Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuami isteri jual rumah demi kembara laluan darat S’pura ke Turkey
Suami isteri jual rumah demi kembara laluan darat S’pura ke Turkey
Ekspedisi enam bulan rentas 10 negara dengan menaiki kereta Toyota Hilux
Suami isteri jual rumah demi kembara laluan darat S’pura ke Turkey
Jual rumah dan kereta demi memenuhi keinginan mengembara dunia?
Ia mungkin kedengaran seperti satu keputusan yang mendadak sehingga ada yang memandangnya sebagai ‘kerja gila’, tetapi itulah yang dilakukan pasangan Encik Mohammad Shahrom Mahat, 44 tahun, dan Cik Mastura Natasha Malek, 40 tahun.
Hasil jualan rumah tiga bilik mereka dan kereta Suzuki, pasangan tersebut membeli sebuah kereta Toyota Hilux yang digunakan untuk membawa mereka menerusi perjalanan darat dari Singapura ke Turkey.
Bersama dua anak kecil, Seth Ilhan Mohammad Shahrom, enam tahun, dan Nadine Inara Mohammad Shahrom, lima tahun, pasangan tersebut bakal merentasi sekitar 10 negara, antaranya Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Georgia dan Azerbaijan.
Perjalanan tersebut dianggar mengambil masa sekitar enam bulan.
Setelah berjaya sampai di Turkey, keluarga empat beranak itu akan mengembara sebelum mengambil penerbangan pulang ke Singapura.
Kereta mereka pula akan dihantar pulang menerusi kapal ke Malaysia sebelum ia dijual balik.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Shahrom akui ramai mempersoal keputusan mereka untuk menjual rumah.
Namun, beliau menjelaskan mereka memerlukan modal yang besar untuk memulakan perjalanan tersebut yang dianggarkan menelan perbelanjaan kira-kira $100,000, yang antara lain, merangkumi kos pengangkutan, makanan, insurans, penginapan dan dana kecemasan.
“Satu-satunya cara membiayai perjalanan ini adalah dengan mempunyai jumlah wang yang besar. Jika sekadar menyewakan rumah, ia tidak mencukupi buat jangka panjang.
“Bagaimanapun, kami tetap akan membeli rumah! Kami sudah menjual rumah tersebut, dan kini sedang aktif mencari dan berusaha mendapatkan rumah baharu,” katanya tertawa seraya berkata mereka akan tumpang di rumah ibu bapanya buat sementara waktu sekembali mereka ke tanah air.
Mujur, ibu bapa pasangan tersebut memberi sokongan penuh tatkala mereka berkongsi rancangan mereka untuk melaksanakan ekspedisi tersebut.
Ditanya mengapa mereka memilih jalan darat yang jauh lebih mencabar berbanding menaiki pesawat, Encik Shahrom berkata: “Inilah masanya atau tidak sama sekali!”
Sejak berkahwin, beliau dan isterinya yang merupakan ‘kaki campervan’ atau van karavan, sudah menanam hasrat ingin melaksanakan pengembaraan sebegini.
Malah, bulan madu mereka juga diluangkan dalam sebuah van karavan di Mongolia, pengembaraan yang boleh dianggap lasak.
Memandangkan anak sulung mereka bakal melangkah ke fasa sekolah rendah pada 2027, mereka merasakan ia adalah peluang terakhir sebelum komitmen persekolahan bermula.
“Inilah masanya kami dapat meluangkan masa sepenuhnya bersama. Usia saya sudah 44 tahun, dan saya bukan makin muda. Jika bukan sekarang, tak mungkin kami akan melakukan kembara sebegini pada masa hadapan,” kata Encik Shahrom, yang mengendalikan syarikat fotografi sendiri, Flashpixs.
Bagaimanapun, Cik Mastura berkata beliau dan suami bukan sekadar “terjun botol”, sebaliknya merancang perjalanan dan bajet mereka dengan teliti supaya mereka tidak berbelanja melebihi yang mampu.
Cik Mastura, yang berhenti kerja sebagai ahli terapi pendidikan, berkata:
“Apabila kami sering mengembara, perkembangan anak-anak menjadi berbeza. Kami melihat mereka mula menggunakan kosa kata yang tidak pernah kami bayangkan, serta membina kemahiran sosial melalui pembelajaran dalam persekitaran yang pelbagai.
“Inilah sebab utama kami memilih perjalanan ini. Kami ingin mencipta memori bersama dan menggalakkan mereka menulis jurnal, dengan harapan suatu hari, kami dapat mengimbau kembali kenangan yang dilalui bersama pada akhir perjalanan nanti.”
Ditanya negara mana yang paling dinanti-nantikan untuk dikunjungi, pasangan tersebut memilih China dan negara-negara ‘Stan’ di Asia Tengah dan Asia Selatan, kerana kaya dengan tapak warisan Islam.
Tujuh negara tersebut termasuk Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Afghanistan dan Pakistan.
Namun, mereka mengakui kos perjalanan di China adalah antara yang tertinggi.
Ia kerana mereka diwajibkan menyewa khidmat jurupandu yang bukan sahaja menemani mereka sepanjang masa, malah membantu menguruskan segala dokumentasi yang diperlukan.
Buat masa ini, pasangan tersebut mengembara secara santai tetapi perlu memastikan mereka sampai ke China pada Jun.
Segala pengembaraan mereka dirakam dan dikongsi melalui akaun Instagram fatstarfish_, yang menarik perhatian ramai dan kini mempunyai 6,000 pengikut.
Kata Encik Shahrom: “Kami mengembara bukan untuk memberi inspirasi kepada orang lain, tetapi sekadar untuk diri kami sendiri.
“Kami tidak menyangka ia (kisah kami) akan tular. Niat kami hanyalah untuk mendokumentasikan perjalanan sendiri sebagai kenangan buat anak-anak pada masa hadapan.”
“
“Satu-satunya cara membiayai perjalanan ini adalah dengan mempunyai jumlah wang yang besar. Jika sekadar menyewakan rumah, ia tidak mencukupi buat jangka panjang.... Inilah masanya kami dapat meluangkan masa sepenuhnya bersama. Usia saya sudah 44 tahun, dan saya bukan makin muda. Jika bukan sekarang, tak mungkin kami akan melakukan kembara sebegini pada masa hadapan.”