setiap manusia dikurniakan rezeki berbeza”.

“Bagi saya, takrifan ‘menetap’ (settling down) bukanlah tentang menghabiskan sisa hidup di satu lokasi, sebaliknya ia bermaksud mencari seseorang yang sudi untuk berkongsi hidup dan merantau melihat dunia bersama saya,” kongsi beliau.