Kali pertama nama Pulau Nirup melintas di garis masa media sosial saya pada penghujung 2025, ia seakan satu destinasi rahsia yang menanti untuk diteroka.

Gambar-gambar yang memaparkan kedamaian eksklusif itu terus terpahat di minda. Peluang keemasan akhirnya tiba minggu lalu, di mana saya seisi keluarga dapat mengembara bersama sempena Hari Ibu.

Terletak hanya 14 kilometer dari Singapura, Pulau Nirup merupakan satu daripada 400 pulau di wilayah Batam. Perjalanan ke pulau ini hanya mengambil masa 45 minit menaiki feri Horizon secara langsung dari Terminal HarbourFront.

Jika dahulu ia hanya sebuah perkampungan nelayan kecil, Pulau Nirup kini telah menjalani transformasi sepenuhnya menjadi destinasi resort mewah. Ia adalah jawapan bagi mereka yang mendambakan pelarian singkat daripada hiruk-pikuk kota.

Sebaik feri, yang hanya beroperasi sekali sehari dari Singapura, bakal sampai ke jeti, suasana eksklusif mula terasa.

Proses imigresen di sini sangat lancar, dikhaskan buat tetamu yang menginap di The Westin Nirup Island atau Riahi by Swiss-Belhotel.

Pulau seluas 20 hektar ini benar-benar memelihara privasi penghuninya.

Langkah pertama di bumi Nirup disambut bayu laut yang bertiup nyaman.

Di sini, alam semula jadi kekal menjadi teras tumpuan. Pohon-pohon rimbun yang sudah lama berdiri tegak dibiarkan menaungi jalanan, memberikan suasana redup yang menyegarkan, sesuatu yang disengajakan sewaktu pembinaan resort ini.

Malah, untuk menjaga alam sekitar di sini, tiada kenderaan bermotor dibenarkan. Justeru, hanya perkhidmatan buggy yang sedia membawa tetamu menjelajah setiap ceruk pulau disediakan tanpa mencemarkan udara.

Kami ditempatkan di sebuah vila dua bilik berhadapan laut yang terselindung dengan pohon tinggi, lengkap dengan hiasan moden yang estetik dan ruang yang luas. Setiap vila di sini didirikan mengelilingi pulau – menghadap laut biru dan hutan semula jadi yang menghijau.

Kehadiran kolam renang peribadi menambah lagi unsur kedamaian dalam sekitaran mewah buat kami sekeluarga. Sejajar dengan piawaian lima bintang The Westin, bilik tidur utamanya dilengkapi tab mandi dan kemudahan serba lengkap yang menitikberatkan keselesaan mutlak.

Khidmat kakitangan yang ramah juga menambah pengalaman baik sewaktu berada di Pulau Nirup ini.

Menurut Pengurus Hotel, Encik I Nengah Suparwata, hotel ini mula beroperasi sejak 3 Jun 2025.

“Ini adalah destinasi yang menjanjikan masa bermutu untuk keluarga, jauh daripada kebisingan dan rutin warga kota,” kongsi beliau.

Tambahnya, setakat ini, sebanyak 84 bilik deluxe, enam unit suite dan empat bilik khas keluarga tersedia dihuni di bangunan utama. Manakala bagi yang inginkan pengalaman unik, tersedia empat Overwater Vila (vila atas air), serta rangkaian Ocean View Vila yang menawarkan pemandangan laut yang luas.

Dari beberapa sudut di hotel itu, Singapura boleh kelihatan dari jarak jauh. Begitu dekat!

Walaupun suasananya tenang, bosan bukan satu pilihan di sini, malah pihak hotel telah menyusun pelbagai aktiviti untuk tetamu sertai.

Bagi yang aktif, hari anda boleh dimulakan dengan sesi yoga pada awal pagi, disusuli dengan ‘aquafit’ atau aktiviti sukan air di sebelah petang. Khidmat spa seperti pakej urut tradisional juga disediakan bagi yang inginkan ketenangan di Heavenly Spa.

Kami menyewa bot kayuh dan berenang di tengah lautan, satu aktiviti yang telah lama kami tidak lakukan, membawa kenangan nostalgia sewaktu muda berkelah bersama keluarga.

Apabila anak lelaki saya yang sudah berumur 12 tahun, menguis-nguis pasir dari seliparnya kerana tidak selesa, baru saya sedar betapa lamanya kami sendiri tidak menjejakkan kaki di pantai, sehinggakan dia terlupa rasanya memijak pasir.

Mummy, bolehkah kami pergi ke pantai lagi nanti (di Singapura)?” katanya sesudah puas bermandi di tengah lautan Nirup.

“Tentu sekali,” jawab saya ringkas, terkesan melihat dia lupa nikmat dan keseronokan bermain di pantai.

Selain bermandi-manda, resort ini seperti taman syurga untuk kanak-kanak sepertinya.

Selain bilik keluarga dengan hiasan ceria, terdapat Kids’ Club, ruang yang lengkap dengan gelongsor dan pelbagai permainan untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun. Jika ingin bersiar-siar secara santai, basikal disediakan secara percuma untuk tetamu mengelilingi pulau.

‘Kids’ Club’ seperti taman syurga untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun, dilengkapi gelongsor dan bermacam permainan termasuk blok Lego, congkak, catur dan lain-lain lagi.
‘Kids’ Club’ seperti taman syurga untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun, dilengkapi gelongsor dan bermacam permainan termasuk blok Lego, congkak, catur dan lain-lain lagi. - Foto THE WESTIN NIRUP ISLAND

Sesuatu yang unik di Pulau Nirup adalah suasananya yang terpencil. Tetamu tidak boleh keluar dari pulau ini melainkan menggunakan bot swasta hotel. Tiada kedai runcit atau pusat beli-belah, namun keperluan gastronomi anda terjaga rapi menerusi tiga restoran utama di Island Kitchen (hidangan sepanjang hari), Constellate Lounge (sesuai untuk bersantai) dan Salt Simply Seafood (’syurga’ makanan laut).

Pada setiap malam minggu, restoran Salt Simply Seafood menganjurkan sesi barbeku untuk tetamu menikmati hasil laut segar di bawah langit malam sambil menghirup udara bersih.

Gunakan aplikasi Marriott Bonvoy atau lungsuri lamannya untuk tempahan dan pilih pakej ‘Seamless’ untuk tempahan menyeluruh termasuk makan sepanjang hari sementara bercuti di pulau ini.

Berbeza dengan pengalaman di hotel Batam, Bintan, mahupun di Bali - di mana kita bebas keluar dari kawasan hotel, di Nirup, anda seolah-olah ‘terperangkap’, namun, ia adalah jeratan ‘perangkap’ yang menyeronokkan.

Sepanjang kami di Nirup, kami hanya berjumpa dengan kakitangan dan tetamu hotel lain, menjadikan suasana di pulau ini terasa intim dengan tegur sapa antara satu sama lain kerap kedengaran.

Momen paling mengasyikkan adalah ketika matahari terbit dan terbenam. Dari mana-mana sudut pulau, anda bakal disapa cahaya keemasan yang memantul di permukaan air - satu pemandangan yang cukup puitis.

Sama ada untuk pasangan romantis atau percutian keluarga yang holistik, Pulau Nirup menawarkan mutu kedamaian yang tiada tandingan dalam jarak yang sangat dekat dengan rumah.